SepangOnline

Thursday, December 28, 2006

Memo Protes Kenaikan Tol

PROTES KENAIKAN TOL
(Gabungan parti-parti politik, kesatuan sekerja dan badan-badan bukan kerajaan)

27 Disember 2006


Kepada:

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya


Kami, rakyat Malaysia, meluahkan rasa dukacita kami serta membantah keputsan kerajaan meluluskan kenaikan 20% - 60% kadar bayaran tol. Kenaikan tersebut tentu sekali menambahkan beban pada kehidupan rakyat, terutamanya di bahu mereka yang berpendapatan rendah di sekitar Lembah Klang.

Kami percaya warganegara Malaysia seluruhnya menerima kesan daripada siri-siri kenaikan harga yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Kerajaan nampaknya gagal membendung tekanan inflasi yang semakin mencengkam.

Adalah membimbangkan apabila pihak kerajaan nampaknya tidak mampu melaksanakan sebarang strategi menangani inflasi. Namun dalam masa yang sama, agensi kerajaan dan badan yang bertanggungjawab semakin rakus melonjakkan inflasi dengan memperkenalkan kadar bayaran baru disamping mengizinkan kenaikan harga.

Pada amatan kami, tindakan kerajaan menunjukkan tiadanya keprihatinan serius pada tanggungan dan kesusahan mereka yang memerlukan. Dengan iklim ekonomi mutakhir ini, kenaikan harga akan terus menghakis kualiti kehidupan warga Lembah Klang. Ditambah pula dengan kelembapan ekonomi, golongan pencari nafkah terpaksa menanggung satu lagi beban besar.

Berikutan tiadanya pengangkutan alternatif yang cekap dan menyeluruh, pengangkutan persendirian, kereta terutamanya, menjadi cara utama penduduk Lembah Klang untuk bergerak. Kenaikan tol sekali lagi mendedahkan kegagalan skim penswastaan kerajaan. Beban kenaikan tol ini bukan sahaja bencana buat pengguna barang dan otomobil, malahan juga menyebabkan kebocoran serius dalam dana awam.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Samy Vellu, kerajaan terpaksa membayar gantirugi mencecah RM 2,589 juta kepada lima syarikat konsesi lebuhraya di Lembah Klang baru membendung kenaikan kadar tol dari meningkat lebih tinggi daripada 20% - 60% yang dicadangkan berkuatkuasa pada 1 Januari 2007.

Dan dalam perkembangan yang sama, Menteri Kerja Raya mengumumkan bahawa kerajaan telahpun membayar gantirugi sejumlah RM 2,275 juta kepada empat pengusaha lebuhraya dari lima pengusaha terbabit, tidak termasuk Lebuhraya Guthrie yang merupakan lebuhraya yang baru; dan dibutirkan seperti berikut:-

• Gantirugi RM 1,197 juta untuk Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak;
• Gantirugi RM 479.7 juta untuk Lebuhraya Damansara-Puchong;
• Gantirugi RM 371.8 juta untuk Lebuhraya Kesas; serta
• Gantirugi RM 226 juta untuk Lebuhraya Cheras-Kajang.

Demikian itu, jelas sekali jumlah gantirugi yang amat besar dari dana awam mewakili pengurniaan subsidi raksasa kepada syarikat-syarikat besar. Malahan juga, gantirugi tersebut berjumlah jauh lebih besar dari separuh kos keseluruhan pembinaan bernilai RM 4,125 juta itu.

