SepangOnline

Thursday, June 02, 2005

Cetusan Madani: Masyarakat Madani dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Oleh: Mustaffa Kamil Ayub

Dengan masyarakat madani yang menekankan persoalan keadilan, sesungguhnya adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa sejak dari awal lagi Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) adalah suatu undang-undang yang kontroversial dan diperdebatkan dari masa-kesemasa oleh pelbagai kalangan. ISA dilihat sebagai menodai hak demokrasi rakyat sekaligus kepada pengembangan masyarakat madani itu sendiri di Malaysia. Ini juga berlaku kepada beberapa akta lain seperti Akta Hasutan (1948), Akta Polis (1967), Akta Pertubuhan (1972), Akta Universiti dan Kolej Universiti -AUKU (1970), dan Akta Rahsia Rasmi (1972). Walaupun ada pasang dan surutnya polemik ISA ini, namun apabila setiap kali tangkapan dan penahanan dilakukan ia akan segera mendapat reaksi dari pelbagai kalangan yang pro dan kontra.

Perdebatan mengenai ISA ini menjadi penting selepas pilihan raya 1999 dengan penangkapan dan penahanan 10 orang pimpinan politik dan reformis sepanjang April 2001 dan diikuti pula dengan penangkapan dua orang pimpinan mahasiswa dalam bulan Jun 2001. Manakala berikutnya pula 10 orang lagi ditahan sepanjang bulan Ogos 2001 atas tuduhan menganggotai Kumpulan Mujahidin (kemudian dipinda kepada militan) Malaysia.

Dari segi sejarahnya, ISA telah dibentuk dalam tahun 1960 melalui peruntukan perundangan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk membuat undang-undang dengan tujuan memerangi subversif yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Sebelum ISA terdapat Ordinan Darurat yang diistiharkan pada tahun1948 dan diterimapakai selama 12 tahun (1948 - 60 ) bagi maksud yang sama. Melalui Ordinan Darurat ini, satu Peraturan Darurat telah dibentuk (Emergency Regulations 1948) yang bertujuan untuk memerangi Gerakan Komunis bawah tanah. Dengan ordinan Darurat ini telah memberi kuasa yang luas kepada kerajaan untuk menahan sesiapa sahaja yang disyaki tanpa perbicaraan, manakala kesalahan memiliki senjata api dan bahan letupan tanpa kebenaran akan dikenakan hukuman mati.

Perlaksanaan ISA diperingkat awalnya kelihatan masih menjurus kepada langkah pencegahan anasir subversif komunis di Malaya dan Malaysia kemudiannya. Dr. Tan Seng Giaw menyatakan bahawa beliau pernah bertemu dengan H.R. Hickling yang menggubal ISA pada 3 November 1988 dan menyatakan bahawa ISA adalah semata-mata sebagai senjata undang-undang untuk menghapuskan komunisme dari Malaya. Namun bermula awal 1970-an ISA mula digunakan dalam menangani bantahan pelajar-belia dalam Kes Baling 1974, pimpinan politik seperti Syed Husin Ali dan lain-lainnya, Operasi Lalang di tahun 1987, operasi Al-Arqam di tahun 90-an dan kemudianya puluhan rakyat yang dianggap rapat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di tahun 1998 setelah beliau dipecat dari kerajaan dan parti UMNO. Sehingga kini kira-kira 10,000 rakyat Malaysia pernah ditahan dibawah ISA.

Kemudiannya, latarbelakang suasana politik, ekonomi , kehakiman, dan perjuangan hak asasi selepas pilihanraya 1999 amat menarik untuk dicerap sekaligus merupakan landasan kepada kegelisahan pihak-pihak tertentu dalam membuat aksi-aksi politik seterusnya. Sepanjang tahun 2000 tidak ada tangkapan dan penahanan ISA dilakukan. Namun pertimbangan kearah tersebut dan amaran-amaran telahpun dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Di samping aksi parti-parti politik Gerakan Reformasi juga yang dicetuskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim mulai September 1998, terus mengambil tempat dalam mewarnai pemikiran rakyat. Ia digerakkan samaada dengan siri-siri perhimpunan, ceramah-ceramah umum, laporan polis , kerancakan internet hasil MSC, dan seumpamanya. Dalam banyak keadaan ianya pasti mewujudkan suatu keberanian dan kesedaran baru rakyat akan hak-hak yang dianggap telah dinodai dan penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan samaada oleh pihak ekskutif dan agensi-agensi di bawah kawalannya dan juga kehakiman yang dianggap tidak lagi neutral. Beberapa siri penangkapan menggunakan ISA juga telah berlaku sepanjang 2001 dan 2002.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang ditubuhkan oleh kerajaan melalui Akta Parlimen pada tahun 1999 adalah antara kalangan yang awal mempertikaikan penahanan ISA ini dan meminta mereka dibicarakan di mahkamah dengan bukti-bukti yang kukuh. Disamping itu Setiausahanya, Kamarudin Mohamed Baria, menyatakan bahawa penahanan tanpa bicara adalah perlanggaran hak asasi yang paling asas (NST, 12 April 2001).

