SepangOnline

Friday, April 06, 2007

Muslihat di sebalik Zulkipli tidak disambung kontrak - GERAK

Oleh Faisal Mustaffa

PETALING JAYA 3 April – Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) menggesa kerajaan bersikap proaktif dalam menyelesaikan kemelut yang melanda Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini.

GERAK sebagai badan yang bertanggungjawab sehingga kerajaan tidak menyambung kontrak Dato' Seri Zulkipli Mat Nor sebagai Ketua Pengarah BPR setelah khidmatnya berakhir 31 Mac lalu.

Tindakan tersebut atas pendedahan yang dibuat oleh GERAK yang mendapat maklumat bahawa Bekas Pegawai BPR, Ramli Manan menimbulkan banyak persoalan bukan sahaja penglibatan Zulkifli dalam gejala rasuah tetapi kredibiliti institusi BPR itu sendiri.

Menurut Pengarah GERAK, Mohamad Ezam M.Nor, beliau mempunyai alasan kukuh untuk mencurigai tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmada Badawi untuk tidak menyambung khidmat Zulkipli di mana ia dilakukan untuk menutup isu besar yang dikaitkan dengan BPR, Zulkipli dan Abdullah sendiri.

Justeru, satu jalan penyelesaian ialah untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas bagi membaikpulih institusi BPR.

"Sekiranya kerajaan benar-benar serius dan jujur dalam usaha membanteras rasuah, dalam suasana kredibiliti BPR di tahap paling rendah hari ini, sebuah Suruhanjaya Bebas untuk mencari jalan mengembalikan kewibawaannya mesti segara dibentuk," ujarnya dalam sidang media yang dibuat di pejabatnya di sini.

Menurutnya, Suruhanjaya Membaikpulih PDRM (Polis diRaja Malaysia) pernah dibentuk di saat kredibiliti paling rendah baru-baru ini dan tidak ada masalah pendekatan yang sama dibuat terhadap BPR.

"Apakah kerajaan sendiri tidak mampu membuka BPR disiasat oleh sebuah suruhanjaya bebas keana ianya akan membuka pekung rasuah di kalangan pemimpin mereka sendiri?" tambah Ezam lagi.

Menurut Ezam, sungguhpun kerajaan tidak mematuhi semua cadangan yang dibawa oleh Suruhanjaya Polis menerusi laporan mereka, laporan itu sendiri sudah cukup kuat untuk memberi maklumat kepada masyarakat umum mengenai kepincangan dalam institusi polis.

Suruhanjaya yang menyiasat BPR itu juga diminta diwakili oleh jawatankuasa yang benar-benar berwibawa dan bebas.

Bercakap mengenai pengganti Zulkipli sebagai Ketua Pengarah BPR, Ezam berkata seseorang yang memimpin BPR mestilah di kalangan pihak yang benar-benar mengetahui undang-undang.

"Sebaik-baiknya biarlah bekas Hakim yang mempunyai rekod baik," jelasnya.

Beliau tidak menafikan ada di kalangan hakim-hakim di Malaysia juga terlibat dalam kegiatan rasuah.

Beliau juga melahirkan kebimbangan jika isu Zulkifli dibiarkan diam begitu sahaja, segala siasatan yang dilakukan tidak akan didedah kepada umum termasuk keputusan siasatan.

"Kita bimbang, siasatan hanya dijalankan oleh BPR dan polis yang dalam masa yang sama juga diragui kredibilitinya termasuk kerana kes-kes yang dikaitkan dengan dua badan ini.

Dalam polis, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato'Johari Baharom dikaitkan dengan rasuah, sementara BPR pula sendiri dicemari dengan kes Zulkipli ini," katanya lagi.

Ezam juga memberitahu bahawa GERAK akan melancarkan kempen seluruh Negara bermula 15 April bagi mendesak kerajaan menubuhkan segera sebuah suruhanjaya.

Dalam risalah itu juga akan menerangkan mengenai kes-kes yang dipendam oleh BPR sehingga sekarang termasuk kes siasatan ke atas bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaakob berhubung rasuahnya; kes Dato' Osu Sukam; kes Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang didiamkan setelah mereka diarah meletak jawatan.

Risalah itu juga mendesak kenyataan Rais Yatim (Dato Seri) yang memberitahu bahawa terdapat 18 kes rasuah berprofil tinggi.

"Di manakah kes-kes ini?" soal Ezam.

Selain itu, kes lain termasuk kes yang membabitkan pemimpin negara seperti kes Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah RM5.5 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat (OD).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home