SepangOnline

Saturday, December 02, 2006

Catatan perobohan surau Kampung Berembang

Harakahdaily
Fri | Dec 01, 06 | 09:24:44 AM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Hrkh) - Wartawan Harakahdaily, Azamin Amin dan Anis Nazri serta jurugambar Mohd Nasir Sudin berada di tempat kejadian dan 'merakam suasana' ketika Surau Kampung Berembang dirobohkan pagi semalam. Azamin menulis, beliau jarang menyaksikan kejadian yang begitu menyayat hati dan mencengkam dada, namun hari itu, jiwanya meruntun jua.

Berikut adalah catatan kasar beliau mengenai kronologi kejadian itu.

ImageLokasi Surau Ar-Rahimah Kampung Berembang, jam 9.00 pagi...hujan gerimis

  • Renyai hujan pagi itu, menandakan kesuraman di suasana Kawasan Kampung Berembang sedang bersedia 'meratapi' kesayuan kerana rumah Allah yang dibina atas limpahan peluh dan jerih payah akhirnya bakal tumbang walaupun dihalang dengan kudart, darah dan air mata hamba-Nya.
  • Penduduk kira-kira 30 orang sudah mula berkumpul dan mundar-mandir sekitar surau dua tingkat yang tersergam gagah.

10.00 pagi

  • - Secara perlahan-lahan empat buah jentolak mula memasuki kawasan berhampiran surau.
  • Tidak terkecuali, dua buah trak tunda untuk 'menarik' kenderaan penduduk yang menghalang jalan.

10.15 pagi

  • - Ketumbukan pasukan 'angkatan pemusnah' yang terdiri daripada pasukan Majlis Ampang Jaya (MPAJ) lebih 100 orang, anggota polis berpakaian preman dan seragam termasuk FRU dan dua pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghampiri penduduk dan orang awam yang mula membenteng surau tersebut.
  • Dari jauh, kelibat beberapa orang daripada pihak pemaju sedang memerhatikan kerja-kerja yang bakal di lakukan oleh 'angkatan pemusnah'
  • Pegawai Jais cuba memujuk penduduk dan meminta penduduk mengosongkan kawasan surau tersebut
  • Penduduk dengan air mata merintih supaya pihak Jais berunding dengan pihak MPAJ akan menangguhkan perobohan surau tersebut.
  • Kata penduduk, jika keputusan tidak menyebelahi, mereka reda dan mereka masih mempertahankan surau tersebut kerana selain tempat solat dan beribadat, ia menjadi 'pusat perlindungan' sementara bagi penduduk kerana beberapa hari lalu MPAJ telah bertindak merobohkan lebih 50 kediaman dan penempatan mereka. Di sekeling surau, kelihatan khemah-khemah didirikan oleh penduduk kerana mereka tiada tempat berlindung.
  • Surau tersebut juga adalah tempat tidur bagi sesetengah kanak-kanak malang yang rumah mereka telah dirobohkan.

Image10.45 pagi

  • Rundingan gagal malah pegawai Jais tidak langsung berusaha untuk memujuk MPAJ dan tanpa hati kemanusiaan, MPAJ dengn keras hati memulakan kerja-kerja dengan mengarahkan supaya memasuki surau tersebut, namun pintu pagar hadapan dikunci oleh penduduk.
  • Sementara MPAJ mencari jalan, kira-kira 20 orang menunaikan solat hajat di hadapan pintu pagar tersebut. Selesai sahaja mereka kemudian berzikir dan berselawat secara beramai-ramai bersama penduduk kampung yang berada di situ kerana mahu mempertahankannya.
  • Seorang anggota MPAJ menghidupkan enjin gergaji besi untuk memotong pagar tepi surau tersebut dan melihat sahaja keadaan itu penduduk dan orang awam mula membina benteng - tangan bersilang tangan bagi menghalang daripada MPAJ merempuh masuk ke dalam surau.

