SepangOnline

Friday, October 07, 2005

Ucapan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,

Ahli Parlimen Permatang Pauh, membahaskan Bajet 2006

Tuan Yang DiPertua,

1. Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang telah membentangkan Bajet 2006 bertemakan ‘Membina Ketahanan, Menghadapi Cabaran’ pada 30 September 2005 yang lalu. Saya juga gembira kerana isteri YAB Perdana Menteri Datin Seri Endon Mahmud telah selamat pulang ke tanah air untuk berpuasa ramadhan dan berhari raya disamping suami, anak, menantu serta cucunya. Saya juga mengucapkan Ramadhan Al-Mubarak.

Tuan Yang DiPertua,

2. Rakyat menunggu tahun 2006 dengan penuh resah. Kebimbangan mengenai kenaikan terus harga barang keperluan harian, kebimbangan tentang kadar faedah yang kian meningkat serta pertumbuhan sederhana ekonomi dunia menyebabkan rakyat menunggu tahun 2006 dengan penuh gelisah.

3. Strategi pertama Bajet 2006 sendiri memberi isyarat ketidakyakinan kerajaan terhadap keberkesanan Belanjawan ini untuk mengembangkan ekonomi negara. Kalau bajet-bajet terdahulu jelas dari segi objektif menambah pertumbuhan, bajet 2006 sekadar menyebut usaha kerajaan untuk memesatkan kegiatan ekonomi tanpa komitmen kepada produktiviti dan penghasilan nilai tambah.

4. Kenyataan YAB Perdana Menteri selepas pembentangan Bajet 2006 supaya rakyat berjimat cermat, menangguh pembelian televisyen, menangguh ubahsuai rumah dan tangguh pergi bercuti bukan sahaja meresahkan rakyat tetapi menjejaskan keyakinan sektor swasta yang diharap dapat menyumbangkan 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2006. Tidak mustahil dagangan di Bursa Malaysia pada Isnin, 3 Oktober 2005 cukup lesu dan pasaran saham jatuh 2.2%. Sepatutnya dengan berbagai insentif dan galakan serta pengenalan Group Relief yang dituntut sektor swasta sejak hampir 20 tahun yang lalu pasaran saham sepatutnya memberi reaksi spontan yang positif. Kenapa ini tidak berlaku dan dimana silapnya?

5. Saya dapati Bajet 2006 telah gagal menjawab kebimbangan utama rakyat, iaitu mengenai kenaikan terus harga barang. Menjelang Bajet 2006, pihak media, persatuan pengguna malahan kerajaan sendiri mengakui tentang ancaman berterusan kenaikan harga barang yang mencengkam kehidupan rakyat. Rakyat dan peniaga mengharapkan akan ada langkah Belanjawan 2006 yang dapat menangani ancaman berterusan kenaikan harga barang. Harapan rakyat dan golongan peniaga meleset sama sekali.

Langkah yang paling hampir ialah bantuan sara hidup di antara RM 50 hingga RM 150 kepada kakitangan kerajaan. Lain-lain bantuan untuk golongan tua dan golongan kanak-kanak hanya pemberian manis supaya kerajaan dilihat penyayang. Kebanyakan bayaran elaun seperti kenaikan bayaran insentif kepada pemusnah bom dan insentif menyelam untuk anggota polis merupakan amaun yang kecil jumlahnya. Mereka layak mendapat elaun tersebut tetapi golongan terbanyak jangan dialpakan.

Saya lihat Bajet 2006 tidak jujur untuk mengatasi himpitan hidup rakyat. Tiada langkah berkesan untuk meringankan sekaligus kesengsaraan pekerja awam dan swasta. Tiada langkah berkesan untuk mengawal harga barang dari terus melambung naik. Beberapa langkah dan layanan cukai hanya enak didengar tetapi sasarannya tidak menyeluruh. Dari segi ini Bajet 2006 memang licik.

Tidak ada cadangan bernas dari kerajaan supaya rakyat keseluruhannya dapat membawa balik take-home pay yang lebih. Nampaknya beberapa cadangan bernas daripada Securities Analyst, Persatuan Pengguna dan NGO’s (dengan izin) tidak diberi pertimbangan serius oleh kerajaan.
Kita tidak mahu strategi Belanjawan 2006 ‘Meningkatkan Kesejahteraan dan Kualiti Hidup Rakyat’ hanya menjadi ayat-ayat politik kosong.

