SepangOnline

Thursday, June 16, 2005

PKR bantah pemindahan penghuni Flet Pekeliling

Oleh Hafiz Mohd Baqi
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah pemindahan penghuni Perumahan Awam Tunku Abdul Rahman (Flet Pekeliling) sehingga segala masalah penghuninya untuk proses pemindahan dapat diselesaikan.


Sehubungan itu satu memorandum telah dihantar oleh PKR kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggesa pihak berkuasa tersebut merangka jalan terbaik bagi mengatasi masalah penduduk Flet Pekeliling yang mahu dipindahkan ke sebuah kawasan penempatan baru.

Memorandum tersebut telah diserahkan oleh Ketua Penerangan PKR, Tian Chua bersama-sama pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan, Dr Sanusi Osman; Naib Ketua Angkatan Muda PKR, S Manikavasagam serta penghuni Flet Pekeliling di Ibu Pejabat DBKL kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Antara sebab yang dikemukakan kepada DBKL berhubung bantahan tersebut termasuklah tidak ada pampasan sewajarnya daripada DBKL atau kerajaan kepada penghuni, kadar sewa di penempatan baru lebih mahal, saiz rumah yang disediakan di penempatan baru lebih kecil berbanding saiz unit Flet Pekeliling dan pemindahan tersebut memerlukan kos yang tinggi.

Dalam memorandum tersebut, PKR turut mempertikaikan mengapa DBKL perlu memberi kotrak selama tiga tahun kepada penghuni Flet Pekeliling ke penempatan baru dan kenapa rumah di penempatan baru tersebut tidak dijual sahaja kepada para penghuni memandangkan mereka sebahagian besar daripada mereka telah menetap di Flet Pekeliling lebih 30 tahun.

Sementara itu, Tian Chua dalam sidang akhbar selepas penyerahan memorandum tersebut berkata, pihaknya menyerahkan memorandum tersebut untuk menggesa kerajaan lebih serius menangani sebarang masalah yang sedang dihadapi oleh para penghuni flet tersebut.

"Flet Pekeliling merupakan penempatan golongan yang terpinggir dan miskin di Kuala Lumpur ini.

"Tetapi kerajaan juga harus menyedari mereka juga adalah warga kota yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan di Kuala Lumpur," kata beliau.

Dalam pada itu pihak DBKL difahamkan telah bersetuju untuk mengkaji beberapa perkara yang telah dibangkitkan dalam memorandum yang telah diserahkan hasil daripada pertemuan antara kedua-dua belah pihak.

Kata Tian Chua, DBKL antaranya setuju melanjutkan tempoh akhir permindahan yang telah ditetapkan pada 21 Jun ini kepada satu tarikh lain yang tidak membebankan penghuni.

Katanya, DBKL dalam perbincangan tersebut bersetuju untuk mempertimbangkan setiap masalah yang timbul dan meminta para penghuni menghubungi mereka sekiranya ada masalah ingin disuarakan. – lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home