11.00 pagi

  • 'Perang bermula' Tanpa sekelumit rasa simpati dan perikemanusiaan MPAJ dengan kasar merempuh benteng manusia dengan mengasari mereka, memukul, menyiku, mencekak dan menumbuk beberapa orang penduduk.
  • Asak-mengasak berlaku, dan dua daripadanya telah diheret daripada kumpulan benteng manusia itu ke satu sudut oleh enam orang MPAJ dan polis
  • Kanak-kanak yang berada di atas surau menyanyikan lagu 'Negaraku'.
  • Pergelutan terus berlaku di empat penjuru yang berbeza dan keadaan menjadi tegang dan hilang kawalan. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila anggota polis dan FRU turut masuk campur dan bertindak memukul penduduk serta penyokong mereka yang berhimpun di situ.
  • Setelah pagar tepi dipotong, penguat kuasa MPAJ meluru masuk ke dalam surau dan merempuh kumpulan remaja perempuan dan kanak-kanak yang menjadi 'kubu manusia' di dalam surau tersebut.
  • Seorang wanita pengsan kerena diheret dan bergelut dengan anggota wanita MPAJ
  • Di bahagian bawah surau, tiga beranak merantaikan diri mereka di tiang surau tersebut kerana tidak sanggup membiarkan MPAJ merobohkannya.
  • Peristiwa memilukan ini berakhir dengan MPAJ memotong rantai besi tersebut dan bergasak dengan tiga beranak itu yang mengakibatkan si suami tersebut muntah-muntah dan kemudiannya pengsan.
  • MPAJ menyelongkar, mengumpil cermin tingkap dan memecahkan bahagian dalam surau tersebut bagi memudahkan jentolak untuk 'memusnahkan' surau itu.
  • Di luar surau masih berlaku pergaduhan serta pergelutan kecil dan insiden kejar mengejar antara anggota dan beberapa penduduk di situ.
  • Teriakan, jeritan dan pekikan kaum wanita kerana meratapi perbuatan ganas MPAJ menyelubungi suasana
  • Di bahagian tepi surau kelihatan tiga remaja perempuan hampir pengsan dan longlai akibat bergelut dengan MPAJ
  • Kemuncaknya, 11 ditahan oleh anggota polis yang terdiri daripada pendudk kampung dan aktivis pelajar

Tragedi Kampung Berembang seolah-olah mengulangi situasi Memali apabila pihak berkuasa merempuh masuk ke madarasah untuk menangkap individu tertentu. Bezanya tiada tembakan dan gas mata mewarnai suasana kali ini. Bezanya pihak berkuasa kali ini merempuh masuk, untuk memusnahkan surau.

Image12.30 tengah hari

  • Sebuah jentolak merobohkan bahagian hadapan surau ketika para penduduk dan sukarelawan melaungkan "Allahu-Akbar","Hidup rakyat" dan "Hidup Islam" bergema di ruang angkasa Kampung Berembang.

01.00 petang

  • Akhirnya, 'Rumah Allah' roboh jua dan azan Zuhur sudah tidak berkumandang lagi...
  • Kampung Berembang kelihatan seperti 'zon perang' dengan penduduk "bergelimpangan", antaranya menangis kesakitan, manakala sebahagian lagi pengsan dan cedera dipukul MPAJ dan polis.
  • Yang masih tersergam di surau tersebut ialah sebatang tiang elektrik yang dililit dengan bendera-bendera kecil Barisan Nasional.

Penutup

  • Menutup 'acara pesta' meroboh surau pada hari itu ialah, acara 'majlis makan nasi bungkus' anggota MPAJ dan polis secara beramai-ramai di dalam trak, di bawah dan di celah pokok sambil memerhatikan penduduk-penduk yang kesedihan, kepenatan apatah lagi kelaparan.

Dan yang paling menarik upacara nasi bungkus itu khabarnya ditaja oleh pemaju yang bakal membina projek di atas tapak surau...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home