SepangOnline

Wednesday, June 08, 2005

Keadilan gesa kerajaan telus dalam mengeluarkan AP

Malaysia Today

KUALA LUMPUR 7 Jun - Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) menyatakan rasa kecewanya dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perihal import permit (AP). Dalam kenyataan-kenyataan Perdana Menteri sebelum ini, beliau banyak merujuk kepada keperluan dalam ketelusan urus-tadbir negara.

Menurut Ketua Penerangan Keadilan, Tian Chua, pendirian tersebut membuktikan sokongan Abdullah terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Paduka Rafidah Aziz yang enggan mendedahkan pihak-pihak yang diluluskan menerima AP tersebut.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mengkritik kerajaan dalam membenarkan AP dikeluarkan sewenang-wenangnya. Jelas menunjukkan bahawa Mahathir prihatin dengan nasib yang bakal menimpa pengeluar kereta nasional, Proton.

Keadilan dalam kenyataan akbarnya percaya pembahagian AP tersebut merupakan salah satu cara menghargai pihak-pihak yang menyokong parti politik pemerintah dan para kroni mendapat imbuhan.

Tian Chua berkata, perselisihan yang berlaku itu menjadi tanda berlakunya perebutan kuasa dalaman.

"Semasa beliau berkuasa, Mahathir menyelamatkan pengeluar kereta tempatan dengan menaikkan tarif kereta import dengan tinggi," kata Tian Chua.

Tindakan yang diambil oleh Abdullah itu akan mengancam pertumbuhan keuntungan yang dikecapi Proton.

Proton yang memperolehi keuntungan dengan keadaan monopolinya selama hampir 20 tahun mestilah mengambil langkah-langkah perlu dalam bersaing dalam kuasa pasaran global.

Dalam kenyataan Keadilan, ia menyebut kelemahan kepada polisi automobil negara adalah imbasan kepada isu-isu yang lebih besar yang dialami oleh rakyat.

"Keengganan kerajaan dalam mendedahkan secara terbuka penerima AP tersebut dalam pengurusan ekonomi akan mengancam pertumbuhan negara dalam jangka panjang," jelas kenyataan tersebut.

Justeru itu, Keadilan meminta agar Perdana Menteri menjalankan perubahan kepada ekonomi terutama sekali kepada penstrukturan semula industri automobil negara.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home