SepangOnline

Tuesday, April 10, 2007

Anwar: Jangan nafikan hak bukan Islam

Soon Li Tsin, (Malaysiakini)

Apr 7, 07 - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan kerajaan kerana berlakunya ketidakadilan yang berpunca daripada Artikel 12(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap dalam satu majlis makan malam parti itu yang bertema 'Masa untuk perubahan', Anwar berkata, peruntukan itu adalah bertujuan untuk melindungi orang Islam, dan bukannya untuk menafikan hak orang bukan Islam.

Isunya, tegas beliau, bukannya orang bukan Islam menentang peruntukan yang melindungi dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan atau mahu meminda Artikel 121(1A).
Isunya, tegas Anwar, adalah kebimbangan orang bukan Islam apabila mereka melihat keputusan yang bertujuan untuk melindungi orang Islam, telah digunakan untuk mengganggu dan menafikan hak orang bukan Islam.

Tegasnya, keadaan ini berlaku akibat daripada sebuah kerajaan dan kepimpinan yang lemah.

Artikel 121(1A) menyatakan mahkamah sivil tidak mempunyai bidangkuasa terhadap sebarang perkara yang terletak di bawah bidangkuasa mahkamah Syariah.

Kes Subashini

Anwar membuat ulasan tersebut ekoran kes yang membabitkan seorang surirumah yang beragama Hindu, selepas suaminya memeluk Islam.

Pada 13 Mac lalu, mahkamah rayuan telah menolak permohonan R Subashini untuk melarang suaminya, Muhammad Shafi, daripada membawa prosiding ke mahkamah Syariah.

Beliau telah diberitahu oleh Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hassan Lah - dalam keputusan majoriti 2-1 - supaya membawa kes itu ke mahkamah syariah.

Sementara itu, dalam ucapannya di majlis makan malam itu, Anwar sekali lagi mengkritik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pembayaran komisyen AS$120 juta menerusi urusniaga pembelian kapal selam dari Perancis dan komisyen AS$100 juta daripada pembelian jet pejuang Sukhoi dari Russia.

Sebelum ini, ketika diajukan soalan mengenai perkara itu, Najib berkata, beliau tidak perlu memberi reaksi terhadap dakwaan Anwar.

Sebaliknya, kata Anwar, Najib perlu menjelaskan perkara itu kepada rakyat.

Malah, katanya, beliau bersedia berdepan dengan Najib pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Cabaran Anwar itu disambut tepukan gemuruh kira-kira 800 tetamu yang menghadiri majlis makan malam itu.

Semak semula DEB

Beliau juga turut menyentuh tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menurutnya perlu disemak semula.

'Ia sudah 30 tahun (dilaksanakan) . Review lah," katanya sambil menambah bahawa kerajaan perlu mengkaji apakah masalahnya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga turut mengkritik dasar perpaduan nasional yang diamalkan oleh parti pemerintah.

"Tanya orang Melayu di kampung-kampung atau di Machap, mereka dilayan seperti warganegara kelas dua atau tiga.

"Warganegara kelas satu Melayu adalah anak-anak dan keluarga pemimpin Umno dengan sokongan MIC, MCA dan Gerakan'.

"Saya mahu mencabar menteri-menteri dari Umno kerana tidak guna mencabar MCA, MIC dan Gerakan kerana semua mereka hanya mengikut di belakang Umno," katanya dalam nada sinis.

Majlis makan malam itu dihadiri oleh aktivis badan-badan bukan kerajaan (NGO), ahli serta penyokong PKR

0 Comments:

Post a Comment

<< Home