SepangOnline

Wednesday, June 08, 2005

Kerajaan gagal kawal inflasi, rakyat dizalimi, korporat dilindungi

Tindakkan kerajaan menaikkan kadar tol dan minyak benar-benar memberikan kesan kepada rakyat.

Agensi berita Bernama pada 19 Mei lalu melaporkan bahawa kenaikan inflasi mendadak telah dikesan dalam empat bulan pertama tahun ini. Kadar Inflasi Negara pada April 2005 dikesan pada kadar 2.7 iaitu naik 0.2 dari kiraan Januari 2005.

Kenaikan ini berikutan langkah kerajaan menaikkan kadar bayaran tol dan lari dari tanggungjawab dengan mengurangkan tanggunggan subsidi minyak.

Hampir keseluruhan rakyat menerima tambahan tekanan hidup berikutan kenaikan harga tersebut. Sedangkan kadar upah dalam negara masih berada ditahap rendah.

Malangnya ketika rakyat dibiarkan tertekan dengan kenaikan itu kerajaan pula bersungguh-sungguh melindungi golongan korporat iaitu syarikat syarikat kroni terus membuat keuntungan berlipat kali ganda.

Contohnya merujuk laporan suku tahun pertama syarikat Pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan, PLUS Expressway Bhd. (PLUS) telah menjana keuntungan bersih berjumlah RM487.3 juta bagi suku pertama tahun kewangan semasa yang berakhir 31 Mac lalu.

Jumlah keuntungan selepas cukai itu adalah kira-kira 190 peratus lebih tinggi berbanding RM168.3 juta yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.

PLUS dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia menyatakan, lonjakan keuntungan itu berpunca daripada pembayaran ganti rugi oleh kerajaan serta peningkatan pendapatan tol.

“Kerajaan telah membayar kepada PLUS RM331.7 juta sebagai pampasan untuk penutupan Plaza Tol Senai di Johor mulai 1 Mac yang lalu. ”

“Pendapatan lain, yang tidak termasuk pampasan tersebut, ialah se-banyak RM405.3 juta, meningkat berbanding, RM393.4 juta pada suku pertama tahun lalu,'’ jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, kenaikan pendapatan itu juga ekoran pertumbuhan 1.6 peratus dalam jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada suku pertama tersebut.

Mengenai jangkaan masa hadapan, ujar PLUS, pihaknya menjangka keputusan kewangan yang lebih baik pada tahun kewangan semasa ekoran kenaikan kadar tol 10 peratus sejak 1 Januari yang lalu.

PLUS mengendalikan Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang 772 kilometer dari Utara Semenanjung Malaysia hingga Selatan

Manakala Petronas (laporan Berita harian 10 mei 2005) telah membuat keuntungan RM 120 Bilion pada suku tahun pertama 2005 keuntungan ini melebihi 25 % dari jangkaan syarikat. Lebihan keuntungan ini diperolehi ekoran kenaikan harga minyak dunia.

Antara perniaga kecil yang bertanggungjawab dengan kerajaan yang bertanggungjawab

Seperti biasa selepas kenaikan diumumkan oleh kerajaan seolah seperti ada pesta kenaikan harga dalam pasaran penggguna Negara.

Maka respon dari pada itu ramailah pemimpin kerajaan telah cuba mencuri perhatian rakyat untuk digambarkan sebagai pemimpin yang prihatin dengan derita rakyat. Mereka muncul dengan mendesak agar peniaga ˆ peniaga ini tidak menaikkan harga barang. Pemimpin kerajaan mendesak agar peniaga bersikap lebih bertanggjawab terhadap pengguna.

Sebenarnya perlu dilihat di sini peniaga kecil di pasar atau pekedai runcit di pinggir Bandar juga merupakan golongan pengguna ini dipaksa untuk menaikkan harga barang jualan. Kerana mana mungkin barang dijual dengan harag yang sama jika mereka terpaksa membayar lebih untuk membeli petrol atau terpaksa membayar lebih untuk tol untuk pergi membeli barangan dari pemborong yang sememangnya telah menaikkan sedikit harga barangan itu. Masyarakat perlu faham masalah ini.

Keadaan ini bukan masalah peniaga kecil atau sederhana yang tidak bertanggungjawab tetapi ialah kegagalan kerajaan untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Keuntungan masih dibuat tetapi hanya di nikmati oleh syarikat kroni besar.

Keadaan ekonomi yang tenat

Kondisi ekonomi Negara semakin tenat ekoran kenaikkan harga bahanapi Petrol sebanyak RM 0.10 dan Diesel RM 0.20 pada minggu lepas. Jika dibandingkan dengan Brunei harga minyak Malaysia terlalu mahal dan tidak setara dengan jumlah telaga minyak yang telah digerudi oleh Syarikat ˆ syarikat cari gali.

