DPPWP Mengutuk Samseng UMNO
Yang Menyerang dan Merompak Petugas PAS
29 APRIL 2007
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengutuk tindakan ganas samseng-samseng UMNO yang telah menyerang dan merompak Petugas-petugas Pilihanraya BA pada pukul 6.15 pagi, 28 April 2007 iaitu pada pagi hari pengundian di Ijok.
DPPWP telah menghubungi mangsa kejadian iaitu seorang pemuda PAS dari Hulu Langat, Saudara Nazar Abd Latif bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.
Menurut beliau, selepas solat subuh beliau dan 5 orang petugas lain telah melihat satu banner yang tertulis “Anwar Agen Yahudi” digantungkan ditepi jalan, tidak jauh dari Bilik Gerakan Pilihanraya BN yang dihuni oleh ahli UMNO Klang.
Pemuda-pemuda ini telah cuba menurunkan banner berkenaan. Namun sebelum sempat banner diturunkan, seramai lebih 40 orang petugas UMNO Klang dari dalam longkang yang berhampiran telah menyerang mereka. Rupa-rupanya Samseng UMNO ini sengaja memasang banner tersebut sebagai perangkap dan bersembunyi di dalam longkang sambil menantikan mangsa mereka.
Mereka sanggup tidak bersolat subuh semata-mata untuk melakukan tindakan keji tersebut. Petugas UMNO yang berusia sekitar 20-40 tahun ini telah menyerang mereka beramai-ramai dengan bersenjatakan kayu dan belantan. Dalam keadaan panik, 3 orang dari petugas PAS ini sempat melarikan diri dengan sebuah kereta menuju ke Balai Polis berhampiran.
Nazar bersama 2 orang lagi petugas iaitu Abu Bakar dan Mat Jan telah dipukul beramai-ramai tanpa belas kasihan ditengah-tengah jalan. Beberapa kenderaan yang lalu cuba berhenti untuk membantu, namun mereka terpaksa memecut laju bila mana samseng UMNO ini membaling kayu panjang ke arah mereka sebagai amaran untuk tidak masuk campur.
Sebuah kereta kancil telah terkena kayu berkenaan dan pemandunya telah membuat laporan di Balai Polis berdekatan yang teletak hanya 50 meter dari tempat kejadian.
Beberapa anggota Polis telah tiba setelah menerima 2 laporan. Apa yang mengecewakan adalah sikap pegawai Polis tersebut kerana tidak berbuat apa-apa. Mereka hanya memerhatikan ahli-ahli UMNO ini memukul petugas PAS berkenaan sehingga mereka lemah dan tidak berdaya untuk bangun.
Kenderaan mangsa juga rosak teruk kerana dipecahkan dan duit sebanyak RM 1,000 bersama telefon bimbit mereka turut dirampas oleh samseng-samseng UMNO ini.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sg. Buloh untuk menerima rawatan oleh 3 orang sahabat mereka. Mat Jan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar. Nazar pula menerima 16 jahitan di kepala, manakala Abu Bakar telah ditahan di Hospital kerana pendarahan di telinga kesan dari hentakan yang kuat. DPPWP dimaklumkan bahawa beliau telah dibenarkan keluar Hospital pada awal pagi 29 April 2007.
Laporan Polis telah dibuat sekali lagi selepas itu di Balai Polis Ijok, namun pegawai Polis di situ enggan menerima laporan berkenaan dan menasihatkan mereka membuat laporan di Balai Polis Batang Berjuntai.
DPPWP amat kesal kerana pihak Polis masih lagi tidak mengambil apa-apa penangkapan atau siasatan terhadap kes ini walaupun telah ada 3 laporan yang dibuat. Sikap Polis yang bersubahat dengan samseng UMNO ini amatlah memalukan dan mencemarkan nama baik institusi PDRM diseluruh negara.
Pada masa ini, samseng-samseng UMNO ini mungkin sedang menerima anugerah dan penghargaan daripada Khairi Jamaludin yang menjadi Ketua Samseng UMNO. DPPWP menyifatkan samseng-samseng ini sebagai manusia bacul yang tidak berakal kerana bertindak liar, malah lebih buruk dari haiwan kerana menyerang 3 orang petugas PAS yang tidak bersenjata secara beramai-ramai.
Mereka hanya berani berdepan dengan ahli PAS bila mereka ramai, tetapi petugas PAS bersedia menghadapi mereka walaupun tidak ramai.
DPPWP mengesa agar seluruh ahli PAS melakukan solat hajat agar Allah menunjukan kuasanya kepada samseng-samseng UMNO yang bacul ini. Hari ini mereka boleh ketawa bangga kerana berjaya membelasah 3 orang petugas PAS, namun esok siapa tahu kerana doa orang yang teraniaya itu amat mudah dimakbulkan Allah.
Jika inilah sikap petugas-petugas BN, pada masa akan datang DPPWP tidak menjamin jika petugas PAS tidak mampu lagi bersabar dan bertindak balas terhadap serangan sedemikian rupa.
Pemuda PAS sentiasa mengambil tindakan diplomasi bagi menyelesaikan sebarang pertikaian namun kami juga bersedia untuk mati syahid bermandi darah jika mereka masih bersikap samseng.
DPPWP mendesak agar pihak Polis membuat tangkapan dan menyiasat kes ini. DPPWP juga mahu agar pemimpin UMNO meminta maaf dan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli mereka yang terlibat dalam kejadian ini.
DPPWP berharap agar rakyat dapat melihat perkara ini dengan mata akal dan membuat pemilihan yang betul dalam Pilihanraya Umum akan datang. Jika hari ini 3 orang pemuda PAS menjadi mangsa mereka, esok siapa pula? Oleh itu, menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk menentukan arah kepimpinan negara agar rakyat dapat hidup aman dan makmur.
Dalam pada itu, DPPWP yakin bahawa peningkatan undi Calon PKR di Ijok walaupun kalah tipis membuktikan bahawa mood rakyat Malaysia kini semakin cenderung menyokong BA. Inilah yang amat ditakuti oleh BN, dan pasti akan menjadi mimpi ngeri mereka setiap malam selepas ini.
Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
0 Comments:
Post a Comment
<< Home