Tuan Yang DiPertua

6. Izinkan saya memberikan sedikit tumpuan kepada anggaran hasil Bajet 2006 sebanyak RM 115.6 billion. Angka ini ialah RM 9.7 billion lebih tinggi daripada anggaran hasil disemak sebanyak RM 105.8 billion bagi tahun 2005. Sejauhmanakah angka anggaran hasil ini realistik.

Segala petunjuk menandakan cukai pendapatan syarikat 2006 akan berkurangan dengan drastik. Di antara petunjuk tersebut ialah :-

6.1 Syarikat-syarikat senarai awam telah mula mengurangkan anggaran keuntungan bagi tahun 2006. Ini akan menjejaskan pungutan cukai pendapatan syarikat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
6.2 Pengenalan Group Relief akan mengurangkan lagi hasil cukai pendapatan syarikat. Ini adalah kerana jumlah hasil RM 115.6 billion belum mengambilkira perubahan cukai yang dicadangkan dalam Bajet 2006. Kerugian Group Relief yang boleh ditolak dari keuntungan kumpulan adalah satu jumlah aggregat yang besar. Saya memohon YAB Perdana Menteri memberi anggaran kekurangan cukai pendapatan syarikat tahun 2006 berikutan pengenalan Group Relief.

7. Di antara sumbangan besar kepada hasil ialah Faedah dan Pulangan Pelaburan sebanyak RM 24.4 billion yang mana sebanyak RM 16 billion disumbang oleh Petronas. Malangnya sumbangan daripada syarikat Government-Linked-Companies (GLC) khususnya Khazanah Nasional tidak disenaraikan. Kenapa sumbangan daripada Bank Pertanian Malaysia sebanyak RM 5,000 dicatit sedangkan sumbangan Khazanah tidak dicatitkan secara berasingan. Terdapat satu angka sumbangan yang besar sebanyak RM 5.95 billion dicatit sebagai pulangan pelbagai pelaburan. Apakah rahsia disebalik angka RM 5.95 billion ini.

Tuan Yang DiPertua,

8. Bajet 2006 telah memperkenalkan beberapa insentif dan galakan cukai untuk sektor korporat gergasi. Cadangan Group Relief, galakan taraf perintis, galakan Merger dan Acquisition (M&A), pindaan Seksyen 132G mengenai aset shuffling, serta potongan cukai bayaran-bayaran professional bagi Real Estate Investment Trusts (REITs) merupakan galakan yang hanya mampu dinikmati korporat besar.

Sangat beruntunglah syarikat-syarikat perunding dan pelaburan yang dijangka terlibat mengendalikan deal oleh Khazanah dan Danaharta. Pihak kerajaan hendaklah bersifat telus dengan menyatakan berapakah syarikat yang akan menikmati galakan di atas dan apakah syarikat-syarikat tersebut?

Pembentukan Bank SME dengan modal berbayar RM 1.0 billion memang ditunggu-tunggu oleh peniaga kecil dan sederhana. Tetapi syarat syarikat peminjam mempunyai pertumbuhan kukuh dan lebihan daya saing untuk mendapatkan pinjaman mengecewakan peniaga kecil. Sekiranya syarikat peminjam mempunyai pertumbuhan kukuh dan lebihan daya saing sudah tentu bank swasta sudah membiayai mereka.

Saya berharap Bank SME mempunyai pegawai kredit yang mempunyai pengetahuan luas tentang bidang-bidang perniagaan baru. Sering berlaku permohonan pinjaman ditolak kerana pegawai kredit tidak faham selok belok perniagaan dan industri. Kerana tidak berdaya mengemukakan kertas cadangan kepada Jawatankuasa Kredit bank, pegawai berkenaan menolak permohonan mentah-mentah.

9. Sebagai usaha mewujudkan pusat kecemerlangan pengurusan rantaian bekalan pertanian Khazanah Nasional akan menubuhkan Syarikat Pertanian dan Makanan Nasional dengan modal 500 juta. Ini merupakan langkah yang bertepatan kerana negara mempunyai potensi pertanian dan industri makanan yang belum di eksploit.

Perlu diingatkan banyak usaha telah dibuat pada masa yang lalu tetapi akhirnya menemui kegagalan kerana tiada pengurusan yang cekap dan kegagalan menembusi pasaran. Adalah diharapkan Khazanah Nasional akan melantik mereka yang berpengalaman dan mempunyai minat Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) yang tinggi untuk mengurus syarikat ini.

