SepangOnline

Wednesday, June 01, 2005

Wanita dipecat kerana melahirkan anak! Mana Menteri Wanita?

Malaysia Today

Pada hari ini, masih ada berlaku di Malaysia, wanita dipecat hanya kerana dia melahirkan zuriat. Sebuah akbar tempatan melaporkan bahawa Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah telah membuat peraturan ke atas pekerja kontrak wanitanya, bahawa mereka hanya boleh melahirkan sehingga anak kedua, jika mengandung anak ketiga, mereka akan dipecat.

Kebanyakan pekerja wanita Kemas yang bekerja sebagai guru tadika dan bekerja atas kontrak. Bermula dengan kontrak tiga tahun dan kemudian dilanjutkan setiap dua tahun sehingga umur 56 tahun.

Dalam bulan Februari, kementerian tersebut telah mengeluarkan pekeliling ke pejabat-pejabat Jabatan Pembangunan Komuniti atau Kemas, menetapkan had bilangan pekerja kontrak wanita dibayar cuti bersalin.

Dalam pekeliling tersebut, kementerian menyatakan pekerja-pekerja tersebut berhak menerima cuti bersalin bagi dua kelahiran sepanjang tempoh kontrak. Sesiapa yang melahirkan lebih daripada had tersebut akan ditamatkan kontraknya.

Perkara yang sama juga berlaku ke atas pekerja MAS Beatrice Fernandez.

Ketua Wanita Keadilan, Hjh Fuziah Salleh memberitahu bahawa Wanita Keadilan, pada September 2003 pernah mengeluarkan kenyataan media mendesak Menteri Wanita berbuat sesuatu dengan syarat-syarat pekerjaan MAS yang dilihat mendiskriminasi pekerja kabin wanitanya. Sehingga ke hari ini, syarat-syarat yang jelas tidak adil tersebut, masih diamalkan dalam MAS. Pada hari ini terbongkar pula satu lagi diskriminasi terhadap wanita, dalam sebuah kementerian, sebuah institusi kerajaan!

Menteri Wanita perlu berbuat sesuatu bagi menghentikan segera amalan-amalan yang mendiskriminasi wanita ini. Badan-badan berkaitan telah menafikan hak wanita untuk bekerja dalam persekitaran yang tidak diskriminasi dan bebas tekanan.

Fuziah berpendapat, Kementerian Wanita dan kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Sumber Manusia perlu lakukan sesuatu dalam bidang kuasanya untuk menghentikan amalan diskriminasi berasaskan gender itu dan mengiktiraf hak pekerja wanita untuk dilayan sama rata dan adil.

Layanan yang tidak adil dan berbeza terhadap pekerja kabin wanita mempunyai kesan ke atas akses wanita kepada peluang-peluang yang sama. Layanan berbeza tersebut termasuk:



i. Umur persaraan yang lebih awal berbanding pekerja lelaki

ii. Cuti bersalin tanpa gaji, bermula pada bulan kedua setelah disahkan mengandung

iii. Kemudahan cuti bersalin untuk dua orang anak sahaja, selepas itu akan diberhentikan

Menurut Fuziah lagi, Beatrice Fernandez telah ditamatkan perkhidmatannya kerana didapati mengandung. Kes Beatrice perlu mendapat perhatian kerana ia akan meletakkan amalan yang akan digunapakai oleh syarikat-syarikat dan badan-badan lain yang mengambil wanita sebagai pekerja mereka.

Mempunyai anak ialah fungsi sosial yang hanya seorang wanita boleh lakukan. Dengan itu, wanita tidak boleh didiskriminasi terhadap polisi sosial ini. Kerajaan Malaysia perlu mempunyai polisi awam mengenai diskriminasi terhadap wanita yang mengandung, jelas Fuziah.

Wanita Keadilan mahu kerajaan membuktikan kesungguhannya dalam melaksanakan 9 poin utama yang dibuat dalam Deklarasi Putrajaya baru-baru ini, kerajaan perlu:


1. Memastikan wanita tidak didiskriminasi hanya kerana dia mengandung

2. Memastikan hak perlembagaan semua warganegara dijamin tanpa syarat

3. Memastikan MAS menyemak semula terma-terma Perjanjian Kolektif dan mengeluarkan semua terma yang diskriminasi gender

Wanita Keadilan akan membawa perkara ini kepada perhatian Kementerian Sumber Manusia dan pihak pengurusan Syarikat Penerbangan Malaysia MAS, beritahu Fuziah lagi.

Mesyuarat Menteri-menteri NAM sudah berakhir, kini janji-janji dan deklarasi perlu dikotakan. Menteri Wanita kini perlu buktikan keikhlasan dan kejujurannya. Tugas pertamanya ini akan mengukur sejauhmana kata hebat dalam mesyuarat menteri-menteri NAM yang lepas adalah benar.

Salah satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh YAB Datuk Seri Shahrizat Jalil, ialah melihat dan menyemak semula, serta memastikan syarat-syarat pekerjaan tidak melanggar Fasal 8[2] of the Perlembagaan Persekutuan, yang dengan jelas menyatakan bahawa “tidak ada diskriminasi atas dasar agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau gender”, katanya lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home