Penganugerahan konsesi-konsesi pungutan tol kepada syarikat besar telah menjadi satu budaya tidak-produktif, cara untuk mengaut keuntungan mudah dari kocek rakyat Malaysia yang setiap hari meredah kesesakan lalulintas dan memerah tenaga siang dan malam untuk mencari rezeki. Tegasnya, kos pembinaan tidak langsung mewajarkan kadar tol dibayar, dan ia dibutirkan seperti berikut:-

• RM 1.42 bilion Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dengan tempoh konsesi 1996-2030, kadar tolnya meningkat dari RM 1 ke RM 1.60, kenaikan 60 peratus.
• RM 1.3 bilion Lebuhraya Kesas dengan tempoh konsesi 1993-2024, kadar tolnya meningkat dari RM 1.50 ke RM 2.20, kenaikan 47 peratus.
• RM 336 juta Lebuhraya Cheras-Kajang dengan tempoh konsesi 1995-2026, kadar tolnya meningkat 30 sen – suatu kenaikan diantara 43 peratus hingga 50 peratus.
• RM 568 juta Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dengan tempoh konsesi 1994-2032, kenaikan diantara 20 peratus dan 25 peratus; serta
• RM 501 juta Lebuhraya Guthrie dengan tempoh konsesi 2000-2035, kadar tol meningkat dari RM 1 ke RM 1.40, kenaikan 40 peratus.

Gantirugi yang dipaksakan oleh syarikat-syarikat konsesi jauh lebih tinggi dari kos pembinaan. Ia membingungkan rakyat Malaysia sekalian apabila didedahkan bahawa syarat dan perjanjian dari penswastaan lebuhraya tidak langsung mempunyai munasabah ekonomi. Rakyat, secara jelas, tidak menerima manfaat daripada skim ini selain daripada bebanan kewangan yang semakin menimpa-nimpa.

Keadaan ini membangkitkan persoalan wibawa dan cermat. Kerajaan nampaknya tidak berdaya merundingkan perjanjian yang kos-efektif dan bermanfaat dengan syarikat konsesi lebuhraya. Malangnya, kami rakyat Malaysia, meskipun dibebankan dengan cukai yang berat dari tol-tol ini, tidak diberi peluang untuk melihat dan menilai isi-kandung kontrak-kontrak lebuhraya yang terbabit.


Dengan itu, kami seperti yang disebutkan dibawah, menegaskan pendirian tetap kami menuntut:

1. Pendedahan kesemua kontrak-kontrak diantara kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya. Sebagai pembayar cukai dan warganegara negara ini, kami mempunyai hak untuk mengetahui isi-kandung rundingan, perjanjian dan persetujuan yang memberi kesan kepada kehidupan kami.

2. Kenaikan kadar tol yang diumumkan untuk 1 Januari 2007 harus digantung. Kerajaan seharusnya menubuhkan suatu badan bebas untuk penilaian terbuka dan komprehensif keatas kesemua konsesi lebuhraya, dengan tujuan untuk meringankan kesusahan rakyat serta juga mengurangkan pembaziran dana rakyat dalam kontrak-kontrak penswastaan yang tidak adil ini.

3. Pendedahan semua pendapatan yang diaudit, yang telah dipungut oleh setiap syarikat lebuhraya. Jika syarikat-syarikat konsesi telah mendapat pulangan modal keseluruhan kos pembinaan, maka kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk menghentikan kontrak-kontrak ini seawal mungkin atau membeli semula konsesi tersebut. Ini mungkin lebih menjimatkan kepada kerajaan dari memberi subsidi kepada syarikat besar secara berterusan.

Demi kepentingan rakyat seluruhnya, kami menggesa kerajaan supaya telus dalam menjawab kesemua soalan kami berkenaan kenaikan harga tol. Rakyat mempunyai hak untuk tahu dan memahami proses merangka dasar, terutamanya apabila kita diminta untuk berkongsi beban kewangan kerajaan.

Akhir sekali, kami meminta kerajaan untuk mempertimbangkan secara serius cadangan-cadangan yang dikemukakan untuk kebaikan semua.


Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Bahagian Pemuda (SCAH/YS)
Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA)
Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Parti Keadilan Rakyat (KeADILan)
Parti Sosialis Malaysia (PSM)
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
Youth for Change (Y4C)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home