SepangOnline

Thursday, October 06, 2005

Pegawai istana Negeri Sembilan sertai keADILan

Oleh: Faisal Mustaffa

Kedatangan Anwar Ibrahim ke Negeri Sembilan memberi kesempatan kepada Setiausaha Kerapatan Adat Istiadat Negeri Sembilan, Dato Haji Aladzhar Abd Khalid membuat pengumuman menyertai keADILan pada 1 Oktober lalu.

Beliau bertindak demikian atas kesedaran pemimpin Umno kini korup dan hanya mementingkan diri sendiri, bukannya rakyat.

Aladzhar yang juga setiausaha kepada Bilik Gerakan Umno Negeri Sembilan dari 1987 hingga April 2005 berkata pengalaman tersebut, sudah mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa Umno sudah tidak lagi relevan. Bahkan, parti yang sepatutnya menaikkan martabat kaum Melayu hanya menumpukan kepada segolongan pihak sahaja.

"Manakala KeADILan adalah parti yang bukan hanya untuk orang Melayu tetapi mementingkan kesemua kaum di negara ini," kata Aladzhar yang ditemui selepas selesa majlis ceramah Anwar Ibrahim yang diadakan di Batu Kikir, Kuala Pilah.

Bagi kawasan seperti Jempol, kehadiran seramai 10,000 adalah satu jumlah yang berupaya untuk menggoncang Menteri Besarnya, Mohamad Hasan.

Aladzhar berasa sungguh kagum dengan sambutan pada malam tersebut. Beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Datuk-datuk Lembaga berkata mengikut pengalamannya bukan senang untuk mengumpulkan rakyat seramai itu dalam upacara-upacara rasmi kerajaan negeri mahupun pusat.

"Pak Lah yang datang ke Negeri Sembilan pun susah untuk habiskan 70 meja," katanya ketika menjadi jawatankuasa menyambut Perdana Menteri ke Negeri Sembilan baru-baru ini.

Majlis Daerah batalkan program Anwar

Majlis makan malam yang sepatutnya diadakan di Dewan Majlis Daerah Kuala Pilah terpaksa dipindahkan kerana pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) membatalkan permohonan KeADILan.

Akhirnya majlis tersebut diadakan di rumah bekas calon parlimen Kuala Pilah 2004, Haji Anuar Salleh di Ampang Tinggi, Parit, Kuala Pilah.

Permohonan dibuat pertengahan September lepas tetapi ianya ditolak pada 28 September lalu, tiga hari sebelum program itu diadakan.

Wang deposit sebanyak RM600 pun sehingga ini belum dipulangkan oleh pihak Majlis Daerah.

Alasan yang diberikan adalah kerana pihak kerajaan memerlukan dewan tersebut bagi urusan rasmi tetapi menurut sumber yang diperolehi, dewan itu kosong pada malam tersebut.

Orang yang tinggal berhampiran dewan itu memberitahu majlis hanya diadakan keesokan harinya yang diadakan oleh sekumpulan masyarakat Cina dengan hidangan minuman arak.

Anwar kejar SB

Sebelum bertolak ke Kuala Pilah, Anwar singgah bertemu dengan ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang sedang mengadakan Temu Rapat di salah sebuah hotel di Port Dickson.

Anwar menyedari bahawa pergerakannya di situ diperhatikan oleh dua orang yang mencurigakan bersama kamera video-cam.

Sungguhpun Anwar melambai dari jauh, 'juru kamera' itu tetap merakamkan pergerakannya, sehingga Anwar terpaksa mengejar mereka.

Sebaik saja Anwar kelihatan menghampiri mereka, keduanya berkeliaran meninggalkan tempat tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home