SepangOnline

Monday, June 27, 2005

Letak jawatan: BPR perlu siasat dan dakwa Isa Samad

Oleh Zulkifli Mohamed

PULAU PINANG – 26 Jun: Aktivis Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail berpendapat siasatan dan hukuman terhadap Naib Presiden Umno yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad tidak boleh terhenti setakat siasatan dan hukuman Lembaga Disiplin Umno sahaja, tetapi perlu didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Rasuah menurut Saifuddin, bukan dalam domain Lembaga Disiplin Umno untuk bertindak, tetapi ia adalah dalam domain BPR. Badan itu mempunyai bidang kuasa melampaui kesemua pesalah rasuah sama ada kakitangan kerajaan, swasta ataupun di kalangan ahli politik.

“Sebab itu kita mengesa BPR segera menahan Mohd Isa kerana sudah tentu ada peruntukan dalam akta rasuah yang boleh mensabitkan beliau.”

“Antara tuduhannya antara lain ialah Tan Sri Isa mengumpul perwakilan Umno di premis pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, maknanya dia menyalahgunakan premis menteri untuk kepentingan politiknya, ini bererti beliau menyalahgunakan kuasanya,” katanya.

“Gambarannya sekarang Lembaga Disiplin Umno lebih berkuasa daripada BPR.”

“Ini sebenarnya meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap integriti dan keupayaan BPR yang selalunya bergelut hendak mengumpul bukti, tetapi Lembaga Disiplin Umno ini boleh selesaikan siasatan dalam masa 24 jam sahaja,” katanya yang ditemui selepas berceramah di Batu Lintang, Sungai Petani, semalam.

Saifuddin turut mengesa Mohd Isa mengambil tanggungjawab moral dengan melepaskan semua jawatan yang ada kepentingan awam, sama ada sebagai Menteri dan Ahli Parlimen.

“Pemimpin perlu kelihatan lebih putih daripada putih. Jika tidak, beliau tidak boleh menjadi Menteri Wilayah Persekutuan yang efektif.”

“Beliau tidak perlu menunggu arahan Perdana Menteri untuk melepaskan kesemua jawatannya itu,” ujar Saifudin.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua turut sependapat.

“Isa perlu meletakkan semua jawatannya dalam kerajaan.”

“Beliau sebagai Menteri yang banyak meluluskan projek perlu diadili secara terbuka, biar rakyat sendiri menilai dan bukannya hanya berdasarkan siasatan dalaman Lembaga Disiplin Umno sahaja,” ujar Tian yang dihubungi hari ini.

Beliau juga menganggap hukuman ke atas Mohd Isa, bukannya bukti kesungguhan kerajaan membanteras gejala rasuah dalam pentadbirannya.

“Kita tidak menganggap kerajaan serius menanggani rasuah, kerana kes itu sepatutnya diserahkan kepada siasatan BPR untuk mendakwanya di mahkamah.”

Lagipun, menurut Tian hukuman yang dikenakan terhadap Isa hanyalah tindakan disiplin kerana melanggar peraturan Umno, bukannya disabit dengan kesalahan Akta Rasuah.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang, Aminah Abdullah mahukan Perdana Menteri bertindak lebih ikhlas memerangi rasuah.

“Kita mahu, bukan setakat Isa Samad disiasat tetapi juga kepada semua menteri kabinetnya.

“Apa sudah berlaku terhadap siasatan BPR terhadap tuduhan rasuah 18 individu yang berprofil tinggi, yang pernah didedahkan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim?

“Bagaimana tuduhan terhadap Datuk Seri Rafidah, Tan Sri Rahim, Datuk Seri Khir Toyo, Datuk Seri Anuar Musa, Datuk Seri Samy Vellu, Datuk Seri Nazri Aziz dan ramai lagi,” tanyanya.

Kita tidak teragak-agak menyokong tindakan Perdana Menteri, jika beliau benar-benar ikhlas membanteras rasuah, kata Aminah.

Keputusan penggantungan Mohd. Isa dibuat oleh panel lembaga disiplin Umno pada 24 Jun dihadiri oleh semua anggotanya dan dipengerusikan oleh Tengku Ahmad Rithauddeen.

Mohd Isa dituduh melakukan sebanyak tujuh tuduhan melanggar perkara 2.2 Tata Etika Ahli Umno dan satu pertuduhan melanggar perkara 2.1 Tata Etika Ahli Umno dan satu lagi melanggar perkara 5 tata Etika Ahli Umno.

Beliau antara lain didakwa membenarkan agennya menyogok perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highland, Kuala Lipis dan Bentong pada 11 September 2004.

Isa juga didakwa membenarkan agennya membayar RM1,000 seorang kepada perwakilan UMNO ke Perhimpunan Agung di Hotel Crown Princes Kuala Lumpur pada jam 11 malam 22 September dan pagi 23 September 2004.

Kejadian sama didakwa berlaku pada jam 1 pagi 23 September di Hotel Pan Pacific dan Hotel Legend Kuala Lumpur.

Selain itu, Isa juga dituduh membenarkan agennya memberi RM 300 kepada perwakilan UMNO dari Kedah di Hotel Holiday Villa, Alor Setar dan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani antara dua dan tiga minggu sebelum pemilihan.

Wang sama banyak juga didakwa diberi kepada perwakilan UMNO Sabah di Tanjong Aru Golf Club dan Kandarah Court pada awal bulan September.

Mohd Isa memenangi jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan Agung parti itu dengan memperolehi 1,507, kedua Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam 1,329 undi dan ketiga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan 1,234 undi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home