SepangOnline

Thursday, March 16, 2006

Anwar: Kenaikan Harga Minyak Tidak Adil

Oleh: Arfa'eza Aziz (Malaysiakini)

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak adil apabila membebankan rakyat dengan kenaikan harga minyak apabila berbilion-bilion ringgit keuntungan syarikat minyak negara, Petronas, hanya diagihkan di kalangan kroninya, dakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam wawancara ringkas melalui emel, bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga menyuarakan kekesalannya kerana keuntungan yang diperolehi oleh Petronas, tidak dibelanjakan secara yang telus.

Anwar, yang pernah menjadi menteri kewangan dari 1991 dan 1998, menekankan perlunya syarikat minyak tersebut dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.

“Petronas telah mencatatkan pulangan yang tinggi, tetapi ia hanya dipertanggungjawabkan kepada perdana menteri dan bukannya Parlimen,” kata Anwar yang kini menjadi profesor pelawat di Universiti Georgetown di Washington DC.

Katanya, adalah dikesalkan dana Petronas yang berjumlah berbilion-bilion ringgit tidak digunakan secara telus, tetapi mendakwa ia sebaliknya digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni dan membiayai projek-projek mega.

Beliau mendakwa, Petrons hanya memberi sedikit perhatian terhadap langkah merangsangkan pembangunan ekonomi atau untuk faedah rakyat.

Tubuh universiti

Anwar diminta mengulas keputusan terbaru kerajaan mengurangkan subsidi minyak yang mengakibatkan harga bahan itu naik 18.5 hingga 23 peratus. Dalam tempoh kurang dua tahun, harga petrol naik 40 peratus manakala harga diesel pula naik 102 peratus.

Keputusan tersebut telah mencetuskan semula desakan supaya Petronas lebih telus. Syarikat minyak negara itu diletakkan di di ranking paling bawah dalam Kajiselidik 2006 mengenai "Syarikat Paling Berdaya Tahan dan Beretika di Dunia" oleh firma Management & Execellence (M&E) terhadap 15 syarikat minyak terbesar.

Anwar berkata, sebagai menteri kewangan, beliau telah menyalurkan sebahagian keuntungan tersebut untuk faedah rakyat, seperti penubuhan Universiti Petronas di Perak.

“(Tetapi pada masa yang sama) terdapat arahan supaya syarikat berkenaan menyelamatkan syarikat-syarikat keluarga...kira-kira RM2 bilion untuk menyelamatkan Shipping Consortium Bhd, Renong, Menara Berkembar Kuala Lumpur dan berbilion-bilion ringgit lagi untuk kompleks kerajaan di Putrajaya,” dakwanya.

“Jumlah yang dibelanjakan untuk langkah menyelamatkan (syarikat) dan projek mega tidak sepadan dengan jumlah yang dibelanjakan untuk (projek yang memberi faedah kepada) rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau pernah menaikkan harga minyak sewaktu menjadi menteri kewangan, Anwar berkata: “Tidak...malah, saya telah menaikkan subsidi untuk golongan berpendapatan rendah seperti petani dan nelayan.

“Saya dapat mengekalkan harga minyak walaupun harga minyak naik di pasaran dunia dan merendahkan harganya apabila kadar (harga global) merosot,” tambahnya.

Beliau berkata, kecekapan dan tanggungjawab dalam pengurusan kewangan merupakan kunci dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan harga minyak dan sekaligus dalam pengurusan ekonomi negara.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home