SepangOnline

Wednesday, March 15, 2006

Bincang Isu Semasa: Keadilan Berjumpa PM

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan semalam bahawa Keadilan mahu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai isu kebebasan media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Bauh berkata rombongan parti yang akan diketuai oleh dirinya sendiri akan bertemu dengan PM dalam minggu ini. Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika beliau menghadiri sidang parlimen semalam.

"Selain membincangkan isu-isu semasa, kami juga akan menyuarakan kekangan terhadap parti-parti pembangkang di Malaysia."
Menurut Datin Seri Dr. Wan Azizah lagi, sejak akhir-akhir ini banyak kes rasuah dan salahguna kuasa dilaporkan. "Tetapi media arus perdana terus dikawal ketat."

Di sinilah, kata beliau, peranan media pembangkang cukup penting untuk menjadi kawalan dan imbangan terhadap media kerajaan.

"Akhbar rasmi Keadilan, Suara Keadilan telah memohon permit penerbitan sejak Jun tahun lepas. Tetapi sehingga hari ini tiada jawapan daripada Kementerian Keselematan Dalam Negeri, di sebalik jaminan PM bahawa setiap parti politik berhak mendapatnya."

Antara Februari dan Mac 2006, Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang turut disandang PM telah meluluskan 4 penerbitan baru. Datin Seri Dr. Wan Azizah kesal kerana Suara Keadilan yang telah memohon permit jauh lebih awal masih lagi tidak diluluskan.

"Kami percaya penangguhan ini merupakan tindakan kerajaan untuk melenyapkan kritikan."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home