SepangOnline

Monday, November 14, 2005

Anwar Akan Berkempen di Kelantan

Malaysiakini


Anwar umumkan hasrat untuk berkempen.
Gambar Malaysiakini

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkempen untuk calon PAS dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan.

Menurut Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Tian Chua, Anwar akan berada di Kelantan sebelum hari penamaan calon.

Penamaan calon pilihanraya kecil tersebut akan dibuat pada 27 November ini dan pengundiannya pada 6 Disember. Pilihanraya kecil diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan berkenaan, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar.

"Anwar pasti akan ke Kelantan untuk berkempen membantu PAS,” katanya.

Menurut laporan agensi berita AFP, Chua berkata, ini adalah penglibatan Anwar yang pertama dalam kancah politik sejak dibebaskan dari penjara pada September tahun lalu.

Keadilan diketuai oleh isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Anwar yang kini menjadi pensyarah tamu di sebuah universiti di Amerika Syarikat adalah penasihat parti tersebut.

Menurutnya lagi, Anwar akan menyertai majlis-majlis ceramah terbuka dan akan membangkitkan isu reformasi dalam kerajaan serta keperluan wujudnya pakatan pembangkang bagi menjayakan agenda perubahan.

Chua juga menjangkakan pilihanraya kecil itu akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon PAS dan Umno yang mewakili Barisan Nasional.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home