SepangOnline

Tuesday, December 20, 2005

Dari keluaran terbaru SUARA KEADILAN:

SYED HUSIN SYED ALI
APA SELEPAS PENGKALAN PASIR?

--------------------------------------------------------------------------------

Sehari selepas keputusan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir diketahui, beberapa orang teman lama saya menelefon, bertanya, “Apa sudah jadi, Syed?” Bila saya katakan penipuan berlaku, saya mendapat dua jenis jawapan.

Pertama, “Penipuan sudah lama berlaku. Susah mahu menang pilihanraya dalam keadaan sekarang. Buang masa saja.” Kawan yang berpendapat demikian sudah hilang percaya kepada pilihanraya, tetapi mereka tidak pula mengutarakan apakah jalan lain yang ada dan sedia mereka sertai. Saya pun tidak bertanya.

Kedua, “Kita tahu mereka akan sentiasa menipu untuk menang. Tetapi tentu sekali kita ada kekurangan juga. Kalau tidak macam mana Pas boleh kalah di kawasan yang telah dipegangnya selama 15 tahun?” Kawan ini, seperti ramai juga pemimpin dan anggota Pas menyangka dan berharap parti itu boleh menang. Jadi dia keciwa juga.

Memang benar penipuan sudah lama berlaku dan Umno pasti akan terus menggunakan cara buruk ini untuk memastikan kemenangan. Saya ingat semasa Semangat Melayu 46 kuat menentang Umno dulu, seorang bekas menteri dari Johor, yang telah meninggalkan Umno, memberitahu saya, “Razak Ahmad sebenarnya menang di Tanjung Petri dulu. Tetapi kita orang dalam Umno ada cara, dan itu sebab dia dikalahkan dengan 36 undi.

Di Pengkalan Pasir, cara penipuan lama digunakan lagi. Di sini, sekurang-kurangnya 13 orang yang diketahui sudah mati dapat dikesan keluar mengundi. Kad pengenalan mereka digunakan oleh orang yang masih hidup, kebanyakan bukan tinggal di Pengkalan Pasir. Terdapat juga yang ditahan dari mengundi dua kali. Selain itu, satu perkara aneh berlaku. Jumlah pengundi pos yang terdaftar di Pengkalan Pasir iaah195, akan tetapi yang keluar mengundi 212 orang (lebih 17 orang ).

Pas telah membantah tentang undi hantu sebelum dan selepas pilihanraya. Seorang pemimnin mereka mengumumkan satu bantahan rasmi akan dikemukakan kepada Suhakam. Tetapi bersediakah atau berupayakah Suhakam membuat sesuatu? Sekiranya Pas dapat mengumpul 65 atau lebih kes penipuan, yang boleh mengubah keputusan, mereka sepatutnya membawa kes ke mahkamah untuk membatalkan pilihanraya kecil itu.

Penipuan dapat dilakukan kerana dalam tiap-tiap pilihanraya pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak telus dan berat sebelah. Berkali-kali, masalah undi hantu telah dibangkitkan.Akan tetapi SPR terus membuat penafian. Di Pangkalan Pasir, sewaktu memberi komen tentang orang yang sudah mati datang mengundi, Pengerusi SPR mengatakan bahawa ini bukan salah mereka, tetapi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Dari sini nyata bahawa penipuan boleh berlaku bukan saja pada hari mengundi, bahkan lama sebelumnya.

Sebenarnya memang sudah lama disyakki SPR bersekongkol dengan JPN untuk membangkitkan beribu-ribu pengundi hantu bagi memastikan kemenangan UMNO. Sudah sampai masanya parti-parti pembangkang bersama semua badan dan orang yang prihatin menggerakkan rakyat ramai untuk mendesak supaya peranan kotor SPR serta JPN disiasat.

Sebuah suruhanjaya yang bebas serta berwibawa hendaklah dibentuk untuk menyiasat mereka, dengan menumpukan perhatian khusus terhadap sebilangan kecil pegawai tingginya, yang disyaki terlibat. Proses pilihanraya yang adil dan bebas mestilah dipastikan oleh rakyat sendiri bersama pemerhati-pemerhati dari luar negara.

Di samping menekankan soal penipuan yang tidak habis-habis berlaku, Pas Kelantan dan juga pihak-pihak yang membantunya, terutama keADILan, perlu membuat muhasabah diri. Di Pengkalan Pasir kelihatan organisasi Pas agak longgar dan kurang berupaya untuk menepis serangan Umno yang bertubi-tubi. Menteri-menteri dan pemimpin Umno yang lain banyak membuat lawatan dari rumah ke rumah dan ke kawasan-kawasan mundur. Ini diberi liputan media yang luas.

