SepangOnline

Monday, November 14, 2005

MEDIA KEADILAN RAKYAT

KETUA SETIAUSAHA DIHUKUM, BAGAIMANA DENGAN MENTERI?
--------------------------------------------------------------------------------

Datuk Dr Abdul Aziz Muhmmad , 61 tahun, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Desa, telah didapati bersalah oleh Mahkamah Session Kuala Lumpur pada hari Jumat lalu atas tuduhan pecah amanah dan berbohong.

Hukuman akan dijatuhkan oleh Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab pada hari Rabu ini. Beliau mungkin dihukum penjara sekurang-kurangnya dua tahun, ataupun lebih lama lagi. Hukuman maksimum bagi pecah amanah ialah penjara 20 tahun, manakala hukuman maksimum bagi pembohongan ialah penjara 10 tahun.

Abdul Aziz didapati bersalah membantu Datuk Ali, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Terengganu Tengah atas tuduhan pecah amanah sebanyak RM2 juta. Beliau juga dituduh membohongi Datuk Mustapa Mohamed, ketika itu Menteri Kewangan Kedua, supaya Kerajaan melabur RM9 juta untuk projek menternak ikan dan menanam orkid, di Bukit Besi, Dungun, Terengganu.

Semua ini berlaku ketika Abdul Aziz berkhidmat di bawah Menteri Pembangunan Desa ketika itu, Datuk Annuar Musa, yang sekarang Ketua Perhubungan Umno Kelantan. Abdul Aziz didapati bersalah ketika Annuar Musa bebas berpolitik di Kelantan dan berkempen untuk pilihan raya kecil Permatang Pasir, yang akan diadakan pada 6 Disember nanti.

Adalah dipercayai bahawa perkara-perakara yang dilakukan oleh Dr Abdul Aziz adalah atas arahan Menteri Datuk Annuar. Beliau bertindak sebagai seorang pegawai kanan kerajaan yang setia kepada menterinya. Ramai yang mengenali Abdul Aziz menganggap beliau sebagai pegawai kerajaan yang bersih serta bertanggungjawab, dan tidak percaya beliau boleh melakukan kesalahan tersebut.

Cerita-cerita berhubung pecah amanah dan penipuan ini mula-mula dibongkat oleh bekas Ketua Pengarang NST, Datuk Abdullah Ahmad, yang mendakwa Menteri Datuk Annuar terlibat. Kami mendesak supaya pihak Badan Pencegah Rasuah dan polis membuka penyiasatan ke atas bekas menteri itu, berdasarkan tuduhan-tuduhan terbuka yang dibuat oleh Datuk Abdullah dalam akhbar. Beliau hendaklah dihadapkan ke mahkamah sekiranya didapat terlibat, sebagaimana yang didakwa.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home