SepangOnline

Wednesday, October 05, 2005

Kejadian gejala perdagangan wanita dan kanak-kanak menakutkan: Wan Azizah

Malaysia Today

Nasib wanita dan kanak-kanak yang diseludup atau diperdagangkan (trafficking) untuk tujuan dipaksa bekerja di pusat-pusat hiburan secara haram, dilacurkan atau lain-lain bentuk eksploitasi kian meningkat di negara ini. Keadaan menakutkan ini, mendesak pihak berkuasa mengambil langkah-langkah yang lebih agresif dan pantas.

Presiden Parti Keadilan Rakyat YB Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga ahli parlimen Permatang Pauh mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berbuat sesuatu bagi menangani masalah tersebut.

Dalam soalan lisannya di Parlimen, Wan Azizah mempersoalkan keprihatinan kementerian tersebut terhadap gejala perdagangan (trafficking) wanita dan kanak-kanak yang kian meningkat dari tahun ke tahun.

Ketiadaan akta telah menafikan wanita-wanita serta kanak-kanak yang dipergunakan dalam pelacuran secara paksa, dari dibela dan dilindungi. Rasa prihatin saja tidak memadai dalam menangani permasalahan perdagangan wanita dan kanak-kanak ini, ia memerlukan tindakan yang segera dan penguatkuasaan undang-undang.

Begitu juga dengan ketiadaan tempat perlindungan bagi wanita-wanita dan kanak-kanak yang telah diselamatkan dari pelacuran, mengancam fizikal dan jiwa mangsa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dalam jawapan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada soalan Datin Seri Wan Azizah, kementerian tersebut mengakui bahawa tiada akta khas bagi jenayah memperdagangkan dan penyeludupan wanita dan kanak-kanak dan tempat perlindungan khas bagi wanita dan kanak-kanak yang telah berjaya diselamatkan.

Menurut KPWKM, terdapat beberapa akta yang memberi perhatian kepada aspek perdagangan dan penyeludupan wanita dan kanak-kanak seperti Akta Kanak-kanak 2001, Kanun Keseksaan dan Akta Imeigresen 1959 pindaan 1963. Akta Kanak-kanak misalnya telah menetapkan bahawa seseorang yang menjual, melanggan, membeli memiliki dan membawa masuk dan keluar negara seseorang kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah dengan niat untuk diambil bekerja atau maksud pelacuran sama ada di dalam atau luar negara adalah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM50 ribu dan di penjara tidak lebih 15 tahun atau kedua-duanya sekali. Malah mereka yang menjadi ibu atau bapa ayam (pimps) dengan melacurkan kanak-kanak boleh dihukum sebatan mandatori tidak lebih daripada enam sebatan. Akta tersebut juga memperuntukkan bahawa mereka yang terlibat dalam apa-apa transaksi kanak-kanak boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10 ribu atau kedua-duanya.

Kementerian tersebut memberitahu bahawa Jawatankuasa Kabinet mengenai Kesaksamaan Gender dan Jawatankuasa Kabinet berkenaan telah bersetuju untuk mewujudkan sebuah pusat perlindungan khas bagi mangsa-mangsa tersebut.

KPWKM kini sedang mengenalpasti tempat yang sesuai dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home