SepangOnline

Friday, November 11, 2005

Ezam tidak mungkin sertai semula Umno

Muda Mohd Noor
Malaysiakini

KUALA LUMPUR - Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Ezam Mohd Nor tidak akan menyertai Umno sebaliknya akan terus berjuang dalam Keadilan untuk menegakkan keadilan dan menentang rasuah di negara ini.

Naib Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, Ezam pernah berjanji bahawa beliau tidak akan sesekali mengkhianati perjuangan tersebut.

Katanya, Ezam sangat komited dalam perjuangan dan beliau sendiri menganggap sesiapa yang meninggalkan perjuangan ini adalah pengkhianat.

“Untuk menyamakan prinsip Ezam dengan beberapa bekas pemimpin Keadilan yang meninggalkan parti adalah satu perbandingan yang tidak boleh diterima pakai kerana Ezam tidak akan menggadaikan maruah dan prinsip perjuangan,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata demikian sebagai mengulas laporan malaysiakini semalam bahawa Ezam sedang mengatur langkah untuk menyertai semula Umno.

Katanya, Ezam ialah seorang pejuang dan ini dibuktikan melalui pendedahan rasuah pemimpin negara yang dibuat sehingga dikenakan hukuman penjara.

Beliau berkata, khabar angin tersebut sengaja dibuat oleh pihak-pihak tertentu sempena kempen pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada awal bulan depan.

“Ezam akan terus memimpin Pemuda PKR untuk meneruskan agenda melawan rasuah dan memperjuangkan demokrasi dan keadilan di negara ini,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata, Ezam sama sekali tidak akan memilih Umno sebuah parti yang telah rosak dan rasuah.

Bagaimanapun, katanya Umno amat menantikan kepulangan semula Ezam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana parti itu kini menghadapi pelbagai masalah dalaman.

Katanya, Ezam mempunyai rangkaian hubungan yang baik dengan banyak pihak termasuk pemimpin Umno, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin pembangkang malahan di peringkat antarabangsa khususnya Asia Tenggara.

Sementara itu dalam kenaytaannya kepada sebuah laman web semalam, Ezam berkata beliau akan melancarkan jentera Pemuda PKR Kelantan pada 15 November ini membantu PAS memenangi pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.

"Kita mahukan PAS menang dan mengekalkan kerusi berkenaan, dan ini penting kerana kemenangan itu menyelamatkan maruah BA seluruhnya."

"Pilihan raya itu bukan saja penting bagi Pas, tetapi ia mustahak bagi kita semua (BA)," tekannya lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home