SepangOnline

Saturday, May 05, 2007

Samy hanya layak lawan Nallakaruppan - Anwar

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) menyelar sikap pengecut Presiden MIC, Dato' Seri S Samy Vellu yang mencabar bekas Timbalan Perdana Menteri itu bertanding menentang Samy di Sungai Siput dalam pilihan raya umum akan datang.

Baginya Presiden MIC itu bukanlah lawan beliau, sebaliknya KeADILan akan meletakkan bekas pemimpin MIC, Dato' Nallakaruppan bagi menentang Samy di Sungai Siput pada pilihan raya akan datang.

ImageMenurut Anwar, cabaran Samy itu tidak berasas sama sekali kerana ia hanya memperbodohkan diri Presiden MIC itu tatkala beliau sebenarnya masih tidak dilepaskan dari sekatan politik yang dikenakan kerajaan BN hingga April 2008.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Markas Tarbiyah PAS Taman Melewar malam tadi sebelum memberikan syarahan sempena malam perisytiharan khas semangat Pilihan Raya Kecil Dun Ijok dekat sini.

Bagi bekas Presiden Abim itu, Samy bukanlah lawannya sebaliknya cabaran yang tidak berasas dari Samy itu hanyalah satu cabaran kosong yang tidak akan membawa apa-apa perubahan dalam lanskap politik negara.

Anwar juga mencabar Samy untuk menyatakan apakah bukti peranan Samy dalam membangunkan masyarakat India di negara ini yang kini dilihat semakin terpinggir dari pembangunan negara.

"Apa yang Samy nak banggakan kalau kita lihat, masyarakat India di negara ini dijadikan sebagai golongan kelas ketiga oleh Umno,BN dan MIC tanpa pembelaan, hidup melarat dan tidak seperti pemimpin mereka yang hidup senang lenang mengaut wang rakyat dengan penyelewengan dan rasuah.Inikah seorang pemimpin yang nak menjafi pembela rakyat," katanya tegas.

Sementara itu terdahulu sebelum ini Samy dalam satu laporan akhbar menyatakan cabarannya ke atas bekas TPM itu bagi bertanding menentangnya di Parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum akan datang.

"Mana-mana kawasan boleh berjumpa (bertanding). Boleh datang ke kawasan saya di Sungai Siput. Kita bukannya tikus yang penakut," katanya selepas mempengerusikan menyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam sidang media yang sama, Samy Vellu memberi amaran tegas akan menutup mana-mana cawangan parti itu yang tidak menjalankan tugas sebagai persediaan menjelang pilihanraya umum akan datang.

Katanya, beliau akan memecat mana-mana ketua cawangan yang didapati tidak menggerakkan jenteranya dan menggantikanya dengan calon yang lebih sesuai demi kepentingan parti dan rakyat.

"Kita juga akan memantau rapi wakil rakyat MIC untuk melihat sama ada mereka ada menjalankan tugas atau tidak," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home