Angkatan Muda turut merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat dan merasakan bahawa sudah tiba masanya rakyat bangkit untuk menegur urusniaga‚ yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersama syarikat- syarikat carigali minyak.

Indeks Harga Pengguna pada bagi 2003/2004 dahulu hanyalah 1.4% kini meningkat kepada 2.4%. Jika diimbas pada senarai harga barangan keperluan utama yang dilaporkan oleh Akhbar Berita Minggu pada 8 Mei 2005 yang lalu kita mendapati suasana yang agak kelam kabut telah berlaku di pasar ˆ pasar besar dalam Negara.

“Pemantauan Berita Harian mendapati harga ikan bawal putih di Pasar Besar Ipoh melambung sehingga RM30 sekilogram pada 7 Mei 2005, iaitu meningkat RM8 berbanding RM22 pada Selasa lalu manakala harga bawal hitam naik RM1 daripada RM13 kepada RM14 sekilo.”

Harga bawal hitam di Pasar Awam Johor Bahru pula meningkat RM2 daripada RM12 kepada RM14 sekilo. Harga sotong di Ipoh juga meningkat, iaitu daripada RM8 kepada RM11 sekilo, sementara di Melaka meningkat RM1 kepada RM10 sekilo.

Harga kacang panjang dan ikan kembung di Ipoh, masing-masing meningkat 30 sen sekilo daripada RM2.50 kepada RM2.80 dan RM7 kepada RM7.30 manakala bawang besar meningkat sebanyak 20 sen kepada RM1.60 sekilo.

Di Johor Bahru, harga cili merah turut meningkat sebanyak RM2 sekilo dari RM5 kepada RM7 manakala di Seremban meningkat 20 sen kepada RM4.

Harga kubis bulat di Johor Bahru dan ibu kota pula meningkat sebanyak 50 sen sekilo kepada RM3 manakala di Alor Star sebanyak 20 sen daripada RM2 kepada RM2.20 sekilo.

Harga sawi di Johor Bahru juga meningkat 50 sen kepada RM3 sekilo manakala di Seremban sebanyak 30 sen daripada RM2.50 kepada RM2.80 sekilo.

Sementara itu, harga telur gred C di ibu kota meningkat sebanyak empat sen sebutir kepada 24 sen; tetapi kenaikan di Johor Bahru dan Ipoh hanya satu sen masing-masing 27 sen dan 26 sen.

Harga santan turut meningkat di Seremban, iaitu daripada RM4 kepada RM4.50 sekilo manakala daging segar tempatan meningkat sebanyak RM1 kepada RM16 sekilo.

Harga ikan tenggiri di Seremban pula meningkat 40 sen sekilo kepada RM16.40 manakala di Johor Bahru dan Ipoh meningkat RM1 sekilo masing-masing kepada RM17 dan RM14.

Di Johor Bahru, harga udang sederhana meningkat sebanyak RM2.50 daripada RM13 kepada RM15.50 sekilo manakala di Seremban dan Melaka masing-masing meningkat sebanyak RM1 sekilo kepada RM17 dan RM10.‰

Walaupun pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah berjanji untuk membuat pemantauan tetapi kenaikkan harga barangan keperluan ini tidak dapat dielakkan kerana ianya dipengaruhi oleh kenaikkan harga bahan api diesel dan petrol.

Hari ini (10 Mei 2005), Persatuan Ampunya Lori Pan-Malaysia (PMLOA) pula mengumumkan kenaikkan 25% harga sewaan lori bermula 16 Mei ini. Kenaikkan ini juga disebabkan oleh pengaruh kenaikkan harga minyak. Harga baru ini pastinya akan menambahkan lagi kos penghantaran dan akan mendesak pengeluar dan pengedar barangan kilang menaikkan harga barangan yang dibawa keluar dari kilang selepas ini.

Secara keseluruhannya kenaikkan harga ini bukan sahaja membebankan orang yang memiliki kenderaan sendiri, tetapi bayi dalam buaian pun terpaksa menanggungnya kerana harga susu mereka juga pasti akan naik selepas ini.

Sebelum ini Kerajaan BN mengumumkan bahawa langkah untuk menaikkan harga bahan api dibuat sebagai langkah membendung kenaikan subsidi yang ditanggung kerajaan. Tahun lalu, kerajaan menanggung subsidi produk petroleum sebanyak RM4.8 bilion. Jumlah tersebut dijangka meningkat pada tahun ini dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM8.96 bilion jika harga runcit kekal pada paras sedia ada. Pada masa yang sama, kerajaan juga akan mengorbankan sebanyak RM7.85 bilion dalam bentuk pengecualian cukai. Ini bermakna kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM16.8 bilion.

