SepangOnline

Saturday, June 25, 2005

Khalid Jafri Didapati Bersalah Tulis Maklumat Palsu

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Penulis buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM", Datuk Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah, Sabtu didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini dan disabitkan dengan tuduhan menulis maklumat palsu dalam buku berkenaan.

Hakim Mohamad Saman Mohamed Ramli berkata pihak pendakwaan telah membuktikan kes yang melampaui keraguan munasabah.

Beliau menetapkan 6 Julai ini untuk mitigasi dan menjatuhkan hukuman.

Khalid Jafri, 65, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Media Pulau Lagenda, Taman Kosas, Ampang di sini, pada Mei 1998.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8A (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Khalid mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut pada 12 Ogos 1998 dan pada peringkat pendakwaan seramai 11 saksi memberi keterangan.

Pada 19 Feb 2003, Mohamad Saman mengarahkan Khalid membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadapnya.

Pembelaan telah mengemukakan dua saksi iaitu Khalid sendiri dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Musa Hassan serta memanggil semula saksi pendakwaan Supt Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar manakala Khalid diwakili oleh peguam Sashi Menon.

-- BERNAMA

1 Comments:

  • Tindakan saman juga sepatut diambil terhadap akhbar-akhbar tempatan yang menyiarkan berita palsu ini.
    Begitu juga kepada semua yang terlibat sama ada memberi kenyataan palsu, syarikat percetakan dan kementeria dalam negeri.

    By Anonymous Anonymous, at 10:49 AM  

Post a Comment

<< Home