Ahmad Tajdid
Harakahdaily


Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim sekali lagi membuat cabaran terbuka kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak supaya membawa beliau ke mahkamah sekiranya dakwaan pembabitan Najib yang juga Menteri Pertahanan dalam skandal komisyen pembelian senjata bernilai RM920 juta tidak benar dan berunsur fitnah.

Berucap di hadapan ribuan hadirin yang membanjiri Dewan Fadzil Noor, Kompleks PAS Kedah, Batu 9, dekat sini, malam tadi, Anwar yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang tidak mempunyai maruah kerana hanya bersikap mendiamkan diri walaupun dakwaan pembabitannya berhubung skandal itu telah diketahui dunia antarabangsa.

“Saya telah membuat kenyataan berhubung isu ini di Bloomberg, BBC, Aljazeera dan CNN. Wawancara saya dengan Aljazeera English telah ditonton oleh lebih 60 juta orang di seluruh dunia, tetapi Najib tidak mempunyai harga diri untuk menafikannya,” tegas beliau.

Menurut Anwar, Najib dengan kuasa yang dimilikinya telah melantik syarikat milik Abdul Razak Baginda, sebagai agen menguruskan pembelian kapal selam daripada Perancis dengan komisyen berjumlah RM520 juta.

Abdul Razak Baginda yang diketahui umum sebagai ketua kumpulan pemikir Najib sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah tinggi kerana didakwa bersubahat dalam kes pembunuhan model berbangsa Mongolia, Altantuya Sharibuu.

“Orang kampung nak dapat RM50 sehari pun susah, tapi pemimpin dapat RM520 juta dengan jalan mudah. Itu pun rakyat tak buat apa-apa,” katanya kesal.

Anwar turut mendedahkan pembabitan Najib dalam pelantikan syarikat bekas Menteri Penerangan, Dato’ Seri Adib Adam sebagai broker pembelian jet pejuang Sukhoi Russia yang melibatkan pembayaran komisyen berjumlah RM400 juta.

“Adakah kita boleh jamin keselamatan negara dengan pembelian senjata yang membabitkan amalan rasuah?” soal beliau.

Mantan Perdana Menteri itu juga di akhir ceramahnya menyeru rakyat supaya bangkit melakukan perubahan dalam pilihan raya akan datang.

Menurutnya, jika pemimpin yang mengamalkan rasuah dan penyelewengan terus berkuasa, kesalahan perlu diletakkan kepada rakyat kerana enggan melakukan perubahan.