Majlis Peguam Malaysia juga melalui ketuanya, Mah Weng Kwai menyifatkan penahanan ISA sebagai melanggar hak asasi manusia dan menghina peraturan undang-undang dan sewajarnya didakwa ke mahkamah sekiranya ada bukti yang kukuh.(UM 13 April 2001) . Manakala Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula mendakwa ia adalah didorong oleh muslihat politik (NST, 13 April 2001).

Manifestasi daripada penentangan pelbagai kalangan terhadap ISA ini juga digambarkan dengan penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Dengan dipengerusikan oleh Allahyarham Dato’ Fadzil Noor, bekas Presiden PAS dan Ketua Pembangkang, 81 pertubuhan politik dan bukan politik menyertai gerakan ini dengan pelbagai programnya. Gerakan ini juga menjangkau misinya apabila beberapa pertubuhan antarabangsa juga turut mendesak kerajaan Malaysia menghapuskan ISA seperti Sekretariat Belia Islam ASEAN (AMSEC), Angkatan Reformasi dan Demokrasi Asia (ARDA) serta Parlimen Eropah.

Dari perspektif Islam ISA dianggap bercanggah dengan prinsip perundangan Islam. Dalam tradisi perundangan Islam menyebutkan bahawa “melepaskan seorang pesalah lebih baik daripada menghukum seorang yang tidak bersalah.” yang merujuk kepada kepentingan keadilan diutamakan sehingga tiada seorangpun merasa dirinya dianiaya. Menurut M. Jusoff Taib dalam kaedah Fiqh Islam,” Kuasa tidak boleh mempergunakan peruntukan dar ul-mafaasid (menghindar daripada kerusakan) demi menarik kemaslahatan (jalbul-masoleh) yang pada zahirnya memang jelas syubhat dengan matlamat parti yang menguasai kerajaan, untuk memperalat peruntukan itu demi menjana kekuatannya dan meneruskan ekploitasi pentadbiran negara dengan melemahkan perjuangan parti pembangkang”.

Dari perspektif undang-undang sivil pula menekankan prinsip ” a man is innocent until proven guilty” yang menekankan bahawa sesaorang itu tidak bersalah kecuali telah dibuktikan kesalahannya. Penangkapan dan penahanan rakyat melalui ISA adalah amat jelas bercanggah dengan prinsip undang-undang ini.

Dalam perspektif pentadbiran awam yang mengambil kira semua elemen tersebut tidakkah undang-undang yang sedia ada tanpa ISA mampu mengawal sebarang ancaman? Atau jika diperlukan undang-undang tambahan tidakkah boleh ia menghormati amalan Hak Asasi Manusia yang diterima pakai di seluruh dunia? Sememangnya sebagaimana diungkapkan oleh Kousoulas dalam mengenalpasti elemen konflik oleh pihak Ekskutif Kerajaan, lazimnya sukar untuk dijamin ketelusannya. Di sinilah letaknya keperluan suatu komitmen budaya dan politik dan perimbangan dalam menghormati Hak Asasi Manusia tanpa menggadaikan keselamatan awam dan negara. Dalam apa-apa keadaan pun kewujudan undang-undang seumpama ISA di mana-mana negara pun tetap akan dilihat sebagai usaha pihak ekskutif kerajaan mengekang dan mencengkam kebebasan politik rakyatnya . Walaupun di pihak ekskutif kerajaan akan terus mendakwa bahawa dengan cengkaman ISAlah kestabilan negara dengan masyarakat berbilang kaum akan dapat dipertahankan.

Sesungguhnya sebagai negara dalam dunia globalisasi kini, Malaysia tidak dapat tidak perlu mempertimbangkan sesuatu yang menurut pandangan ramai serta berdasarkan nilai-nilai keadilan sejagat sewajarnya mempertimbangkan semula kerelavanan ISA. Bagi BA dengan tegas dalam Manifesto Pilihan Raya ke-10,1999 menyatakan penghapusan ISA sebagai salah satu langkah awal yang akan diambil jika diberikan mandat oleh rakyat. Bukanlah pertimbangan politik yang seharusnya mewarnai apa-apa pertimbangan tetapi beberapa prinsip asas kemanusiaan, keadilan serta hak asasi manusia sewajarnya diutamakan dalam perkara ini.

Secara kesimpulan ISA sewajarnya dimansuhkan lantaran ia bercanggah dengan nilai demokrasi dan hak asasi manusia yang asas, berdasarkan semangat idealisme masyarakat madani serta mampu pula mewujudkan hegemoni baru terhadap rakyat Malaysia sendiri.. Undang-undang selain dari ISA sudah mencukupi untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Tambahan pula komunisme telah tumbang dengan runtuhnya tembok Berlin pada tahun 1990. Ancaman komunisme sebagaimana asalnya tujuan ISA di Malaysia adalah tidak relevan lagi untuk dipertahankan. Juga persoalan politik perkauman kini bukan lagi merupakan isu utama lantaran perjuangan hari ini lebih menuju ke arah keadilan sejagat bagi rakyat Malaysia dan umat manusia. Malahan dengan mengekalkannya ia akan hanya menjadi perencat kepada kewujudan masyarakat madani yang demokratik dan matang, masyarakat sivil yang bertamadun serta meletakkan Malaysia sebagai pengamal “keadilan transisi” terhadap rakyatnya sendiri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home