Saya juga ingin bangkitkan apakah akan terjadi kepada Syarikat Industri Makanan Malaysia Sdn Bhd dibawah Kementerian Kewangan. Adakah ia akan digabungkan dengan Syarikat Pertanian dan Makanan Nasional atau kekal berasingan. Saya berharap pengalaman masa lepas tentang pertindihan tugas berbagai agensi kerajaan tidak akan berulang. Didalam nada yang sama apa akan terjadi kepada pelbagai agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, FELDA dan FELCRA?

10. Selain dari itu pembangunan sector ICT masih lagi berkisar di sekitar kegiatan pembanguan hartanah. Bajet 2006 membangkitkan persoalan plot-ratio pembanguan, infrastruktur, pengangkutan awam dan pembinaan rumah. MSC masih jauh dari sasaran membangunkan aplikasi software dan perisian.
Walaubagaimanapun kesesakan lalulintas di lebuhraya KESAS dan disekitar Stadium Bukit Jalil semasa perlawanan akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Perlis pada 01 Oktober 2005 lalu perlu menjadi iktibar bagi setiap perancangan kawasan baru. Kesesakan lalulintas di Putrajaya juga berpunca daripada kegagalan perancangan yang teliti.

11. Saya mengalu-alukan program PROSPER Siswazah yang menyediakan pinjaman RM 50 ribu bagi 200 graduan. Adalah diharapkan pinjaman ini diberikan kepada mereka yang mempunyai pengalaman bidang pengkhususan sekurang-kurangnya 5 tahun. Dibimbangi sekiranya diberi kepada graduan baru yang belum bersedia memikul risiko perniagaan dan mempunyai prioriti yang lain, program yang dicadangkan tidak akan membawa kejayaan yang diharapkan.

12. Pembangunan Human Capital perlu tertumpu kepada melahirkan pengurus-pengurus yang professional dan cekap. Universiti boleh melahirkan graduan tetapi keuapayaan graduan menjadi pengurus yang baik bergantung kepada daya kepimpinan, keupayaan motivasi dan mampu melahirkan hasil kerja yang berkualiti tepat pada masanya. Adalah diharapkan Akademi Kepimpinan Pengurus dan Pengarah akan memenuhi harapan ini. Saya juga mencadangkan supaya Akademi mempunyai hubungan yang rapat dengan Malaysia Institute of Management (MIM) yang sudah berpuluh tahun melahirkan lulusan pengurusan. Pihak kerajaan mestilah juga memberi perhatian di dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang banyak dan latihan yang intensif ke atas pekerja-pekerja yang pada pandangan saya telah diabaikan di dalam bujet kali ini.

Tuan Yang DiPertua,

13. Sementara Projek Bakun terus berhadapan dengan berbagai masaalah, orang asal yang tinggal di Batang Ai dan Batam terus dihimpit kehidupan mereka. Berbagai laporan diterima tentang nasib mereka. Mereka tidak ada bekalan elektrik sedangkan mereka dipindahkan untuk memberi ruang kepada Bakun untuk menjana letrik sehingga 2400 MW untuk dibekalkan bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di Sabah dan Brunei. Statistik kerajaan menunjukkan Cuma setengah daripada perkampungan pendalaman Sarawak mendapat bekalan air bersih. Begitu juga kesihatan dan pendidikan mereka terabai.

Projek Bakun yang telah bertukar tangan di antara Syarikat Ekran, TNB dan Syarikat Sarawak Hidro dan sudah tertangguh selama 3 tahun terus menjadi ancaman alam sekitar kepada penduduk yang dipindahkan.

Saya berharap satu pakar task-force digerakkan untuk menyiapkan projek Bakun dan penduduk sekitarnya dinaik taraf kehidupan mereka.

Tuan Yang Di Pertua,

14 Saya ingin menyentuh wabak denggi yang melanda Negara kita hari ini. Menteri Kesihatan menyatakan bahawa kementerian hanya akan mengistiharkan denggi sebagai wabak apabila ia mencapai 1000 ribu kes seminggu. Pada pemikiran rakyat biasa pengistiharan berikut mungkin tidak memberi sebarang makna kerana apa yang penting ialah kementerian gagal mendedahkan maklumat denggi ini pada waktu yang sepatutnya. Pada bulan Januari tahun ini, walaupun denggi telah mencapai 1000 kes seminggu namun kementerian tidak mahu menggunakan perkataan wabak kerana tidak mahu memberi publisiti kepada isu ini atas alasan ditakuti akan memberi kesan negatif kepada industri pelancongan. Malah pada bulan Februari, kementerian juga telah diselar oleh SUHAKAM kerana membatalkan mesyuarat mengenai denggi tanpa memberi sebarang alasan mengenainya. Pihak hospital pula memberi tahu bahawa mereka menerima “gag order” untuk tidak memberi sebarang fakta dan butiran mengenai denggi pada ketika itu kerana Negara sedang menerima tetamu dari NAM Summit. Apa yang dikesalkan ialah, dalam keadaan ramai jiwa yang terkorban, pihak kerajaan masih gagal menangani situasi kritikal ini.Apakah kita tidak belajar daripada Wabak Nipah dan JE dulu.

