SepangOnline

Friday, June 03, 2005

Jangan sebut Negara Islam - Anwar

Oleh Zulkifli Mohamed
zulkiflimohamed@gmail.com

POKOK SENA: “Hadhari apa ni, negara Islam macam mana ni, yang sebut negara Islam, rasuah banyak-negara Islam, kezaliman banyak - negara Islam, jangan sebut negara Islam. Lebih baik kita tinggalkan nama Islam di Malaysia kalau kita tidak sanggup tinggalkan kezaliman dan rasuah yang melimpah.”



Demikian kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Profesor Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berceramah di hadapan lebih 30 ribu rakyat yang membanjiri Dataran Muasassah Darul Ulum, dalam program Bulan Memperingati Tiga Tahun Pemergian Al-Marhum Dato’ Fadzil Mohd Noor.

“Sekarang ni siapa yang kontrol TV yang besar-besar ni, semuanya toke judi. Ananda Krisnan kontrol Astro. Baru-baru ni pulak, kerajaan BN Hadhari beri pulak lesen TV kepada syarikat perjudian.”

“Yang ni kita nak tanya, macam mana Umno boleh terima duit judi, macam mana Umno dengan Islam Hadhari boleh bagi syarikat perjudian kontrol media TV di negara kita,” ujarnya.

Kalaulah kita dah tahu, tapi masih bersubahat- itu depa kena jawab sendiri. Sebab itu, tidak mungkin akan berlaku perubahan di dalam negara kita ni kalau Umno terus memerintah,” katanya.



Anwar juga mendedahkan ketika beliau membentangkan pindaan akta rasuah sewaktu memangku jawatan Perdana Menteri, beliau mendapat bantahan daripada sebahagian Jemaah Menteri.

Dr. Mahathir, yang sedang bercuti di luar negara, menelefon beliau yang mahu ia dikaji semula kerana ramai yang tidak suka.

“Tak setuju pasal apa, takut apa? Sebab ada dalam peruntukan itu menyatakan jika seseorang ketika menjadi menteri atau penguasa, mengumpul harta yang banyak, walaupun selepas dah pencen, jika ada bukti yang menyatakan harta tersebut diperolehi secara haram, dia boleh disiasat dan didakwa.

“Yang ni yang depa takut sangat tu.

“Kalau tidak makan rasuah nak takut apa, inilah perangai buruk yang ada dalam Umno; jadi nak tunggu apa lagi bubar saja cawangan Umno dan masuk KeADILan atau PAS,” serunya kepada ahli-ahli Umno.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan beberapa pimpinan Umno termasuk bekas Menteri Besar telah datang berjumpa beliau mengadu masalah dalaman Umno.



“Depa minta saya tolong, saya kata nak buat macam mana kerana kalau kereta lama sudah tidak boleh ‘overhaul’ tukar la kereta baru. Lelong kereta lama, timbang kati mai naik kereta keADILan atau PAS,” katanya.

Menurut Anwar, beliau tidak akan menyertai semula Umno, kerana Umno bukanlah parti yang mahu berjuang untuk membela nasib rakyat.

Beliau turut meramalkan pilihan raya umum akan datang akan diadakan pada tahun 2007 kerana beliau akan bebas sepenuhnya pada 2008.

Turut berceramah pada malam itu ialah Presiden Keadilan;YB Datin Seri Dr Wan Azizah, Naib Presiden merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah; YB. Ustaz Azizan Razak dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah; Mahfuz Omar.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home