SepangOnline

Wednesday, June 08, 2005

Amanat kepada golongan Mahasiswa

Anwar Ibrahim
(First published in June 2003)

Secara kebetulan, di kesempatan terakhir bertemu dengan adik-adik di London April '98 yang lalu, saya mengenengahkan isu pembaharuan dan reformasi. Bahkan pada tanggapan saya, kegawatan ekonomi perlu dijadikan iktibar mendorong kita melakukan islah, membetulkan kepincangan termasuk gejala rasuah yang kian merebak, unsur kronisme dan nepotisme dalam pengurusan ekonomi. Nyata kemelut sistem di negara kita tidak serumit yang dialami oleh beberapa negara jiran, namun jika dinafikan kewujudan aliran negatif, ia akan mencengkam institusi dan akan menjalar pantas sebagai barah yang sukar dikawal lagi.

Saya nukilkan semula pengajaran dan iktibar dari Surah Yusuf Alaihiwassalam di dalam Al Quran (Joseph dalam Bible) yang saya galurkan berulangkali dalam ucapan Belanjawan sejak lima tahun yang lalu; iaitu ekonomi jernih dan melimpah bukan untuk dimegahkan atau dibelanja secara membazir; bahkan perlu kita insafi bagi menghadapi musim kemarau berikutnya. Bagi penguasa yang asyik dengan kilauan projek mega, dibuai dengan pujian dan ampu, dibentangkan dengan projek raksasa dan gemerlapan, mercu tanda terhebat di dunia, empangan terbesar, kotaraya tercanggih dan mahligai peribadi paling gemilang, pengalaman Nabi Yusuf adalah usang dan tidak relevan. Akhirnya, manakala kita dikejutkan dengan badai taufan ekonomi yang menggegarkan, keutuhan ekonomi negara yang dikira cukup kebal, kita gelabah, mengamuk dan menyalak menyalahkan semua pihak yang lain melainkan kita sendiri.

Kita tidak nafikan bahawa sebahagian dari punca kegawatan ialah akibat sistem ekonomi dunia yang tempang dan tidak adil bagi negara-negara membangun. Para spekulator matawang mengambil kesempatan dari kelemahan asas atau 'fundamentals' ekonomi, menyerang dan mengambil keuntungan jangka pendek. Dalam masa singkat, nilai matawang baht, won, rupiah, dan kemudiannya ringgit juga merudum. Pembaharuan bagi tatacara kewangan dunia(new architecture of the international financial system) akan mengambil masa. Sementara itu, negara-negara yang menghadapi krisis terpaksa bergelut melepaskan dari krisis. Mereka merujuk kepada Tabung Kewangan Antarabangsa(IMF) bagi menyediakan dana penyelamat. IMF dan Bank Dunia pun menggunakan kesempatan tersebut mengemukakan penyelesaian dengan menuntut pembaharuan dalam pengurusan ekonomi yang lebih telus,bertanggungjawab dan menghindarkan dari amalan rasuah.

Malangnya preskripsi mereka termasuk mengenakan kadar faedah yang tinggi,menaikkan cukai dan membatalkan sebahagian dari subsidi. Alasan mereka ialah negara tersebut hampir bankrap dan harus bertindak sewajarnya. Pendekatan tersebut diamalkan di Thailand, Korea Selatan dan Indonesia dengan harga atau kos sosial yang tinggi.

Pada ketika itu, saya memililh jalan sederhana seperti juga Menteri-menteri Kewangan terdahulu, saya merujuk kepada IMF mengikut Artikel IV Perlembagaan tetapi tidak bersetuju dengan kebanyakan cadangan mereka. Saya bentangkan Belanjawan Khas berjimat dan berhemat; membatalkan projek-projek mega, megah dan raksasa seperti Bakun, Linear City, Putrajaya fasa berikut. Bahkan pembinaan kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya turut dibatalkan. Peruntukan pendidikan, kesihatan dan pembasmian kemiskinan diteruskan. Meskipun kadar faedah dinaikkan untuk sementara waktu bagi mengelakkan spekulator matawang asing mengambil kesempatan.

