SepangOnline

Wednesday, June 01, 2005

Anwar berjanji akan perkukuhkan BA

Oleh Mohd Sabri Said
SUNGAI PETANI, 31 Mei (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menumpukan sepenuh perhatian untuk memperkukuhkan Barisan Alternatif (BA) mulai hujung tahun ini setelah lama menjalinkan hubungan luar negara.

Beliau semasa memberi ucapan di Padang Dewan Serbaguna Taman Peruda, Sungai Petani petang semalam menambah, selepas kembali ke arena politik nanti beliau berharap semua ahli dalam gabungan BA memberi kerjasama yang baik untuk berhadapan dengan jentera Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum depan.
"Selepas lama berada di luar negara kini masanya sudah tiba dan saya akan menumpukan perhatian di dalam negara. Kita akan lawan mereka dengan bersungguh hati, " ujarnya.

Selepas kembali mengajar di luar negara pada penghujung bulan Julai nanti beliau akan berkunjung pula ke Jepun dan seterusnya pada 1 Ogos 2005 ke Taipei.

Kata beliau lagi, melalui pertemuan dengan para pemimpin dunia beliau mendapati ramai yang memberikan semangat untuk beliau mengembalikan kestabilan ekonomi, kehakiman, politik dan maruah kepimpinan yang sudah tercalar.

Menurutnya, jika ketrampilan gabungan BA dilihat dapat menyelamatkan kedudukan sekarang tidak mustahil rakyat akan memberi undi pada BA untuk memerintah.

"Kita mesti yakin kita boleh menang pilihan raya umum akan datang kerana terlalu banyak keruntuhan moral berlaku termasuk kepimpinan kerajaan sendiri, " terangnya yang juga bekas Menteri Kewangan.

Apabila ditanya kenapa beliau memberi tumpuan ke luar negara, beliau berkata bahawa, tujuannya berbuat demikian adalah untuk memastikan negara luar mendapat gambar sebenar tentang politik sekarang serta isu yang berlaku ke atas dirinya.

"Nak buat macam mana di negara sendiri orang tak mau. Terpaksalah merantau cari pendapatan untuk sara anak isteri, " tegas beliau dengan nada gurau.

Turut berucap pada majlis bersama rakyat itu adalah Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Noor dan Ketua PKR Kedah, Mokhtar Mansor. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home