SepangOnline

Saturday, June 11, 2005

Keadilan dan kebebasan untuk pekerja wanita MAS

Malaysia Today

PUTRAJAYA 10 Jun 2005: Lebih 40 buah pertubuhan bukan kerajaan dan parti-parti politik telah menyokong memorandum menuntut keadilan dan kesaksamaan pramugari MAS. Memorandum Mengenai Kesaksamaan Gender Terhadap Pramugari MAS telah diserahkan kepada dua menteri, Menteri Pengangkutan dan Menteri Sumber Manusia oleh wakil Joint Action Group Against Violence Against Women (JAG-VAW), Maria Chin.



Memorandum tersebut yang mengandungi enam perkara yang melibatkan syarat-syarat dalam Perjanjian Kolektif MAS yang mendiskriminasi wanita. Selain itu, memorandum tersebut juga menuntut kementerian-kementerian Sumber Manusia, Pengangkutan dan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti empat tuntutan agar dilakukan tindakan dengan kadar segera bagi mengakhiri diskriminasi berasaskan gender ini.

Mengandung dan melahirkan anak merupakan fungsi reproduktif sosial yang spesifik kepada wanita, dengan itu wanita tidak harus dihukum berasaskan fungsi reproduktif mereka.

Maria berpendapat, tindakan MAS yang menghadkan bilangan anak bagi pekerja wanita dan mereka hanya boleh mengamdung selepas lima tahun bekerja, jelas bertentangan dengan Seksyen 37(c), Akta Pekerjaan 1955 (Akta 265).

Menurut Maria, tawaran yang diberikan oleh MAS baru-baru ini untuk membenarkan pramugari mempunyai tiga orang anak daripada dua, masih belum memadai dan ia masih mengamalkan peraturan yang mendiskriminasi pekerjanya berasaskan gender.



Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Fuziah Salleh, mewakili parti menyokong memorandum tersebut. Fuziah memberitahu Malaysia Today bahawa Wanita Keadilan pada tahun 2003 telah pernah mengeluarkan Kenyataan Media menggesa MAS dan Kementerian Pengangkutan juga Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (nama pada masa itu) agar layanan diskriminasi MAS yang berdasarkan gender dihentikan.

”Tiada tindakan yang dibuat, dan kita lihat baru kini kementerian cuba berunding dengan MAS untuk mendapatkan hak bagi pekerja kabin wanita MAS. Itu pun selepas NGOs membuat desakan dan tekanan,” katanya.

Orang ramai melihat wanita hanya berguna semasa muda dan tidak boleh menyumbang apabila usia sudah meningkat, sedangkan wanita-wanita tersebut sudah mempunyai pengalaman yang luas dan melalui latihan untuk berada di tahap itu. Menurut Fuziah, pemikiran masyarakat perlu diubah daripada mindset steriotaip kepada yang menilai wanita mengikut kemampuannya bukan rupa semata-mata.

Exco Wanita Keadilan, Haniza Talha yang turut hadir pada majlis penyerahan memo tersebut, berpendapat, tindakan dan layanan MAS terhadap pekerja-pekerja wanitanya akan menjadi ’precedence’ kepada syarikat-syarikat lain. Malah, pada majlis tersebut turut hadir pekerja-pekerja kilang yang mengalami nasib yang sama seperti Beatrice, yang telah diberhentikan kerana mengandung.

Shahrizat berkata kementeriannya telah mendapatkan persetujuan yang baik daripada MAS dan mereka (pekerja MAS) semua merasa gembira dengan tawaran yang dipersetujui oleh MAS iaitu; menambahkan bilangan anak daripada dua kepada tiga; dan menaikkan gratuity daripada RM800 kepada RM1,000. Menurut Shahrizat tawaran tersebut merupakan satu kemajuan.

”Hak yang tidak pernah diberikan sudah tentunya tidak akan dirasakan kehilangannya dan kekurangannya. Disebabkan pekerja kabin (wanita) MAS tidak pernah menikmati hak untuk dilayan sama seperti pekerja lelaki, sudah tentu sedikit yang diberi telah menggembirakan mereka. Persoalannya, adakah Shahrizat sudah berlaku benar terhadap Deklarasi Putrajaya yang dibuat semasa Mesyuarat Menteri-menteri mengenai Kemajuan Wanita April lalu. Saya lihat ini merupakan contoh klasik, apa yang dikatakan Perdana Menteri Abdullah Badawi, ”Infrastruktur negara maju tetapi mentaliti dunia ketiga”. Bagaimana amalan diskriminasi sebegini boleh terlepas daripada pemerhatian kementerian-kementerian yang berkaitan dan ia masih berterusan dengan perubahan yang begitu lembab. Tindakan diambil hanya setelah didesak dan digesa oleh NGO dan pembangkang,” tambah Haniza.

Turut hadir dalam majlis penyerahan memo tersebut ialah wakil DAP, YB Teresa Kok, ahli Dewan PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud, pesuruhjaya Suruhanjaya Penambahbaikan Polis, Ivy Josiah dan wakil-wakil NGO lain seperti HAKAM, Tenaganita, Suaram dan MTUC.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home