Saya tambah dana bagi penjaja, tabung pendidikan, dan lebih dua setengah bilion ringgit untuk Tabung Industri Kecil dan Sederhana. Dan, bagi mengelakkan canpurtangan politik dalam penyusunan semula bank/institusi kewangan/syarikat-syarikat bermasalah, saya tubuh DanaModal dan Danaharta. Perbendaharaan, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti harus lebih tegas melaksanakan tanggungjawab mengikut prinsip dan amalan pengurusan yang baik (good governance).

Menggunakan kaedah pengurusan yang telus, mengamalkan prinsip pertanggungjawaban (accountability) dan membanteras rasuah tidak disenangi oleh banyak pihak. Bahkan, tatkala saya memangku jawatan Perdana Menteri pada tahun 1997 saya telah kemukakan Akta Pencegahan Rasuah yang baru, lebih kukuh dan mempunyai peruntukan yang membolehkan tindakan diambil kepada pemimipin atau pentadbir yang rasuah sekiranya didapati mempunyai kekayaan luar biasa semasa berkuasa atau diketahui menyorok harta walaupun setelah bersara. Ramai pemimpin yang amat mencurigai Akta tersebut dan tidak menyenangi keputusan saya.

Syahdan, bermulalah bibit ketegangan dan keretakan di antara saya dan Dato' Seri Dr. Mahathir. Dari sudut ekonomi dan kewangan termsuklah teguran saya bahawa adalah kurang wajar dimulakan langkah penyelamat (bailout) dengan dana hampir dua bilion ringgit kepunyaan Petronas untuk syarikat anaknya Mirzan. Saya juga melaporkan mengenai sejumlah wang hampir satu billion ringgit yang dikeluarkan oleh Tun Daim Zainuddin ke Switzerland. Saya punyai dokumen, yang membuktikan rasuah Tun Daim menerima wang dan saham sebanyak 600 juta ringgit tatkala beliau menjadi Menteri Kewangan. Pertuduhan Peguaa Negara mengenai rasuah oleh seorang Menteri Kanan disenyapkan sahaja atas arahan Perdana Menteri. Dokumen tersebut juga terdapat dalam simpanan saya.

Beberapa kes lain boleh saya senaraikan, dan saya sukar menelan begitu sahaja. Jiwa saya tertekan, dan saya merayu dengan tegas meminta Dato Seri Dr. Mahathir melakukan perubahan. Apa yang dilakukan ialah bertentangan dengan seruan tersebut. Manakala Suruhanjaya Sekuriti menolak permohonan syarikat UEM mengenai penyusunan semula syarikat yang nyata tidak adil kepada pemegang saham minoriti, Dato Seri Dr. Mahathir menyarankan Unit Perancang Ekonomi,Jabatan Perdana Menteri meluluskannya. Pasaran saham merudum lagi secara mendadak. Beliau masih mahu meneruskan dengan projek mega, sanak-saudaranya terus mengemukakan projek-peojek bersama kroni.

Pampasan untuk Syarikat Ekran yang dikemukakan oleh Price Waterhouse diketepikan kerana beliau lebih cenderung menerima rayuan dari sahabat handai atau kroninya. Permohonan penswastaan, projek-projek yang melibatkan keluarga dan kroni segera diluluskan termasuk projek kontroversial penswastaan perkhidmatan kesihatan untuk syarikat anaknya, Mokhzani. Bagi meneruskan agenda tersebut, saya mula dipinggirkan dan Tun Daim diminta mengendalikan rancangan bagi menjamin kepentingan keluarga dan kroni.

Saya masih patuh, bekerja sebagai anggota pasukan tetapi enggan mempertahankan lagi sifat tamak haloba dan bermegah-megah. Dalam ucapan-ucapan termasuk UMNO, dan kerajaan, saya menyeru dengan sopan supaya kita lakukan islah dan pembaharuan dengan sebaiknya. Bahkan saya nukilkan ungkapan "creative destruction" oleh pemikir ekonomi Schumpeter menggesa supaya dalam menangani kemelut sekarang, kita robohkan aspek negatif rasuah,tamak, ketidaktelusan dan bina satu sistem lebih ampuh yang adil dan bersandarkan kerukanan agama dan pertimbangan akhlak. Himbauan satu gagasan saya pada ketika itu tidak terbatas kepada system ekonomi manusia yang beretika bahkan juga usaha merancang ke arah demokrasi dan masyarakat madani serta pemerkasaan budaya. Dan intisari pandangan tersebut dihuraikan dalam Asian Renaissance (1996) dan terjemahan serta kupasan tambahan dalam Gelombang Kebangkitan Asia (1997).

