SepangOnline

Tuesday, May 01, 2007

Pilihan Raya Kecil Ijok - Yang Kalah dan Menang
(Ijok By-Election: Real Losers And Winners)
Oleh: Kim Quek -Laman M@RHAENN


(Najib dan Samy Vellu seharusnya dikenakan dakwaan mengikut Seksyen 10 (a) dan (c) dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.)

Di sebalik kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan undi yang lebih tinggi di Pilihan Raya Kecil Ijok, menentang PKR, mereka yang kalah sebenarnya adalah BN dan Malaysia.

Adakah sesiapa yang menang dalam pilihanraya ini? Ada, beliau ialah Anwar Ibrahim dan keseluruhan barisan parti pembangkang.

Kenapa demikian: Gara-gara salahguna kuasa yang melanggar Perlembagaan serta Undang-undang Pilihan Raya, keburukan perangai BN memang terdedah dengan nyata, pilihan raya di Malaysia sudah jatuh tersungkur martabatnya ke tahap yang paling rendah dan Malaysia sudah pun kehilangan martabat demokrasi yang sebenar.

Bagaimana ini boleh berlaku? Ini berlaku melalui sogokan wang rasuah yang dibuat secara rasmi dan secara berahsia, pengundi hantu dan keganasan.

Bagaimana boleh jadi begitu? Gara-gara terlalu mahu menang, tidak kira apakah caranya – BN telah melakukan segala kerja haprak melanggar undang-undang dan sekali gus mendedahkan Malaysia untuk menjadi bahan tertawa seluruh dunia. – Ini sahaja sudah cukup menunjukkan betapa wujud budaya takutkan faktor Anwar Ibrahim dalam politik Malaysia. Dengan mengendalikan pilihan raya yang paling kotor dalam sejarah Malaysia, BN sudahpun mencapai apa yang menyongsang daripada apa yang mahu dicapainya – untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia dan dunia sejagat bahawa Anwar sudah habis dan tidak bermaya lagi, dan mereka beranggapan sudah mampu mencekik kebangkitan Anwar semula. Dalam proses itu Anwar sudah muncul semula sebagai ikon yang tidak ada tolok bandingnnya bagi rakyat marhaen di mana kuasa pengaruhnya masih tidak terjejas, parti-parti pembangkang telah mampu bertaut rapat semula lebih erat berbanding dahulu kala, dan BN juga telah membuktikan bahawa ialah parti samseng yang telah menodai Perlembagaan dan menodai kepercayaan dan amanah rakyat jelata.

Tragedi yang amat malang ialah: kecuali mereka yang mengikuti perkembangan pilihan raya kecil itu melalui internet, kebanyakan rakyat Malaysia telah tidur lena di sepanjang episod yang sungguh dahsyat itu tanpa menyedarinya, dan ini lebih dimudahkan oleh sikap akhbar arus perdana yang menutup rapat segala jenayah yang telah dicetuskan.

Tentu anda bertanya di mana ada buktinya semua itu? Memang banyak buktinya, cukup dijadikan bahan penulisan satu buku baru. Untuk artikel ini saya hanya mampu menulis beberapa perkara yang paling penting semata-mata.

RASUAH

Belum pun berlangsung Hari Penamaan Calon pada 19 April, 2007, BN telah mulakan projek infrastruktur secara ‘bidan terjun’ seiras menyediakan makanan mi segera. Pelbagai pasukan pembinaan telah mula bertugas di sepanjang waktu di merata kawasan pilihan raya untuk menurap jalan, memasang lampu jalan, membina longkang, memasang paip air dan sebagainya mengikut peruntukan wang spontan yang dikatakan berjumlah ‘RM36' juta seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Khir Toyo.

Di samping peruntukan RM36 juta itu, para pemimpin BN yang dikepalai oleh Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak, telah mengumumkan peruntukan dana yang spontan bernilai berjuta-juta hampir setiap hari di sepanjang 9 hari berkempen itu kepada kawasan yang menampung hanya 12,000 pengundi. Peruntukan itu adalah untuk membina sebuah masjid baru di Taman Purnama (RM5 juta) membaikpulih dan meningkatkan taraf banyak masjid, surau, sekolah, termasuk menderma RM 1 juta kepada Sekolah Yuk Chih untuk menyiapkan dewan yang baru, pemulihan kerja-kerja menimbun tanah (RM 2.3juta) dan sebagainya. Begitu juga dengan pemberian hak milik tanah kepada 400 orang yang layak secara spontan.

