SepangOnline

Sunday, November 13, 2005

Ezam nafi masuk Umno

Malaysia Today

Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Nor menafikan berita yang melaporkan bahawa beliau keluar dari keADILan dan menyertai Umno.

Dalam laporan sebuah berita web, mereka menerima surat layang yang menamakan diri beliau sebagai ZY dari Wangsa Maju Kuala Lumpur mendakwa Ezam akan membuat pengumuman memasuki Umno pada minggu kedua Hari Raya Aidilfitri berserta dengan beberapa orang penggerak PKR termasuk jentera Bahagian Shah Alam.

Menurut laporan itu juga, spekulasi mengenai kemasukan semula Ezam ke dalam Umno semakin bertiup kencang sejak kebelakangan ini kerana kurangnya “serangan” Ezam terhadap pemimpin-pemimpi Umno seperti yang dilakukan sebelum ini.

Di Ibu Pejabat keADILan pagi ini (12 November 2005), Ezam mengadakan satu sidang media bagi menjelaskan penafian beliau dan mengumumkan bahawa beliau akan terus memerangai rasuah dan mengukuhkan demokrasi melalui satu pertubuhan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK).

"Maka, atas rasa tanggungjawab untuk berjuang melakukan perubahan, khususnya di dalam menjadikan negara ini mampu berdiri sebagai sebuah negara yang berwibawa menghadapi persaingan zaman ini," jelas Ezam.

Gerak akan bergerak atas lima asas utama iaitu pendidikan, kebebasa institusi kehakiman dan kewibawaan undang-undang, media yang bebas, institusi anti-korupsi yang independen dan membentuk jaringan kerjasama antara institusi masyarakat.

Dalam pendidikan, Ezam yang bertindak sebagai pengerusi badan itu akan menganjurkan program seperti 'GERAK Zon Bebas Korupsi.'

Dalam konteks pendidikan, Ezam akan membina budaya yang membenci korupsi dan menjadikan “korupsi musuh nombor satu negara.”

Ezam yang sebelum ini pernah didakwa di bawah Akta Hasutan (OSA) berkata, di negara ini banyak menyaksikan kes-kes korupsi yang tidak dihukum dengan sewajarnya dan mengakibatkan korupsi terus berkembang.

Justeru, menurutnya, institusi kehakiman yang bebas adalah prasyarat di dalam sistem demokrasi yang mampu menjamin penguatkuasaan.

Dalam aspek media bebas pula, sekatan yang dikenakan oleh kerajaan menjadikan demokrasi tidak berfungsi secara adil di negara ini.

"GERAK komited untuk mendidik rakyat betapa pentingnya mempunyai budaya media yang bebas," kata Ezam lagi.

Meskipun rasuah menjadi agenda perjuangan parti pemerintah, tetapi bagi Ezam, Umno tidak pernah bersungguh-sungguh dalam hal ini.

"Anwar Ibrahim ketika di dalam kabinet telah beberapa kali meminta agar Badan Pencegah Rasuah (BPR) diletakkan di bawah Parlimen," jelas Ezam.

Semasa pengumuman itu dibuat, Ezam memberitahu bahawa GERAK di peringkat negeri akan diadakan di Kedah pada 18 November akan datang sempena menghormati dan menyanjungi perjuangan Almarhum Dato Fadzil Nor sebagai pengasas GERAK, sebuah gabungan parti-parti politik dan NGO yang bersama menuntut reformasi di negara ini sebaik sahaja Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat dan ditahan semasa pemerintahan Tun Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, GERAK akan dilancarkan di setiap negeri di Malaysia dan membuka penyertaan untuk setiap rakyat Malaysia sebagai sukarelawan.

"GERAK akan berjuang melangkaui batasan politik, bebas dan bukan sebahagian daripada mana-mana parti politi di negara ini," jelas Ezam.

Dalam masa yang sama juga GERAK bersedia bekerjasama dengan semua organisasi dan badan masyarakat termasuk parti politik di dalam dan di luar pemerintahan hari ini sekiranya mereka bersedia berkongsi aspirasi dengan GERAK, yakni berjuang bersungguh-sungguh ke arah memperkukuhkan demokrasi dan menghapuskan korupsi di negara ini sehingga lahir sebuah negara yang berwibawa dan mampu menghadapi persaingan zaman.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home