SepangOnline

Monday, November 14, 2005

Ezam Lancarkan Gerak Demi Membanteras Barah Rasuah

NGO baru perangi rasuah. Parti rasuah berwaspada!

KUALA LUMPUR - Setelah banyak ramalan bahawa Ketua Angkatan Muda, Sdr Ezam Mohd Noor akan sertai parti rasuah, Ezam telah menafikannya dengan mengumumkan penubuhan sebuah badan bukan kerajaan yang berazam memperjuangkan demokrasi dan membanteras rasuah, Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), memandangkan ruang demokrasi yang semakin disempitkan dengan akta zalim yang mencengkam rakyat, ditambahkan lagi dengan budaya korupsi yang membarah.

Di antara matlamat penubuhan Gerak adalah untuk membina urustadbir bersih (good governance), yang susah dicapai jika tahap demokrasi dan gejala rasuah di negara kita kekal pada tahap sekarang. Media massa bebas yang memberi nafas kepada sistem demokrasi pula teruk dibelenggu oleh akta-akta kuno dan zalim seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Percetakan.

Ezam yang pernah didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan dipenjarakan 2 tahun kerana mengumumkan hasil siasatan BPR terhadap Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Dato' Seri Paduka Rafidah Aziz itu berkata, usaha penghapusan rasuah yang dijalankan pentadbiran sekarang lemah dan tidak bersungguh-sungguh. Ezam berkata demikian kepada para wartawan demikian dalam sidang media yang diadakan di ibu Pejabat Keadilan baru, di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.


BPR harus bebas...

Pendakwaan selektif yang pilih kasih demi memelihara kroni pemerintah. Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang masih diletakkan di bawah jagaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sendiri dengan sendirinya telah mencegah BPR daripada melaksanakan tugas membanteras rasuah dengan berkesan.

Atas sebab berkenaan, maka Gerak ditubuhkan oleh beliau demi merealisasikan pembaharuanan, khususnya dalam menjadikan negara ini mampu berdiri sebagai sebuah negara yang berwibawa.

Justeru, pergerakan masyarakat madani ini akan berkempen menerusi 5 cara utama, iaitu pendidikan, kebebasan kehakiman dan kewibawaan undang-undang, media bebas, institusi pencegah rasuah yang bebas, serta kerjasama di antara badan-badan lain yang sehaluan.

Program pendidikan seperti seminar, bengkel dan pengedaran risalah akan diadakan untuk mengubah sikap masyarakat terhadap korupsi, malah, mendidik rakyat untuk memahami hak mereka serta membenci korupsi.


Akan dedahkan bukti mengenai rasuah...

Gerak turut akan membawa isu-isu kepentingan rakyat, antaranya isu korupsi dan salahguna wang Petronas. Sehubungan itu, akan ditubuhkan badan pemantau perlakuan rasuah di negara ini, antaranya ‘Petronas Watch’ atau seumpamanya seperti mana amalan negara-negara luar.

Pemantau tersebut akan mengisytiharkan ‘zon bebas rasuah’ jika kawasan atau badan-badan tertentu didapati benar-benar bebas daripada budaya korupsi.

“Jika perlu saya akan mendedahkan beberapa dokumen rasuah di kalangan pemimpin kerajaan, termasuk pada zaman Abdullah Badawi. Mungkin jika beliau belum tahu, kita akan beritahunya,” ujar Ezam.

Gerak akan memberikan sokongan kepada Abdullah jika terbukti beliau bersungguh-sungguh memerangi gejala rasuah. Namun, sehingga kini belum terlihat kesungguhan Perdana Menteri dalam tindakannya menentang budaya korupsi yang semakin membarah.

Gerak juga akan memperjuangkan supaya institusi kehakiman dijadikan badan bebas. Institusi itu perlu dibebaskan daripada kongkongan politik sebagai prasyarat di dalam sistem demokrasi yang mampu menjamin pengurusan budaya kehakiman bebas.

Media yang bebas turut menjadi matlamat perjuangan Gerak, kerana sebuah negara demokrasi tidak akan berfungsi secara adil sekianya media dikekang.

Media di Malaysia telah dihambat dengan akta-akta yang mengcengkam demi survival pemerintah yang tanpa segan silu menguasai semua media utama negara. Akibatnya, ruang demokrasi menjadi amat terbatas.

“Rakyat perlu disedarkan betapa pentingnya mempunyai media yang bebas,” tegasnya.

Mengenai pembebasan BPR, Gerak akan mendesak dan memberi tekanan terhadap kerajaan demi membebaskan Badan Pencegah Rasuah (BPR) daripada cengkaman pemerintah dengan meletakkan institusi tersebut di bawah Parlimen.

“Gerak akan berjuang agar BPR menjadi sebuah badan bebas dan berwibawa. BPR wajib diletakkan di bawah Parlimen,” katanya.

Jaringan kerjasama antara institusi masyarakat, di mana kerjasama antara golongan akademik, NGO, media, badan agama dan parti politik juga merupakan suatu inisiatif penting bagi Gerak, kerana semua badan-badan ini harus dijuruskan ke arah membina suasana yang terbuka, terutamanya di dalam memperkukuhkan perubahan undang-undang.


18 Nov di Pokok Sena...

Gerak akan dilancarkan di setiap negeri secara berperingkat bermula di Muasassah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah pada 18 November akan datang bersempena menghormati dan menyanjungi perjuangan Almarhum mantan Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Nor yang pernah mengasaskan Gerak, gabungan parti politik dan NGO yang bersama-sama menuntut reformasi di negara ini sebelum Barisan Alternatif ditubuhkan.

Matlamat perjuangannya melangkaui batas-batas politik, kerana Gerak bukan milik mana-mana parti politik. Ia dibuka kepada mereka yang mempunyai mana-mana ideologi politik, asalkan mereka berhasrat menyumbang tenaga untuk menghapuskan rasuah. Ezam juga meramalkan bahawa sebagai sebuah NGO, ia dapat mencapai kejayaan yang lebih luas kerana akan menghadapi kurang sedikit halangan daripada pemerintah, jika dibandingkan dengan sebuah parti pembangkang.

"Gerak membuka penyertaan kepada setiap rakyat Malaysia sebagai sukarelawan Gerak, yang melangkaui batasan politik, bebas dan bukan sebahagian daripada mana-mana parti politik di negara ini, termasuk Parti Keadilan dalam usaha berkongsi aspirasi dan berjuang bersungguh-sungguh ke arah memperkukuh demokrasi dan menghapus korupsi di negara ini sehingga lahir sebuah negara yang berwibawa dan mampu menghadapi persaingan zaman," tegas beliau lagi.

Sementara itu, Ezam juga menyingkapkan bahawa Gerak telah didaftarkan sebagai sebuah syarikat Sendirian Berhad, kerana adalah amat susah untuk kerajaan rasuah kita meluluskan sebuah NGO membanteras rasuah sebagai sebuah persatuan.

Apabila ditanya kesahihan khabar angin bahawa beliau dikatakan akan sertai parti rasuah yang bernama Umno itu, Ezam jawab, adalah mustahil baginya untuk menyertai sebuah parti yang tiada sebarang manifesto mengenai penghapusan rasuah, kerana beliau memang komited terhadap agenda reformasi, dan tidak akan dapat memainkan peranan demikian jika menyertai parti rasuah itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home