Untuk terus menambahkan kerja-kerja memancing undi, Menteri Kerjaraya dan Presiden MIC Samy Vellu telah mengumumkan dengan bangganya kepada para pengundi di Tuan Mee pada 26 April bahawa dia telah mendapat persetujuan tuan punya ladang KL Kepong Berhad yang bersetuju dengan cadangan membina rumah kos rendah yang dikemukakan kepada mereka dua hari sebelumnya (mengikut Samy) Projek ini telah diumumkan di hadapan pengurus kanan syarikat Chuan Chong Meng, akan memberikan pilihan kepada pekerja ladang (yang juga pengundi) untuk membeli rumah itu dengan harga istimewa sebanyak RM35,000 seunit berbanding harga senarai sebanyak RM42,000) yang diperuntukkan kepada orang lain. Tidak syak lagi ini merupakan satu pencapaian Samy Vellu dalam usaha merapatkan sektor swasta agar memberikan kemudahan segera kepada para pengundi dengan helah mahukan para pengundi itu akan kekal setia kepada pihak BN.

Mungkin juga antara yang paling hebat untuk mencari undi dahulu, ialah ketika dia telah dirakamkan secara terus oleh rakaman video dalam skandal tukar tanah untuk dapatkan undi, yang kini disebarkan meluas di Internet. Hanya beberapa jam sebelum tamatnya kempen politik, pada tengah malam 27 April, Najib telah mengumumkan kepada rakyat di Tuan Mee yang riang ria bahawa Najib sendiri memberi jaminan bahawasanya tanah yang diminta oleh masyarakat India akan dipercepatkan keizinannya oleh kerajaan BN. Sebagai balasan, para hadirin telah berjanji bahawa BN akan menerima sokongan yang tidak berbelah bagi kepada BN. Sebelum itu para penduduk ladang itu telah menerima 200 unit mesin jahit sebagai hadiah daripada MIC.

Gara-gara pembelian undi yang amat ketara oleh bahan bukti yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, Najib dan juga Samy seharusnya dikenakan dakwaan di bawah Seksyen 10 (a) dan (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan dihukum mengikut Seksyen 11 Akta yang sama, yang menganjurkan bahawa pesalah yang terhukum dilarang bertanding selama lima tahun, selain menerima hukuman penjara dua tahun ataupun/dan denda RM5,000.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Peguam Negara seharusnya tidak membuang masa mendakwa pesalah begini, dan kalau gagal PKR seharusnya mengambil tindakan mahkamah. Sementara itu PKR seharusnya mendapatkan injunksi mahkamah menggantung keputusan pilihan raya itu, menunggukan perbicaraan untuk mengsahkan pilihan raya itu tidak sah.

SALAHGUNA KUASA

Sejak bermulanya kempen pilihan raya kecil itu, keseluruhan kawasan Ijok telah dikawal ketat oleh polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) lengkap dengan kelengkapan rusuhan memberikan andaian bahawa Ijok sedang dilanda musibah perang. Beberapa hari sebelum hari mengundi, pihak polis dengan dibantu FRU telah meronda kawasan ceramah pihak pembangkang dengan alasan bahawa pihak pembangkang tidak memperolehi permit polis untuk berceramah sedangkan tidak perlu ada permit pun semasa kempen pilihan raya itu. Tindakan polis yang kurang ajar dan tidak semena-mena itu adalah nyata disebabkan desakan tetuan politik mereka, yang sudah tentu merasa panik dengan gelombang arus sokongan kepada PKR, gara-gara ketibaan bertali arus para pemimpin DAP dan PAS untuk mengukuhkan sokongan terhadap kempen PKR.

Disebabkan kekecohan yang sengaja dicetuskan oleh polis, banyak majlis ceramah pembangkang telah dibatal ataupun tersekat. Ini adalah satu pelanggaran disiplin polis, kerana tugas polis dalam pilihan raya ialah menentukan keamanan di kalangan parti yang bertanding dan bukan memihak kepada parti tertentu.