15 Kita berasa amat kecewa bajet pada kali ini kerana tidak menyentuh mengenai perusahaan atau industri otomobil. Perdebatan hangat mengenai isu AP telah menarik perhatian masyarakat bahawa industri otomobil Negara telah dicemari dengan penyelewengan, penyalah gunaan kuasa dan rasuah. Malangnya pihak kerajaan masih tidak mengendahkan padangan dan keresahan masyarakat tentang isu ini.

Kita percaya industri otomobil tidak harus menerima terus memberi subsidi di dalam industri kerana kegagalan industri tersebut untuk bersaing secara kompetetif. Sokongan kewangan bagi pengeluaran bagi otomobil ini boleh digunakan terhadap kepentingan Negara. Justeru kita mencadangkan pemberian AP dimansuhkan dan langkah-langkah penarik balik perlindungan kepada industri kereta nasional dipercepatkan. Pembayar cukai tidak harus dikenakan dua kali ganda bebanan iaitu dengan memberi subsidi pengeluaran industri otomobil dan juga dengan membeli kereta dengan harga yang tinggi.

Tuan Yang DiPertua,

16. Kerajaan harus mengakui bahawa masalah utama di dalam ekonomi Negara adalah diakibatkan oleh amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Penyalah gunaan kuasa ini telah menjadikan berbillion ringgit dibazirkan. Kerajaan mestilah mengambil langkah-langkah serius untuk mengatasi masalah ini. Kita seharusnya yang membuat tranformasi. Kita mendesak agar kerajaan menyediakan langkah-langkah untuk mengukuhkan corporate governance (dengan izin) dengan meningkatkan tranparasi. Sektor korporat dan kerajaan (terutamanya GLC) hendaklah tertakluk kepada penilaian umum. Ia memerlukan perubahan dalam “legislative” (dengan izin) dan institusi yang bebas. Semua institusi yang berkenaan dengan ekonomi dan kewangan seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Securiti hendaklah diberi kuasa yang cukup serta mampu bertindak secara professional.

17 Usaha untuk mempertingakatkan perlaburan perlu mendapatkan sokongan sektor-sektor lain. Ketelusan di dalam segenap aspek di dalam masyarakat dan pentadbiran adalah pra syarat untuk memulihkan ekonomi Negara. Langkah-langkah perlu diambil bagi mewujudkan kebebasan di dalam badan kehakiman, kebebasan media dan kebebasan mendapat maklumat. Tindakan kerajaan yang mengongkong media amat merimaskan. Ia melambangkan keengganan kerajaan menerima kritikan dan sekali gus kerajaan menolak tindak balas dari masyarakat.

18 Kita juga mengesa kerajaan supaya memahami bahawa hubungan harmoni antara kaum sangat mustahak. Untuk mendapat keyakinan pelabur luar dan dalam Negara, kita memerlukan lebih dari potongan cukai mahupun pemberian bonus. Negara ini telah merdeka lebih 48 tahun. Malangnya rakyatnya masih belum boleh menikmati pertubuhan ekonomi yang secara adil. Salah guna kuasa dan salah laku pentadbiran di dalam Dasar Ekonomi Baru telah mengakibatkan amalan rasuah dan pembaziran ekonomi. Matlamat Dasar Ekonomi Baru untuk membantu golongan miskin tanpa mengira kaum telah gagal untuk menaikkan status ekonomi golongan berpendapatan rendah. Masyarakat orang asli dan bumiputera di Sabah dan Sarawak masih kekal berada di luar kepompong pembangunan utama ekonomi. Meskipun telah beberapa kali Dasar Ekonomi Baru ini disambung orang-orang melayu yang berpendapatan rendah masih gagal bersaing di dalam ekonomi secara “independent” (dengan izin). Dasar ekonomi baru hanya mengkayakan golongan elit yang mempunyai pertalian dengan kerajaan. Mereka mengumpulkan kekayaan menerusi kuasa politik. Golongan ini mempunyai jutaan syer dan keuntungan menerusi skim keistemewaan bumiputera namun kebanyakkan masyarakat bumiputera masih kekal miskin. Lebih malang lagi pada masa yang sama penyalahgunaan kuasa di dalam DEB ini telah mewujudkan silap faham dan keteganggan antara kaum. Pihak kerajaan wajib menilai semula kesilapan di dalam DEB ini dan tidak mengulanginya di dalam Plan Rancangan Malayisa Ke -9.

