SepangOnline

Thursday, November 10, 2005

MEDIA KEADILAN RAKYAT

“SEARCH COMMITTEE” UNTUK MENCARI NAIB CANSELOR
10 November 2005

--------------------------------------------------------------------------------

Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Haji Mohd Shafie bin Salleh, yang mencadangkan idea “Search Committee” untuk mencari Naib Canselor bagi Universiti. Katanya ini satu cara untuk menaikkan taraf universiti di negara ini.
Konsep “Search Committee” ini bukan baru. Ia dilaksanakan oleh banyak universiti yang terkenal. Bahkan sebelum Akta Universiti dan Kolej-Kolej Universiti (AUKU) dipinda kira-kira 30 tahun dulu, Universiti Malaya mencari Naib Canselor melalui jawatankuasa “Search Committee”, yang dibentuk oleh Majlis Universiti. Naib Canselor yang terakhir dipilih mengikut proses ini ialah Prof Ungku Aziz.

Sebelum AUKU, Majlis Universiti agak bebas dan berwibawa, dengan ahli-ahlinya terdiri daripada wakil-wakil Alumni (Siswazah) Universiti, Senat Universiti (terdiri dari para professor dan ketua jabatan), dan juga lantikan yang mewakili negeri-negeri dan sultan-sultan. Majlis ini tidak tunduk kepada pemerintah. “Search Committee” melapor kepada Majlis, yang membuat keputusan tanpa dipengaruhi kerajaan.

Akan tetapi, Menteri Dr Shafie menyatakan bahawa “Search Committee” beliau akan mengemukakan nama-nama calon yang dicari kepada Menteri Pendidikan Tinggi. Menteri itulah yang membuat keputusan muktamad calon mana hendak dipilih. Jadi, pasti unsur politik parti akan menentukan siapa bakal menjadi naib canselor.

Dr Sahafie tidak menyebut pula siapa-siapakah yang akan menganggotai “Search Committee” beliau. Jikalau mereka dipilih dari kalangan anggota “majlis” yang ada sekarang, unsur politik parti pemerintah masih kuat juga. Selepas AUKU dipinda sturktur Majlis Universiti diubah, dengan majoriti terdiri dari mereka yang ditunjuk oleh kerajaan.

Lepas itu “majlis” ini diganti dengan Lembaga Pengurus, yang pengerusi serta ahli-ahlinya dilantik oleh kerajaan. Tidak ada tanda ia mampu bertindak secara bebas. Jadi, jikalau ahli-ahli “Search Committee” dipilih oleh Lembaga Pengurus dan kemudian melapor kepada Lembaga ini juga untuk membuat keputusan akhir, pengaruh parti politik berkuasa masih kuat. Jawatan Naib Canselor itu masih boleh dipolitikkan.

“Search Committee” akan dapat memainkan peranan sepenuh hanya jikalau autonomi universiti dipulihkan. Ini mungkin tercapai sekiranya AUKU ditarik balik, Naib Canselor bukan ditentukan secara politk, majoriti anggota Majlis Universiti terdiri wakil-wakil dipilih oleh badan-badan yang ada kaitan dengan universiti dan pendidikan, ahli-ahli Senat Universiti terdiri dari semua professor dan bukan hanya yang diangkat oleh Naib Canselor, Dekan dipilih secara demokratik oleh ahli-ahli Fakulti (iaitu semua pensyarah) dan bukan dilantik oleh Naib Canselor yang dilantik oleh kerajaan, dan kenaikan pangkat ditentukan atas dasar pencapaian atau merit akademik.

Naib Canselor memang boleh memainkan peranan penting. Tetapi, taraf universiti akan lebih mudah dinaikkan jikalau wujud suasana dan semangat yang menggalakkan usaha mencari ilmu dan kebenaran melalui pengajaran yang berdikasi, penyelidikan serta kajian yang teliti serta bererti, dan hasil-hasil penerbitan yang berkualiti.

Jikalau pegawai-pegawai tinggi universiti terlalu banyak membuang masa bermain politik dan menaikkan ego sendiri, dan pihak pemerintah terlalu ghairah hendak menguasai universiti, pensyarah dan pelajar supaya menyokong mereka, suasana dan semangat keilmuan akan hilang. Maka akan hancurlah peluang universiti untuk menjadi pusat ilmu yang cemerlang.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home