SepangOnline

Friday, May 04, 2007

Jangan paksa saya dedah skandal peribadi anda - kata dua Anwar kepada Najib

Mohd Rashidi Hassan

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, agar jangan memaksa beliau menyentuh soal peribadi atau skandal membabitkan TPM kerana ia akan lebih menyulitkan keadaan.

Anwar berkata, sejak beberapa bulan lepas dan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Ijok, beliau tidak pernah menyentuh perkara yang boleh disifatkan sebagai serangan peribadi.

"Saya sudah jelaskan, saya tidak bangkit soal peribadi, jika dibangkit soal peribadi parah Dato' Seri Najib hendak jawab. Itu yang saya beri mesej kepada dia, jangan ulang bahawa saya menyerang peribadinya," tegas Anwar dalam wawancara eksklusifnya bersama Harakah di pejabat beliau di Petaling Jaya hari ini.

ImageAnwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) menegaskan, apa yang dibangkitkan sejak beberapa bulan lepas adalah desakannya supaya Najib menjelaskan isu berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibu dan isu komisyen pembelian kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi berjumlah RM920 juta.

"Jawablah isu ini satu persatu. Umpamanya dalam kes pembunuhan tidak dijawab, dalam kes komisyen juga tidak dijawab.

"Beliau menjawab 'saya tidak terlibat, Allah menjadi saksi', ini bukan jawapan yang bertanggungjawab," tegasnya.

Katanya, isu penglibatan Najib dalam soal rasuah dan komisyen terlalu ketara sudah dibangkitkan sejak beberapa bulan yang lalu, tetapi tidak dijawab.

"Kemenangan kita ialah kerana di Ijok, dia terpaksa menjawab, tetapi jawapan itu cukup lemah dan leceh.

"Sekurang-kurangnya isu Najib yang dibangkitkan di Ijok, akan kekal diminda rakyat di seluruh negara bagaimana sebenarnya lagak dan keperibadian bakal PM," tegasnya.

Anwar turut menolak dakwaan bahawa beliau hanya menumpukan 'serangan' terhadap TPM sebaliknya tidak membangkitkan isu berkaitan dengan kelemahan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, sejak beberapa bulan ini, beliau turut membangkitkan mengenai kelemahan pentadbiran, kegagalan memacu pertumbuhan ekonomi meyakinkan dan kelembapan pimpinan PM Abdullah sehingga rasuah menular dan soal pembangunan yang tidak seimbang dan sebagainya.

"Cuma tentunya, sensasi dan minat menjurus kepada Najib, tekanan itu menyebabkan Najib berada di tahap yang paling defensif sehingga beliau mengarahkan pihak polis bertindak lebih keras (khusus di Ijok)," ujarnya.

Namun kata Anwar, beliau menjangkakan bahawa jentera BN termasuk media massa dan elektronik akan menyerang balas beliau lantaran kesungguhannya berkempen untuk calon KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar berkata, serangan terhadap beliau oleh media elektronik khususnya RTM dan TV3 adalah merupakan kesan positif kempen yang dijalankan di Ijok.

"Aksi yang sedikit (dakwaan menari di pentas) digembar-gemburkan, saya akan jelaskan di Taman Melewar malam ini (4 Mei)," ujarnya.

Mengulas mengenai hasil keputusan pilihan raya Ijok beliau puas hati kerana KeADILan dapat menembusi kawasan pengundi Cina jauh melebihi angka yang disasarkan.

Menurut beliau, Tan Sri Khalid memperolehi 60 peratus undi kaum Cina dan berjaya mengekalkan 50 peratus undi di kalangan kaum Melayu, tanpa menafikan kegagalan untuk menembusi kawasan estet.

"Undi Melayu dipertahankan tanpa mengira penipuan, lebih RM100 juta dibelanja dengan rasuah, dengan penglibatan Dato' Seri Najib, dengan keganasan polis, saya fikir mempertahankan 50 peratus undi Melayu sudah cukup baik bagi pilihan raya kecil," katanya.

Kata Anwar, beliau gembira kerana melalui kempen pilihan raya Dun Ijok, seluruh jentera PAS dan DAP dapat digembleng bersama untuk menentang BN.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home