SepangOnline

Saturday, April 14, 2007

Pertambahan kerusi di Kelantan, PAS sedia timbang permintaan keADILan

Salmiyah Harun (Harakahdaily)

Kerajaan PAS Kelantan bersedia mempertimbangkan permintaan Parti Keadilan Rakyat (keADILan) untuk menambah enam kerusi parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancang Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa bagaimanapun berkata, jika tiga kerusi DUN dan tiga parlimen yang sedia ada itu mempunyai potensi untuk menang mereka akan mempertimbangkan permintaan parti itu.

"Konsep kita adalah kebolehan untuk menang, rakan kita ini kita hargai sumbangan mereka dalam pilihan raya terhadap kita, kita bersedia untuk mempertimbangkan, tinggal lagi mana-mana kerusi yang telah diperuntukan selama ini dia kena buktikan dia boleh menang," jelas Husam dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan hari ini.

Tambahnya, apabila keADILan mampu membuktikan kerusi yang dipegangnya selama ini secara tidak langsung kerajaan PAS Kelantan boleh bersedia untuk menambahkan bilangan kerusi kepada KeADILan pada masa-masa akan datang.

Semasa ditanya jika KeADILan tidak boleh menang dengan kerusi yang sedia ada, Husam berkata PAS akan melihat cadangan-cadangan parti itu secara terperinci jika parti itu berpeluang menang PAS akan mempertimbangkan.

"Kalau nampak gaya macam boleh menang di mana-mana kerusi yang dituntutnya itu, kita boleh timbang," tambahnya.

Dalam pilihan raya umum 2004 lalu, keADILan hanya diberi tiga kawasan iaitu tiga kerusi Parlimen – Kota Bharu, Ketereh dan Tanah Merah dan dua kerusi DUN iaitu Neggiri dan Paloh. Bagaimanapun kelima-lima kerusi itu tewas.

Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya keADILan Kelantan, Abdul Hamid berkata, daripada 21 kerusi yang dipohon masing-masing melibatkan enam kerusi Parlimen dan 15 DUN yang mampu dimenanginya.

Katanya, ia adalah keputusan mesyuarat Badan Perhubungan keADILan negeri semalam yang dipengerusikan oleh Pengerusi PKR negeri, Nik Mahmood Nik Hassan atas alasan sokongan rakyat terhadap keADILan di Kelantan kian meningkat.

‘‘Pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim juga salah satu faktor. Penambahan kerusi itu dipohon kerana keADILan mempunyai potensi besar untuk menang di kawasan yang dikenal pasti itu,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home