Tindakan, walaupun secara terbatas sekali berserta pandangan yang dihimbau dirasakan oleh kelompol politik termasuk kroni saudagar kaya di sekeliling Dr. Mahathir sebagai mengancam kedudukan dari kepentingan keluarga Dr. Mahathir dan kroninya. Komplot kecil kemudiannya merancang konspirasi untuk menyingkir dan melenyapkan karier politik saya. Saya tidak berhasrat memanjangkan hal peribadi kerana jika kepentingan peribadi yang menjadi pertimbangan saya akan mengaminkan sahaja semua cadangan 'bailout' dan diam terhadap rasuah dan penyelewengan; membisu dengan kenyataan yang menghina hukum Islam dan ulamaknya.

Cara sedemikian akan menjamin kedudukan saya nanti sebagai PM dan saya boleh sekongkol dengan cara kebanyakan pemimpin lainnya menimbun kekayaan,membina mahligai peribadi dan merompak khazanah negara. Saya tidak sanggup menanggung dosa, mengkhianati amanah umat, bangsa dan negara. Sesungguhnya,sebelum saya dipecat sekalipun rakyat sudah mulai sedar terhadap kerakusan kuasa serta rasuah yang merebak. Mereka dapat saksikan sendiri pemimpin-pemimpin mempamerkan kekayaan, menggadai maruah, rakus menggunakan kuasa.

Jadi saya tidak terkejut dipecat, dikeluarkan dari kancah politik adu-domba dan tamak haloba. Namun cara saya diaib dan difitnah saban hari; rumah dan keluarga diserbu; saya dipukul, dibelasah teruk dan setelah dipenjara enam tahun mengikut skrip konspirator yang zalim; usaha mengaib, mendera dan menghukum lagi diteruskan. Seperti mana yang saya nyatakan: "Jasad terpenjara, jiwa tetap merdeka." Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dapat tabah dan cekal menghadapi ujian.

Azizah dan anak-anak serta rakan-rakan seperjuangan terus gigih meneruskan agenda islah dan reformasi menegakkan kebenaran dan keadilan. Saya rumuskan keganasan, fitnah dan kezaliman terhadap saya seperti berikut:

Pertama, memukul saya teruk, kemudian Dr. Mahathir,Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Mohtar, Peguam Negara cuba menafi dan menyorok kenyataan. Manakala terpaksa dihadap ke mahkamah, Tan Sri Rahim hanya disaman sama seperti menghadapi kes kesalahan trafik.

Kedua, dalam salah laku seks, afidavit, aduan dan saman Dr. Munawar, Sukma dan Mior Abdul Razak terhadap penderaaan Polis memaksa pengakuan palsu. Tidak ada siasatan terhadap Polis berkenaan di sebaliknya, mereka dan Azmin Ali dihadapkan semula ke mahkamah. Di Mahkamah, dalam kes yang lalu, semua permohonan peguam bela dianggap tidak relevan, keterangan sepuluh saksi ditolak dan peguam Zainur Zakaria dipenjara kerana afidavit dikemukakan membuktikan mala fide, niat jahat pendakwa memaksa Dato' Nalla memberikan keterangan palsu dan mengaibkan saya. Dan kini, dalam kes yang melibatkan Azizan, tiga tuduhan dipinda – mulai dari 1994 (Mei). Setelah pengakuan bersumpah di mahkamah bahawa tidak ada sebarang salahlaku seks sesudah 1992; pindaan dibuat kepada Mei, 1992. Setelah peguam mengemukakan notis alibi membuktikan Tivoli Villa belum wujud pada ketika itu,pertuduhan dipinda ke tahun 1993 (di antara Jan - Mac). Inilah yang disebut skrip konspirator,pendakwaan berniat jahat, berdendam (vile, vindictive,malicious prosecution).

Ketiga, Dr. Mahathir dan kerajaan menggunakan media,wang yang banyak dan jentera kerajaan membuat pelbagai tuduhan rasuah, alat IMF dan kuasa asing dan sebagainya.