Salahguna kuasa oleh BN akan jentera kerajaan telah melarat kepada pelbagai kementerian seperti Pelancongan, Penerangan dan Pendidikan Tinggi, di mana para pegawai serta sumbernya telah digembleng tanpa segan silu dan malu untuk menyokong kempen BN.

Salahguna yang paling teruk berlaku di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah bertugas seolah-olah ia adalah sebahagian sayap UMNO dan bukannya sebagai sebuah badan bebas mengikut Perlembagaan untuk menentukan pilihan raya yang bebas dan saksama. SPR sepatutnya melakukan pemeriksaan terhadap salahguna kuasa yang menghancurkan kesahihan pilihan raya itu. Sebaliknya Pengerusi SPR Rashid Rahman melakukan kerja-kerja haram menyalahgunakan kuasa dengan mengumumkan bahawa segala peruntukan segera yang dibuat atas nama pembangunan walaupun berupa memancing undi semasa kempen pilihan raya adalah amalan yang boleh diterima yang tidak boleh dikira sebagai membeli undi. Dengan demikian, apakah menghairankan kalau BN menjadi seronok sakan membazirkan wang rakyat dan menaburnya untuk membeli undi?

Ahli Parlimen daripada Pembangkang seharusnya bertindak menentukan Pengerusi SPR terhukum kerana menodai peranannya seperti yang termeterai dalam Perlembagaan negara. Barisan Nasional seharusnya disekat untuk meneruskan kerja-kerja memperlekeh sistem pilihan raya melalui salahguna kuasa yang disengajakan.

PENGUNDI HANTU

Melalui pemeriksaan senarai daftar pengundi dengan merujuk kepada pemeriksaan isi rumah, PKR telah mendapati banyak kes yang tidak senonoh dan kesilapan yang nyata yang dilonggokkan seperti ini:

• Pengundi Yang Tidak wujud: Alamat pengundi Melayu digunakan oleh orang Cina yang telah menetap di sana sejak berabad, dan begitulah sebaliknya. Di satu perkampungan sahaja terdapat 35 kes semacam ini.

• Pengundi yang tidak dapat dikesan pada alamat yang didaftarkan, di mana penghuni yang sedia ada tidak tahu menahu akan maklumat dalam daftar pengundi.

• Senarai pengundi mengandungi pengundi yang tidak munasabah: Terdapat 31 pengundi yang berusia melebihi 100 tahun, dan terdapat 200 pengundi melebihi usia 90 tahun.

• Ramai pengundi yang sudah lama mati.


Pengundi yang disenaraikan di atas ternyata merupakan alat untuk pengundi hantu membuang undi mereka. Apabila diambil kira pengundi yang menjual undi mereka untuk mendapatkan wang (contoh kerja busuk ini tersebar luas di Internet) PKR menganggarkan sebelum hari mengundi terdapat antara 1,700 hingga 1,800 pengundi hantu.

Malahan pada hari mengundi, 2 buah bas yang muat dengan 80 kaum wanita daripada Perlis keluar dari pusat mengundi Bukit Badong telah disekat oleh PKR pada jam 4 petang selepas menerima ‘tip’ betapa ada beberapa orang yang menaiki bas itu memiliki dua Kad Pengenalan. Ini mencetuskan hingar-bingar daripada dua kem parti yang bertanding dan bas itu telah dibawa memasuki Balai Polis Ijok. Wanita daripada Perlis itu telah dibebaskan pada 8.15 malam sedangkan pemimpin PKR yang membuat aduan polis telah ditahan dan dibebaskan hanya pada 9.30 malam setelah dibenarkan jaminan polis, dan pemimpin UMNO yang membuat laporan polis yang sama telah dibiarkan bergerak bebas sahaja.

