SepangOnline

Monday, December 12, 2005

Angkatan Muda Desak Siasat Kematian Simpang Renggam

KUALA LUMPUR - Naib Ketua Angkatan Muda KeADILan, S Manikavasagam mendesak agar satu sisatan dan laporan lengkap dan terperinci dibuat ke atas kes kematian seorang tahanan di kem tahanan Simpang Renggam, S Henry yang didakwa membunuh diri ketika berada dalam tahanan itu 19 November lalu.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Angkatan Muda bersama bapa si mati, H Sreedhran, kenyataan Timbalan ketua Polis Daerah, OCPD Asst Comm Malik Abdul Harun tidak jelas dan tidak terperinci.

Dalam laporan akhbar The Star bertarikh 22 November lalu, Malik memberitahu bajawa Henry telah menggantungkan diri sendiri.

Tetapi, bapanya mendakwa bahawa sehari sebelum kejadian tersebut berlaku, beliau sendiri menemui Henry dan mangsa berada dalam keadaan sihat.

Sreedhran memberitahu anaknya tidak akan membuat perkara seperti itu kerana menyifatkan beliau sebagai seorang yang periang.

Henry yang dibawa ke pusat tahanan itu dari Balai Polis Kajang kerana dipercayai terlibat dalam kes bunuh. Beliau ditangkap tiga bulan lalu apabila dikatakan cuba mencuri motosikal.

Sungguhpun, laporan bedah siasat menyatakan bahawa Henry mati kerana terdapat kesan jerut di lehernya, bapanya berkata perbuatan itu tidak mungkin berlaku.

"Bagaimana anak saya boleh menggantung dirinya dengan sehelai selimut yang tebal?" kata Sreedhran.

Kejadian menggantungkan diri juga tidak mungkin berlaku kerana menurut Sreedhran, selalunya seorang yang menggantungkan dirinya, lidah mayat tersebut akan terjelir keluar.

"Ia tidak berlaku kepada mayat anak saya," jelas Sreedhran dalam nada yang amat sedih ketika ditemui 8 November lepas.

Selain itu, beliau juga mendapati bahawa terdapat kesan-kesan lebam teruk di bahagian perut dan tidak mungkin kesan tersebut akibat daripada jeritan selimut di lehernya.

Salah seorang bekas tahanan Simpang Renggam yang tidak mahu namanya disiarkan, dalam seminggu pertama seseorang berada di dalam tahanan, tidak akan terlepas daripada disiksa oleh pihak warden.

Beliau juga tidak mempercayai sekiranya seorang tahanan berupaya untuk membunuh diri dengan hanya menggunakan selimut yang dibekalkan oleh kem kerana selimut disitu teramat nipis dan tidak mampu untuk menggantung benda yang berat, apa lagi sebujur badan.

S Manikavasagam mempersoalkan juga tempoh yang panjang bagi pihak penguasa pusat tahanan mengetahui bahawa terdapat tahanan di situ membunuh diri. "Bukankah pusat tersebut mempunyai pegawai yang bertugas sepanjang masa?" kata Manikavasagam lagi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 23 November lepas, Manikasagam berkata, memandangkan Timbalan Ketua Polis Kluang, Malik Abdul Harun mengatakan tidak ada sebarang perkara pelik yang berlaku, maka dia (Malik) didesak supaya digantung perkhidmatannya.

Beliau juga memberitahu bahawa tuntutan tersebut wajar seiring dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan "Pembersihan dan ketelusan di kalangan pihak yang diberi amanah menjaga keselamatan rakyat."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home