SepangOnline

Wednesday, June 01, 2005

Syed Shahir ganti Zainal Rampak ke Sidang Antarabangsa ILO

Oleh: Faisal Mustaffa

PETALING JAYA- Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Mohamad berlepas ke Geneva bagi menghadiri Persidangan Pertubuhan Antarabangsa (International Labor Organisation, ILO) yang berlangsung pada 30 Mei hingga 16 Jun akan datang.

Beliau akan menghadiri persidangan itu buat petama kalinya. Sebelum ini, persidangan tersebut diwakili oleh Zainal Rampak yang merupakan Presiden MTUC sebelum ini.

ILO merupakan sebuah badan gabungan pertubuhan pekerja seluruh dunia yang beranggotakan negara-negara dari sektor kerajaan, pekerja dan dari kalangan majikan.

Dalam pertemuan bersama ahli-ahli KeADILan Bahagian Subang pada 27 Mei lepas dalam satu pogram Sambutan Hari Pekerja, Syed Shahir memberitahu bahawa beliau akan mengusulkan isu-isu yang berkaitan dengan hak pekerja di Malaysia.

Antara perkara lain yang akan dibangkitkan oleh beliau ialah bahaya globalisasi dan kesan terhadap pekerja dan isu pekerja asing.

Selain daripada itu, beliau juga akan menyentuh hal-hal yang diperjuangkan oleh MTUC dalam deklarasi Hari Pekerja yang dibacakan semasa perayaan Hari Pekerja peringkat kebangsaan tahun ini iaitu gaji minimum, sistem jaminan kebajikan pekerja dan hak berpersatuan.

Menurut Syed Shahir, beliau akan mengutamakan isu-isu yang bersangkutan dengan pengagihan kekayaan negara di dunia yang seharusnya mengambilkira golongan pekerja kerana beliau berpendapat golongan tersebut terkebelakang dalam hal sedemikian.

Dalam ceramah beliau di pejabat bahagian Subang, Syed memberitahu bahawa sikap masyarakat yang tidak proaktif dalam memberi tindakbalas terhadap kenaikan harga barang yang melanda negara ini mencerminkan sikap rakyat sekarang.

Beliau memberitahu bahawa keadaan yang berpunca daripada tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel baru-baru ini membawa kepada kuasa beli rakyat yang bertambah lemah.

Perkara tersebut membawa kepada kaum pekerja terpaksa melakukan tiga pekerjaan dalam satu waktu disamping mengorbankan kualiti hidup.

Menyentuh mengenai pekerja asing, Syed Shahir berkata bahawa insan tersebut juga mempunyai hak untuk memperolehi gaji yang munasabah dan bersifat duniawi.

Begitu juga pekerja ladang yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Namun, golongan pekerja ladang sehingga sekarnag hanya mampu mendapat RM325 - RM350 sebulan.

Justeru, Syed Shahir menyarankan supaya Kerajaan mempertimbangkan pembayaran gaji golongan tersebut dengan membayar upah sesuai dengan sumbangan yang dicurahkan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home