Tuan Yang DiPertua,

19. Sikap angkuh dan provokatif sebilangan pemimpin di dalam kerajaan juga telah menjadikan usaha mewujudkan keharmonian di antara kaum dan Intergrasi Nasional tercemar. Bukan sahaja mereka gagal mengakui bahawa salah laku tadbir dan korupsi adalah faktor utama berlakunya ketidaksamaan status ekonomi, ada diantara pihak-pihak dalam kerajaan terutamanya sayap Pemuda telah menyemarakkan keteganggan kaum. Penggunaan bahasa berapi-api dan tindakan yang liar dan ganas sudah tidak sesuai lagi di dalam politik abad ke-21 ini. Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama mestilah menunjukkan komitmen yang tinggi di dalam membina Negara dan Bangsa kita. Kita mesti menerima antara satu sama lain dan mempunyai sikap saling Bantu-membantu sekiranya kita mahukan sebuah Negara dan Bangsa yang maju. Hanya dengan cara ini sahaja kita dapat mengatasi sebarang bentuk tekanan dan permasalahan di dalam era globalisasi ini.

Tuan Yang Di Pertua,

20. Saya mengalu-alukan tawaran YAB Perdana Menteri supaya ahli-ahli Dewan ini mengemukakan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP) di Jabatan Perdana Menteri senarai projek infrastruktur asas yang diperlukan di setiap kawasan Parlimen sebelum akhir bulan November ini.
Setiap rakyat yang membayar cukai wajar diberi layanan yang sama tidak kira di kawasan mana mereka tinggal. Rakyat kawasan tersebut telah memilih ahli-ahli parlimen bagi mewakili mereka di dalam Dewan ini. Sebagai mewakili rakyat Permatang Pauh saya akan kemukakan dua projek berikut kepada UPP.

• Menambah peruntukan projek tebatan banjir di Seberang Perai Tengah, agar kawasan yang diliputi lebih luas sehingga ke sempadan Tasek Glugor (Mengkuang Mak Sulong)
• Menbina jejantas di Highway BKE (Butterworth Kulim Expresway) untuk kemudaham petani melintas jalanraya di kawasan tol Seberang Jaya.

Adalah diharapkan keperluan penduduk Permatang Pauh yang berjiran dengan Kepala Batas akan diberikan pertimbangan sewajarnya. Selain daripada itu adalah amat bijak jika Yang Amat Berhormat turut memberikan peruntukkan sebanyak RM 500 ribu kepada Parlimen Permatang Pauh sebagai mana yang diberikan kepada Parlimen-parlimen lain yang berada dibawah pemerintahan kerajaan.

Tuan Yang DiPertua,

21. Sebagai penggulungan, Bajet 2006 mengenal pasti kenaikan berterusan harga barang dan inflasi sebagai ancaman kepada rakyat pada tahun hadapan. Walaupun pada awal September 2005 kerajaan memberi jaminan bahawa tidak akan ada kenaikan harga minyak dan diesel sehingga hujung tahun dan tidak akan ada kenaikan tol sehingga Disember 2006, rakyat terus bimbang kerana tiada jaminan harga minyak tak naik menjelang Januari 2006.
Walaupun Bajet 2006 mengenalpasti ancaman inflasi ia gagal memperkenalkan langkah menangani cost-push inflation secara berkesan.

Kesimpulannya bagi tahun 2006 inflasi akan terus mencengkam, sektor korporat akan melaporkan keuntungan yang berkurangan dan kadar faedah akan meningkat. Jika syarikat gagal menikmati insentif yang diberi dan sistem penyampaian perkhidmatan awam terus ditakuk lama sasaran hasil Kerajaan Persekutuan sebanyak RM 115.6 billion tidak akan tercapai. Jika peruntukan perbelanjaan tidak diguna sepenuhnya sasaran pertumbuhan 5.5% akan meleset. Kegagalan mencapai sasaran hasil akan menyebabkan hutang bertambah dan unjuran defisit 3.5% akan dilampaui.

Yang DiPertua Dewan, Sekian, Terima Kasih.

Datin Seri Dr. Wan Azizah bt Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home