SepangOnline

Tuesday, March 21, 2006

Azizah: Tiada kenaikan jika kerajaan berhemah


Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Dr Wan Azizah berkata adalah tidak munasabah harga minyak dinaikkan, sedangkan Malaysia merupakan pengeksport minyak.

“Sekiranya kerajaan menggunakan dana Petronas secara berhemah dan berjimat, situasi seperti ini tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau menjadikan Sabah sebagai contoh negeri pengeluar minyak, tetapi adalah negeri termiskin di Malaysia.

Sebagai negara pengeluar minyak, jelasnya, sewajarnya keuntungan hasil minyak itu disalurkan dalam bentuk subsidi untuk kepentingan rakyat.

Kerajaan kononnya tidak mahu rakyat bermentaliti subsidi, tetapi siapa sebenarnya penerima subsidi terbanyak itu, tanyanya.

Jelasnya lagi kenaikan harga minyak akan meningkatkan kadar inflasi, yang pastinya akan membebankan rakyat bawahan.

Sehubungan itu beliau bertanyakan, “Apa sudah jadi dengan kempen inflasi sifar yang pernah dilaksanakan kerajaan?”

Azizah kemudiannya melaungkan ‘Hidup rakyat, Minyak turun, BN turun’ sambil disambut kira-kira 1000 penunjuk perasaan dalam perhimpunan aman ‘Protes Sampai Turun’ di Tapak Pasar Tani, Kubang Semang di sini, 18 Mac lalu.

Hujan lebat yang mengiringi perhimpunan itu tidak menghalang penduduk Permatang Pauh untuk turut serta membantah keputusan kerajaan tersebut.

Perhimpunan yang diadakan di bawah laluan lebuhraya Butterworth-Kulim Ekspres (BKE) itu, berjaya mengelakkan para penunjuk perasaan daripada hujan.

Mereka memenuhi pinggir jalan raya laluan Penanti - Bukit Mertajam dari kedua-dua arah.

Tidak mungkin hanya Pak Lah cerdik…Anwar, Kuli, Mahathir Bodoh

Turut berucap ialah Naib Presiden PAS Tuan Haji Mohamad Sabu. Katanya tiga bekas Menteri Kewangan Malaysia iaitu Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh dan Dr Mahathir telah sependapat menolak keputusan kerajaan menaikkan harga minyak.

“Tidak mungkin hanya Pak Lah Badawi sahaja cerdik dan ketiga-tiga mereka itu bodoh,” tegasnya.

Anwar yang menjadi Menteri Kewangan dari 1991 sehingga 1998 tidak pernah menaikkan harga petrol, sebaliknya menambahkan subsidi untuk petani dan nelayan miskin.

Beliau menetapkan harga petrol tanpa menaikkannya ketika harga pasaran meningkat atau menurunkannya ketika harga merosot.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan, kata Mohamad, telah melakukan penipuan dan menzalimi rakyat berikutan keputusan menaikkan harga minyak.

Sementara Timbalan Pengerusi Tiga PKR Pulau Pinang Law Choo Kiang menggesa rakyat melakukan perubahan dalam pilihan raya akan datang.

“Kerana BN naikkan harga minyak 30 sen, kita turunkan kerusi BN sehingga tinggal 30 ‘percent’ ” laungnya.

Bagi Mudir Madrasah An-Nadhoh, Ustad Mutalib Maarof pula berkata apabila berlakunya kezaliman dan penipuan dalam perniagaan, nescaya Allah akan menurunkan bala kepada hambanya.

“Perniagaan besar seperti MAS sepatutnya untung, sebaliknya mengalami kerugian,” jelasnya.

Justeru beliau mendesak harga minyak diturunkan atau rakyat akan menurunkan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Perhimpunan kali ketiga berturut-turut itu adalah rentetan perhimpunan yang diadakan pada 4 dan 11 Mac lalu di Plaza Tol BKE Kubang Semang.

Turut hadir ADUN Permatang Pasir YB Hamdan Abdul Rhman, Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Aminah Abdullah, Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan dan Timbalan Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh Hj Manab Othman.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home