SepangOnline

Friday, November 11, 2005

Gerakan politik baru, Ezam akan umum Sabtu

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: “Politik sentiasa berubah, tidak mustahil saya menyertai Umno, NGO, PAS atau DAP selepas ini,” kata Ketua Angkatan Muda; Ezam Mohd Noor kepada Malaysia Today, ketika diminta mengulas ura-ura beliau bercadang menyertai semula Umno.

“Dalam politik segalanya mungkin,” sambungnya.

Ezam turut mengesahkan, beliau akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Timbalan Presiden Keadilan, Dr Syed Hussin Ali, hari ini (Jumaat) berkaitan pendiriannya itu.

Menurutnya, langkah politik terbarunya itu akan diumumkan sebaik sahaja dimaklumkan kepada barisan Exco Angkatan Muda, yang akan bermesyuarat 9.00 pagi Sabtu, ini.

“Saya akan umumkan pada sidang media khas, Sabtu ini, selepas semua Exco Angkatan Muda dimaklumkan mengenainya,” jelasnya ketika diminta penjelasan lanjut.

Beliau juga enggan mengesahkan berita bahawa beliau hanya akan bergiat dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) selepas ini.

Sebelum itu, berita kemasukan Ezam ke dalam Umno mulai tersebar apabila Laman Marhaen menyiarkan berita Ketua Angkatan Muda itu akan mengumumkan pendiriannya dalam minggu kedua selepas Eidul Fitri.

Penulis yang mengelarkan dirinya ZY-Wangsa Maju dipetik berkata Ezam sedang merancang langkah tertentu bersama Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang juga menantu Perdana Menteri.

Ezam menurut penulis itu, mempunyai hubungan intim dengan Khairy dan tokoh-tokoh tertentu dalam Umno.

Penyertaan semula Ezam ke dalam Umno, katanya sebagai salah satu langkah ‘mengintai’ peluang Anwar Ibrahim untuk kerusi Perdana Menteri.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda, Badrul Hisham Saharin yang dihubungi enggan menafikan kemungkinan ketuanya itu menyertai Umno.

“No komen,” katanya.

“Jika saya nafi, takut nanti jadi macam kes Roslan Kassim pula,” kata Badrul ketawa.

Tegasnya walau apapun yang berlaku, perjuangan Keadilan lebih besar daripada perjuangan individu.

Dalam pada itu, menurut Badrul mesyuarat Exco Angkatan Muda, Sabtu ini akan membincangkan beberapa perkara penting, termasuk persediaan Angkatan Muda menghadapi pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home