SepangOnline

Wednesday, June 01, 2005

Abdullah takut tubuh suruhanjaya bebas siasat rasuah

Oleh Mohd Sabri Said
SUNGAI PETANI, 31 Mei (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sehingga kini takut untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat kes rasuah dalam pentadbiran kerajaan kerana bimbang terkena batang hidung sendiri, kata Ketua Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (PKR) Ezzam Mohd Noor.

Sepatutnya Abdullah bertegas sebagaimana beliau mengatakan demikian pada awal pelantikan mengantikan Tun Dr Mahathir Mohamad. "Abdullah mana berani tubuh Suruhanjaya Bebas Diraja sebagaimana Suruhanjaya Siasatan Polis yang hanya berkait dengan kesalahan polis dan bukannya bukan kesalahan Exco, Timbalan Menteri atau Menteri sendiri, " jelasnya.
Beliau tahu sekiranya ditubuhkan, maka ramai menteri Kabinet akan diheret ke muka pengadilan.

Maka sebab itu katanya, Abdullah sengaja tidak mahu mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Diraja berkaitan rasuah kerana takut pentadbirannya tergugat.

"Dulu semasa baru memegang tampuk pemerintahan bukan main lagi nak banteras rasuah tapi lama kelamaan lupa macam itu saja, " ujar beliau.

Semasa laporan Suruhanjaya Polis dibentangkan kepada umum banyak kes diketahui termasuk kes yang membabitkan bekas polis berpangkat besar.

Tidak mustahil sambung Ezam, apabila kes rasuah disiasat pasti ada anggota Kabinet yang terjerat.

"Mereka sengaja melewatkan penubuhan itu kerana takut memakan diri sendiri, " tegasnya dalam program bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim di Padang Dewan Serbaguna Taman Peruda, Sungai Petani petang semalam. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home