SepangOnline

Saturday, September 03, 2005

IPTA Sudah Kehilangan Wibawa: Azizah

Oleh: Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR: Keunggulan institusi pengajian tinggi awam negara menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia memandangkan di situlah lahirnya pemimpin generasi akan datang yang akan mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta ini.

Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, peranan universiti sebagai pusat untuk mengembangkan ilmu pengetahuan melalui pengajaran serta pendidikan, menggalakkan cara berfikir secara kritis dan kreatif dan memupuk nilai-nilai moral serta etika yang tinggi, nampaknya semakin terjejas.

"Tidak keterlaluan kalau dikatakan Universiti yang suatu ketika dulu menjadi idaman anak-anak muda dan kebanggaan para ibubapa hingga digelar Menara Gading kini kian hilang wibawanya," kata Wan Azizah.

Menurut beliau, kebebasan akademik di dalam negera ini sudah lama pupus. Campurtangan politik di dalam pentadbiran universiti telah menjadikan universiti seolah-olah seperti sebahagian daripada jabatan kerajaan.

Naib-naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor pula menurut beliau kerap diangkat berdasarkan fahaman politik mereka dan bukan atas kecemerlangan akademik.

Justeru, ramai di antaranya yang kurang berwibawa dan lebih malang lagi ia mengakibatkan ramai kakitangan akademik yang sudah hilang komitmen dan semangat keilmuan kerana kecewa dengan fenomina ini. Maka tidak hairanlah jika kebanyakan mahasiswa hari ini menjadi tidak lebih daripada seperti pelajar lepasan sekolah tinggi.

"Akibat dari campurtangan politik ini juga telah mewujudkan situasi dimana ramai kakitangan yang kurang pengalaman diangkat sebagai Dekan dan Ketua Jabatan. Kesan dari itu, kakitangan kanan yang berpengalaman dan dihormati dari segi akademik dan pentadbiran akan terpinggir," kata Wan Azizah lagi.

Dalam kenyataannya bertarikh 2 September itu, Wan Azizah menegaskan bahawa akhir-akhir ini beberapa buah universiti awam telah mula mengambil tindakan ke atas kakitangan akademik yang tidak mahu menerima atau menandatangani Surat Akujanji dengan kerajaan. Mereka bukan sahaja tidak dinaikkan pangkat, malah ada yang ditamatkan kontrak lanjutan.

Dalam kenyataan itu menyebut pihak universiti juga telah menolak permohonan perpindahan jawatan kakitangan akademik ke agensi antarabangsa meskipun sepatutnya ia menjadi kebanggaan universiti khususnya dan negara amnya. KeADILan benar-benar kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku kepada Profesor K.S. Jomo, Profesor Shahril, Profesor P. Ramasamy, Prof Madya Terence Gomez , Dr Azly Rahman serta isterinya.

"Tindakan memberhentikan mereka dan asakan sehingga mereka terpaksa meletakkan jawatan sedangkan mereka merupakan tokoh-tokoh akademik yang berwibawa, berjaya dan disegani di dalam dan di luar negara adalah sesuatu yang merugikan bangsa dan negara," jelas Wan Azizah.

Menurutnya lagi, KeADILan amat gusar dengan campur tangan parti pemerintah di dalam pentadbiran universiti dan hal ehwal pelajar ini kerana ia bukan sahaja menjadikan kewibawaan universiti itu tercalar malah kedudukan Universiti sebagai pusat pendidikan tertinggi negara juga tercemar.

Beliau berpendapat, pihak-pihak pimpinan akademik dan pentadbiran tertinggi di universiti-universiti hendaklah dikekalkan wibawanya.

Mereka hendaklah dibenarkan bertindak secara bebas dengan tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur parti politik agar dapat melahirkan mahasiswa yang berjiwa merdeka. Kemuliaan universiti hendaklah juga dipulihkan sejajar dengan peranannya mewujudkan graduan-graduan yang produktif dan berdaya maju.

Manakala Kebebasan akademik wajib kita pertahankan kerana hanya dengan itu dapat kita realisasikan tema Hari Kemerdekaan- Pendidikan Teras Pembangunan Insan dalam bentuk perlaksanaan dan bukan sekadar laungan hambar.

"Mengambil semangat Kemerdekaan sejajar pula dengan tema "Keranamu Malaysia" dan sub tema "Pendidikan Teras Pembangunan Insan" maka KeADILan menggesa agar semua pihak memberikan perhatian serius di dalam usaha mengembalikan kemuliaan institusi universiti ini," kata Wan Azizah lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home