SepangOnline

Wednesday, June 01, 2005

Kak Wan tidak dibenarkan minum petang

Malaysia Today

KULA LUMPUR 28 MEI - Ahli Parlimen Permatang Pauh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu bahawa beliau dihalang untuk menghadiri majlis minum petang sempena pelancaran Pusat Pengayaan Komuniti WIRDA dan Misi Bantuan Keselamatan (Relief Work) oleh kumpulan remaja.

Pihak penganjur telah dimaklumkan oleh pengurus tempat program diadakan, di saat-saat akhir, mereka tidak dibenarkan memberi Datin Seri Dr Wan Azizah berada di lokasi setelah pihak atasan memberi arahan supaya dibuat larangan tersebut.

Pihak penganjur tidak dapat pastikan sama ada Datin Seri Dr Wan Azizah dilihat sebagai mewakili Parti Keadilan Rakyat dan dikhuatiri akan mengganggu ketenteraman pegawai-pegawai kerajaan yang bermain golf di situ, atau atas sebab-sebab lain.

Namun begitu, pihak penganjur majlis telah bertindak profesional, dengan meneruskan majlis tanpa melayani ’arahan’ yang tidak rasional tersebut.

Parti Keadilan Rakyat yang dikatakan parti nyamuk dan hanya berpaut kepada satu kerusi di Parlimen ternyata digeruni oleh Barisan Nasional yang menang 90% kerusi di parlimen!

Majlis tersebut telah diadakan di salah sebuah dewan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), Bukit Kiara, Kuala Lumpur, bagi pelancaran WIRDA Pusat Pengayaan Komuniti.

Datin Seri Dr Wan Azizah telah memuji usaha murni Adik Zarif mewujudkan kumpulan remaja yang melibatkan diri dalam kerja-kerja menyelamat mangsa-mangsa yang ditimpa bencana. Usaha meningkatkan kesedaran juga merupakan antara tujuan tertubuhnya kumpulan Gemma Malaysia.

Adik Zarif yang cacat anggota menceritakan pengalamannya berhadapan dengan badan-badan bukan kerajaan yang tidak memberi peluang kepada orang sepertinya untuk sama-sama menyumbang membantu masyarakat yang ditimpa bencana. Pengalamannya itu telah membuatkannya lebih cekal dan beliau dan dua orang teman telah ke Aceh secara sendiri dan daripada itu telah membina hubungan dengan remaja Aceh untuk misi-misi bantuan keselamatan selepas itu.

Mereka telah dapat mengagihkan beribu-ribu tan bantuan yang berbentuk ubat-ubatan, makanan, pakaian, peralatan pendidikan dan lain-lain.

Adik Zarif yang telah pun mempunyai ijazah dalam psikologi telah membuktikan bahawa orang kurang upaya dan remaja juga mampu memberi sesuatu kepada masyarakat dan bukan golongan yang menagih simpati atau beban kepada masyarakat. Beliau menggunakan kaki untuk menulis kerana tiada kedua belah tangan.

WIRDA yang dilancarkan, diharap akan mengadakan banyak lagi usaha-usaha memperkayakan komuniti setempat. Ia akan diwujudkan di serata negara dan dijadikan tumpuan komuniti bagi membantu mereka-mereka yang memerlukan di kawasan setempat.

WIRDA mengalu-alukan mereka yang ingin menyumbang tenaga kepada komuniti untuk tampil ke hadapan dan hubungi pusat WIRDA.

Turut serta menghadiri majlis tersebut ialah Puan Fuziah Salleh, beberapa kenamaan, keluarga tahanan ISA dan remaja-remaja yang terlibat dalam misi menyelamat di Aceh.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home