Khalid bimbang kemungkinan 'Insider Trading' dalam penggabungan tiga syarikat perladangan
KUALA LUMPUR, 30 Nov (Hrkh) - Cadangan pengabungan tiga syarikat perladangan terbesar di Malaysia, Sime Darby Berhad, Guthrie Berhad dan Golden Hope Berhad tanpa pengetahuan syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemegang saham terbesar adalah satu perkara yang luar biasa, kata Bendahari Parti KeADILan Rakyat, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Abdul Khalid, pengumuman yang dibuat oleh pemimpin kerajaan dan CIMB Berhad amatlah membimbangkan kerana cadangan itu bukanlah secara rasmi dikemuka oleh pihak yang sepatutnya mengemukakan cadangan.
Sebaliknya, kata Abdul Khalid ia dilakukan oleh sebuah bank pelaburan.
"Kenyataan bahawa PNB tidak tahu menahu mengenai cadangan ini dan perlu mengkajinya terlebih dahulu adalah sangat membimbangkan kerana PNB adalah pemegang saham utama dua syarikat terbabit dan pemegang saham terbesar satu lagi syarikat tersebut," kata Abdul Khalid kepada Harakahdaily ketika ditemui di rumahnya di Bukit Damansara semalam.
Mengulas lanjut Abdul Khalid berkata, senario itu menimbulkan keraguan terhadap keupayaan PNB untuk mengendalikan aset-aset di bawah pegangannya, dan akibatnya ia akan memberi kesan kepada sentimen 8 juta rakyat yang menjadi pelabur dalam skim amanah saham PNB, katanya yang juga bekas orang kuat PNB dan Guthrie.
"Adalah tidak munasabah bagi PNB tidak tahu tentang cadangan ini kerana syarikat ini bukan sahaja memiliki wakil dalam Lembaga Pengarah kesemua syarikat tersebut, tetapi Pengerusi PNB adalah pengerusi kepada dua syarikat terbabit," katanya lagi.
'Insider Trading'?
Selain itu Abdul Khalid menyatakan, bagi menjalankan kajian untuk merangka cadangan tersebut , Synergy Drive Sdn Bhd yang dikatakan berhasrat mengambilalih dan menggabungkan tiga syarikat tentunya memerlukan penyaluran maklumat dari syarikat terbabit.
Proses itu sudah tentu memerlukan penyaluran maklumat bukan sekadar maklumat biasa tetapi maklumat awam syarikat yang menyebabkan timbul syak mengenai dagangan dalaman 'insider trading', kata Abdul Khalid lagi.
Baginya, lembaga pengarah syarikat terbabit seharusnya membuat pengumuman bahawa perkara ini tidak pernah dibincangkan di peringkat Lembaga Pengarah selain menafikan maklumat dalaman disalur kepada pihak luar.
Apa rasional PM dan TPM sokong penggabungan
Sementara itu Abdul Khalid juga mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang menyambut baik cadangan itu, sedangkan PNB sendiri belum mengetahui tentang penggabungan itu.
Malah lebih mengelirukan PM dan TPM adalah pemegang amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera yang menjadi entiti induk kepada PNB, kata Abdul Khalid lagi.
"Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Suruhanjaya Sekuriti dan kumpulan pelabur minoriti perlu mengambil segala tindakan untuk memastikan kepentingan pelabur minoriti tidak terjejas dalam proses ini," katanya.
Tiada keperluan setakat ini
Meninjau pula kepada keperluan dan manfaat cadangan penggabungan tersebut, ternyata ruang untuk meningkatkan kecekapan di dalam bidang perladangan adalah minima selain tidak ada keperluan untuk menubuh pusat penyelidikan dan sistem maklumat bersepadu, kata Abdul Khalid.
Abdul Khalid seterusnya mencadangkan bahawa sudah tiba masanya kesemua pemegang saham yang terlibat bermesyuarat secara terbuka bagi membincangkan cadangan tersebut kerana ia amat penting bagi membolehkan mereka memahami butiran terperinci cadangan yang dibuat.
Akhbar harian pada 27 November lalu melaporkan, PNB akan kekal sebagai pemegang saham utama dan terbesar dalam entiti baru hasil penggabungan mega bernilai RM31.4 bilion antara Sime Darby Bhd., Kumpulan Guthrie Bhd. dan Golden Hope Plantations Bhd.
CIMB Group, firma yang mencadangkan tawaran penggabungan itu memberitahu, eksesais itu hanya boleh diteruskan jika PNB bersetuju dengan rangka kerja yang dikemukakannya.
Sebagai jaminan, PNB juga akan mengepalai Synergy Drive Sdn. Bhd., syarikat jentera khas (SPV) yang ditubuhkan CIMB Group sebagai pemegang amanah bagi aset serta tanggungan ketiga-tiga syarikat yang digabungkan, berdasarkan pegangan puratanya yang dijangka melebihi 45 peratus dalam entiti itu.
KWSP pegang saham Synergy Drive
Sebuah lagi agensi kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar dalam Synergy Drive dengan lebih 10 peratus kepentingan.
PNB dan para pemegang saham diberi tempoh sebulan untuk memutuskan persetujuan bagi penggabungan itu. Sekiranya diterima, penggabungan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Dato' Nazir Razak berkata, PNB selaku pemegang saham utama akan mendapat keuntungan segera dari segi harga tawaran bagi membeli saham-saham ketiga-tiga syarikat.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa para pelabur PNB akan turut memperoleh faedah hasil penjimatan kos dan sinergi perniagaan antara ketiga-tiga syarikat sekiranya sumber dan operasi mereka digabungkan.
Tunggal
Synergy Drive menawarkan untuk membeli saham Sime Darby, Kumpulan Guthrie dan Golden Hope serta anak syarikat masing- masing yang disenaraikan pada harga premium sebanyak lima peratus daripada harga terakhir saham-saham itu diniagakan.
Tawaran itu melibatkan sembilan buah syarikat disenarai iaitu Sime Darby, Sime Engineering Services Bhd., Sime UEP Properties Bhd., Kumpulan Guthrie, Guthrie Ropel Bhd., Highlands and Lowlands Bhd., Golden Hope, Mentakab Rubber (Malaya) Company Bhd. dan Negara Properties (Malaysia) Bhd.
Selepas disepadukan, semua sembilan buah syarikat tersebut akan dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia dengan Synergy Drive muncul sebagai entiti tersenarai tunggal.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home