Walaubagaimana pun, dalam kenyataan media pihak Syarikat Minyak Kebangsaan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) pada hari ini (10 Mei 2005), PETRONAS dijangka meraih pendapatan lebih RM120 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2005. Jumlah ini juga dijangka meningkat lebih tinggi pada tahun hadapan selepas kenaikkan 25% harga minyak pada hari ini.

Justeru itu, pihak rakyat perlu melihat melihat bahawa pihak PETRONAS berjaya meningkatkan keuntungannya walaupun hakikatnya rakyat Malaysia terpaksa menanggung kerugian yang banyak ekoran kenaikan harga Minyak dunia. Keadaan ini tidak seharusnya ditanggung oleh rakyat kerana minyak yang menjadi sumber asli Negara merupakan hak rakyat dan rakyat berhak untuk mendapatkan subsidi dari pihak kerajaan untuk itu.

Pihak Kerajaan seharusnya menyemak semula Kontrak Carigali Minyak yang dimeterai bersama PETRONAS dan juga syarikat ˆ syarikat carigali minyak yang lain bagi memastikkan royalti yang diberikan kepada pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mampu untuk menjaminkan subsidi bagi rakyat.

Kerajaan BN tidak perlu mempersoalkan sikap mengharapkan subsidi oleh rakyat tetapi pihak Kerajaan BN harus menjawab tentang hak rakyat yang belum mereka tunaikan setelah pihak Kerajaan BN memberikan konsensi carigali minyak kepada pihak Swasta. Kerajaan BN tidak seharusnya melepaskan diri dengan mengatakan „Rakyat tidak boleh terus hidup dengan bergantung subsidi‰ sedangkan pihak swasta terus meningkatkan kekayaan mereka dalam keadaan rakyat hidup tersepit.

PETRONAS sebagai salah sebuah syarikat yang dimiliki oleh pihak Kerajaan seharusnya menunjukkan keprihatinan dengan mengurangkan harga minyak yang dijual di dalam Negara dan tidak melihat kepada harga pasaran dunia sahaja. Kerajaan tidak seharusnya membiarkan pihak PETRONAS dan syarikat minyak lain Œberniaga‚ dengan rakyat Malaysia dengan cara yang merugikan rakyat. Mereka ambil Œbarang‚ rakyat dengan harga yang rendah kemudian jual semula kepada rakyat dengan harga yang 10 kali ganda lebih mahal dari apa yang kita terima.

Kerajaan BN kini bergoyang kaki sambil melihat rakyat terus tertipu oleh desakkan ekonomi yang kian menghampiri jurang inflasi. Kerajaan BN tidak seharusnya mengambil tindakkan mengumumkan kenaikkan harga minyak dengan cara paksa tanpa melihat realiti dan kemampuan rakyat.

Jika keadaan ini dibiarkan terus berlaku, tidak mustahil harga petrol dan diesel menjelang penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan akan bernilai RM 2.00 seliter.

Rakyat juga berasa hairan bagaimana barangan terkawal seperti Diesel boleh dijual dipasaran gelap dalam Negara. Sebelum ini, tindakkan Kerajaan BN yang marahkan nyamuk (Penyangak diesel) dan membakar kelambu dengan cara menaikkan Kuota diesel dilihat gagal dan akhirnya mereka cuba membakar rumah pula (Menaikkan harga minyak).

Sebenarnya, inilah hadiah Kemenangan Kerajaan BN buat Rakyat yang sentiasa dipergunakkan oleh mereka. Seharusnya pihak Kerajaan BN mengakui kelemahan yang ada dan tidak menyalahkan orang lain sahaja. Pendekatan Pak Lah yang asyik menyalahkan Penyangak Minyak ini, adalah sama pendekatan Mahathir yang menyalahkan George Soros ekoran kerunduman ekonomi Negara pada tahun 1977-1998.

Jika inilah rupa pemerintahan Pak Lah, Angkatan Muda yakin bahawa tahun 2008 pastinya akan menzahirkan gelombang kebangkitan rakyat untuk menukar teraju kepimpinan Negara. Dan kenyataan inilah yang seharusnya rakyat terima dan membuat perubahan di masa hadapan agar Negara menjadi lebih aman dan stabil.

Oleh : Badrul Hisham Shaharin,
Pengerusi Biro Bencana dan Hal Ehwal Masyarakat,
Angkatan Muda Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home