SepangOnline

Thursday, November 10, 2005

Keadilan Akan Bangkitkan Isu Nasional di Pengkalan Pasir

Muda Mohd Noor (Malaysiakini)

Nik Mahmood

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Kelantan akan membangkitkan isu-isu nasional bagi membantu calon PAS dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini.

Pengerusi Perhubungan Keadilan Kelantan, Nik Mahmood Nik Hassan berkata, di antara isu utama yang akan diketengahkan ialah mengenai rasuah yang semakin bermaharajalela dan ketidakberkesanan usaha menyekatnya.

Selain isu rasuah, katanya, Keadilan juga akan mengetengahkan soal pengurusan negara, biasiswa, kenaikan harga barang dan beberapa isu lain.

“Saya yakin isu-isu ini akan mendapat sambutan hangat di kalangan pengundi terutama orang muda di Pengkalan Pasir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pengundi Kelantan termasuk di Pengkalan Pasir lebih berminat dengan isu nasional berbanding isu setempat seperti masalah sawah terbiar, jalan tidak siap dan kemiskinan mereka.

Katanya, isu setempat menjadi tanggungjawab PAS sebagai pemerintah dan parti tersebut lebih tahu untuk menanganinya.

Nik Mahmood berkata, Keadilan Kelantan dengan kerjasama Keadilan Bahagian Pasir Mas akan berkerjasama dengan jentera pilihanraya PAS bagi memastikan kawasan kekal milik PAS.

“Kita mengambil keputusan untuk memberi sokongan padu kepada calon yang dipilih oleh PAS seperti yang kita lakukan dalam pilihanraya umum lalu,” katanya.

Katanya, pihaknya juga telah mengenalpasti lokasi tertentu yang akan beroperasi sebagai markas jentera pilihan Keadilan di kawasan Pengkalan Pasir.

“Jumlahnya bergantung kepada keperluan tetapi di kawasan yang ramai penyokong Keadilan, kami akan membuka markas pilihanraya bagi memudahkan operasi dibuat,” katanya.

Pengaruh Ibrahim Ali

Mengenai hasrat Datuk Ibrahim Ali yang mahu bertanding sebagai calon bebas, Nik Mahmood yakin ramai ahli Umno akan memberi undi bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu.

Katanya, ini kerana Pasir Mas merupakan kampung halaman Ibrahim dan beliau juga begitu lama memegang jawatan dalam Umno bahagian tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP tidak berminat dengan pilihanraya kecil kawasan Pengkalan Pasir dan tidak akan mengambil sebahagian dalam pilihanraya itu.

Katanya, DAP tidak mempunyai cawangan di kawasan Pengkalan Pasir dan tidak ada sebab untuk membabitkan diri dalam pilihanraya kecil tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home