Propaganda dan tuduhan sedemikian mengingatkan saya akan pemerintahan Hitler, Mussolini dan diktator-diktator lain. Alihkan pandangan Rakyat dari isu sebenar, cari musuh dlam dan luar negeri dan serang merkea. Ada pemimpin rapat dengan Dr. Mahathir yang terpesona dengan muslihat atau strategi Goebbles, Menteri Penerangan Hitler yang menyatakan fitnah yang diulang puluhan kali akan dapat meyakinkan juga akhirnya.

Inilah halacara politik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara! Bezanya ialah Machiavelli menjurus kepada raison d'etre, alasan mempertahankan negara. Meskipun caranya diketahui menyalahi pertimbangan etika dan hukum agama.

Namun, bagi setengan kalangan tersebut, matlamat bukan lagi negara, tetapi kekayaan peribadi dan kuasa rakus untuk didewakan oleh rakyat. Justeru itu, peranan media sebagai bahan propaganda dikerahkan untuk maksud sempit. Media dikuasai oleh kelompok kecil dan towkay atau saudagar kaya. Dr. Mahathir dan Tun Daim menguasai kumpulan Utusan Melayu, New Straits Times dan TV3. Maka bersama RTM, berhempas pulaslah mereka memfitnah dan menyerang. Jawapan atau penjelasan saya, Azizah pemimpin-pemimpin parti alternatif tidak dilayani. Tipu helah, adu-domba ditingkatkan.

Akhirnya rasuah saya yang berjaya mereka buktikan dalam mahkamah mengikut skrip mereka ialah keterangan Ketua Cawangan Khas Polis bahawa saya ada berbincang dengannya. Tidak ada wang, tanah atau lesen! Mengenai IMF, saya telah jelas. Bahkan sejak 1991, ucapan-ucapan saya di IMF dan Bank Dunia mempertikai penyelesaian umum cadangan IMF serta menolak prasyarat pinjaman atau bantuan menurut kaedah "conditinalities". Dalam media mereka saban hari dihebahkan kisah alat negara asing. Alasannya ialah saya disambut dengan permaidani merah di Washington. Setahu saya, PM China Zhu Rongji juga disambut lebih hebat lagi. Saya sendiri disambut sedemikian di Sudan, Filipina, China dan lain-lain negara. Kalaulah ini dicemburui, saudara-saudara wajar menyambut Dato Seri Dr. Mahathir dengan tiga permaidani merah di London nanti. Kemudian kemukan soalan dengan tegas meminta dihentikan kezaliman dan segera berundur.

Kecaman media tidak terbatas kepada saya. Tuan Guru Nik Abdul Aziz diserang kerana kenyataannya mengenai wanita. Media memutarbelitkan kenyataannya meminta wanita terus menjatga keluarga dan rumahtangga. Kenyataan beliau mengenai cacian dan carutan terhad kepada penjelasan telah dikecam sebagai menggalakkan mencarut. Yang pelik ialah karya (novel satira) Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, SHIT dianggap lucah padahal DNA,dubur tidak lucah buat mereka. Ucapan bernas Ustaz Fadzil Noor dalam Muktamar PAS tidak diberi liputan meskipun kupasan beliau mengenai "keadilan dalam perspektif Islam perlu diteliti oleh rakyat.

Yang direka-cipta ialah kenyataan mengadu-domba,takutkan kerjasama yang terjalin di antara PAS,KeADILan, DAP dan PRM. Sdr.Lim Kit Siang dilaporkan sebagai berkata "Malaysian Malaysia" diutamakan seolah-olah menolak kedudukan Bahasa Melayu dan Hak Keistimewaan Melayu. Kenyataan beliau di sebaliknya dan bahawa beliau menentang penyalahgunaan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme tidak dilaporkan. Pandangan tersebut adalah selaras dengan faham kita. Dalam bidang perniagaan, perlu ada dedikasi peniaga, tetapi yang berlaku sekarang seperti kata Ustaz Hadi Awang ialah "daddy kasi." Sdr. Syed Husin Ali masih dituduh berpaut kepada ideologi sosialis, walhal sikap beliau tehadap pembangunan, keadilan berteraskan prinsip adil dan ihsan. Azizah diserang kerana dikatakan keturunan Cina dan ke Filipina untuk memohon sokongan. Saya tidak pentingkan soal keturunan, yang penting ialah solehah dan istiqamah dalam perjuangan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home