Sebaliknya, pemimpin tertinggi Pas kurang kelihatan membuat lawatan yang sama. Bahkan ramai pengundi mengadu bahawa kebanyakan wakil rakyat Pas tidak rajin melawat kawasan selepas dipilih dalam pilihanraya umum lalu. Lagi pula oleh sebab sesetengah pendirian tertentu Pas, dan juga propaganda kotor oleh Umno serta media, Pas tidak berjaya menarik sokongan rakyat bukan Melayu/Islam dan juga golongan muda.

Walaupun ramai yang mengendalikan kempen Pas terdiri dari pemimpin lapisan baru yang muda serta berkebolehan, namun poster-poster mempamerkan gambar besar pemimpin lama yang sudah mulai menurun pengaruhnya. Kebanyakan slogan yang dibesarkan melalui pemidang, kurang membuktikan perubahan dalam taktik serta strategi Pas. Ramai pengundi melihat dan menganggap Pas masih di takuk lama.

Walaupun begitu, nyata sekali Pas telah dapat mempertahankan sokongan lamanya yang setia. Tetapi ia gagal menarik sokongan baru. Beberapa hari sebelum hari mengundi, apabila pandangan saya diminta, saya menyatakan jikalau Datuk Ibrahim Ali dapat meraih lebih 1200 undi, iaitu jumlah undi yang diperolehinya dari Pengkalan Pasir semasa bertanding dalam kawasan Parlimen Pasir Mas dalam pilihanraya umum lalu, Pas akan menang besar. Tetapi, di luar jangkaannya, Ibrahim hilang wang pertaruhan. Nampaknya, mereka yang mengundi Ibrahim dulu berpindah haluan, tetapi malangnya dengan menyokong Umno bukannya Pas.

Dalam pilihanraya kecil ini keADILan memberikan sokongan padu kepada calon Pas. Sdr Anwar Ibrahim turut serta, tetapi dengan berucap hanya sekali, iaitu pada malam penamaan calon. Bahagian-bahagian keADILan Kelantan membuka pejabat di setiap pusat mengundi, 10 semuanya. Setiap pusat ini dibantu pula oleh wakil-wakil parti dari seluruh negara, walaupun secara terbatas.

Angkatan Muda lebih banyak mengadakan ceramah yang mendapat sambutan hangat. Tetapi seperti biasa, kehadiran dalam majlis ceramah tidak semestinya diterjemahkan menjadi undi. Wanita keADILan bekerjasama rapat dengan Muslimat Pas untuk berkempen dari rumah ke rumah, terutama di kawasan atas pagar, ttapi tidak menyeluruh.

Sangat menarik bahawa ramai juga pengundi menyatakan mereka merasa lebih senang menyokong seandainya keADILan yang bertanding. Ini satu pertanda baik bagi parti ini. keADILan perlu menyusun serta menyatukan organisasi serta anggota, meluaskan penerangan, membanyakkan aktiviti, merapatkan diri dengan rakyat dan melipatganda kerja kemasyarakatan. Sekiranya ini berlaku angin perubahan boleh bertiup ke arahnya, bukan kepada Umno.

Tidak ada perubahan atau pemindahan undi yang besar berlaku di Pangkalan Pasir. Ini memungkinkan Umno mendakwa bahawa Umno dan Presidennya, Abdullah Badawi, masih popular. Pas serta keADILan sekarang ini perlu membuat analisa politik yang mendaalam dan membuat strategi baru bagi menarik sokongan pengundi dan memastikan kemenangan. Saya kira sekarang ini lebih baik sekiranya Pas bertindak secara lebih terbuka dan bijak dengan memberi peluang yang lebih kepada keADILan, tegasnya menyerahkan lebih banyak kawasan kepada keADILan.

Dalam pada itu, parti-parti dan badan-badan yang menentang BN perlu berusaha secara gigih dan realistic untuk membina semula dan mengukuhkan kerjasama/ persefahaman di kalangan mereka. Bukankah mereka tidak puas hati dengan banyak dasar serta tindakan Kerajaan BN yang tidak adil, tidak telus dan tidak menguntungkan rakyat?

Sekiranya kedua-dua Dap dan Pas tidak mahu terus hanya sebagai pembangkang, mereka harus menpercepat dan memperkuat lagi usaha mencari titik pertemuan. Usaha ini sedang berlaku, dan nampaknya menjadi lebih penting sekarang. keADILan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim tentu bersedia dan berkebolehan untuk membantu, dan mungkin juga memimpin dalam proses ini.
Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home