Mengikut pemimpin PKR, Ezam Mohd Nor yang berada di Balai Polis, selain disekat bercakap kepada wanita Perlis itu, PKR telah sengaja tidak diberitahu apakah sebenarnya berlaku semasa polis menyiasat wanita daripada Perlis itu. PKR tidakpun diberitahu bila wanita tersebut dibiarkan lepas daripada Balai Polis. Kalau tidak ada yang perlu disorok, kenapa muncul kerahsiaan dan kenapa pula ada usaha yang disengaja untuk memisahkan para pengadu, menahan mereka dalam serba kegelapan dan menafikan mereka daripada sebarang berita?

Lihatkan sahaja bagaimana wujud dwistandard dalam melayan pemimpin PKR dan UMNO, sedangkan pemimpin PKR ditahan seolah-olah mereka adalah penjenayah dan pemimpin UMNO dibiarkan bergerak bebas. Memang lumrah di negara ini orang bersalah dibiarkan bebas sedangkan pengadu dilayan seperti penjenayah. Saya rasa inilah cara pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Najib dan pemimpin BN yang lain telah menafikan wujudnya sebarang pengundi hantu, tetapi perkara yang nyata adalah sebaliknya. Di Balai Polis Bukit Badong, di mana dua bas yang disyaki membawa pengundi hantu, kadar pengundian adalah 90.1 peratus, sedangkan bagi keseluruhan kawasan pilihan raya itu kadarnya ialah 82.1 peratus sahaja.

KEGANASAN

Satu perkara yang menonjol pada hari mengundi ini yang membezakannya dengan pilihan raya di tempat lain ialah betapa mudahnya tercetus keganasan untuk mensabotaj pihak pembangkang, dan yang menjadi dalang dalam hal ini ialah Pemuda UMNO. Pergerakan Pemuda UMNO telah menggunakan keganasan untuk menyekat para petugas PKR memasuki kawasan yang ditanda sebagai kawasan BN, dan para pemimpn PKR pun telah diserang. Calon PKR Khalid Ibrahim mujur terlepas daripada serangan yang dibuat dua kali oleh Pemuda UMNO dan seorang jurugambar dalam rombongan beliau telah menerima kecederaan.

Dalam satu peristiwa pada 27 April, di mana 50 orang ahli Pemuda UMNO telah mengepung dan menyekat 15 orang petugas PKR di laluan masuk Taman Bestari di Rantau Panjang, risalah kempen PKR telah dirampas dan dikoyak-koyak sedangkan pemimpin PKR Xavier Jayakumar telah ditendang.

PERPADUAN PEMBANGKANG

Ada satu bentuk durian runtuh yang tidak disangka-sangka oleh pihak pembangkang ialah sepakatan yang terjalin sepanjang kempen PKR itu. Kerana terkejut dan bosan dengan taktik ganas BN dalam menyogok, menyalahgunakan wang rakyat, salahguna kuasa dan keganasan yang terlampau, DAP dan PAS telah bingkas bersatu dengan PKR untuk menampan serangan BN yang semakin memuncak. Usaha gigih yang dilaksanakan oleh Presiden PAS serta Timbalan Presidennya, dan oleh pucuk kepimpinan DAP termasuk pemimpin pembangkang Lim Kit Siang di tahap terakhir kempen itu menunjukkan adanya usaha bekerjasama di kalangan pihak pembangkang dalam pilihan raya yang akan datang.

PKR seharusnya berbangga dan merasa selesa bahawa walaupun wujudnya keadaan yang tidak menyenangkan, ia telah berjaya merangkul separuh undi Cina dan Melayu. Ini adalah satu pencapaian yang luarbiasa, kerana Ijok mempunyai pengundi yang majmuk dan inilah ciri di mana secara tradisinya BN selalu perkasa. Kejayaan merangkul separuh pengundi Cina dalam satu kawasan luar bandar adalah satu pencapaian untuk PKR, kerana secara tradisinya pengundi Cina adalah penyokong kuat BN. Dengan mengekalkan separuh sokongan pengundi Melayu walaupun ada laungan untuk menggantikan DEB dengan apa yang dicadangkan oleh Anwar sebagai Agenda Ekonomi Malaysia, ia sudah tentu memberi satu isyarat yang menyegarkan bahawa Anwar sudah mula melangkah ke hadapan dalam jihad beliau membawa reformasi di kalangan orang-orang Melayu.

Kim Quek - 01.05.2007

0 Comments:

Post a Comment

<< Home