SepangOnline

Tuesday, April 10, 2007

PKR sah bertanding dalam p'raya kecil Ijok

Malaysiakini. com
Apr 9, 07 - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan akan meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil Ijok di Selangor.

Ketika dihubungi hari ini, Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, parti itu akan mengkaji suasana di Ijok dengan teliti sebelum menama calonnya.

Setakat ini, lima nama telah dikemukakan untuk dipilih bertanding di Ijok tetapi menurut beliau, belum ada keputusan muktamad dibuat.

Difahamkan, antara mereka yang dicadangkan bertanding dalam pilihanraya kecil Ijok, termasuk Khalid sendiri. Satu lagi nama yang dicadangkan ialah ahli perniagaan, Datuk S Nalakaruppan.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Khalid berkata, PKR memutuskan untuk menggerakkan rakyat menuntut perubahan dalam sistem pemilihan melalui jalan pilihanraya walaupun terpaksa berhadapan dengan lapangan pertandingan yang tidak sama rata.

Rakyat Malaysia, katanya, tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali menghadapi segala kesukaran itu dengan tabah.

Katanya, suara rakyat yang lantang mengkritik Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan tuntutan agar pengendalian pilihanraya di Malaysia direformasi untuk memastikan ia benar-benar adil, ternyata tidak dipedulikan oleh pemerintah dan SPR.

Malah, katanya, tindakan Pengerusi SPR mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan suruhanjaya itu supaya membawa badan itu ke mahkamah, adalah cerminan sikap sebenar SPR yang tidak mempedulikan kehendak dan tuntutan rakyat.

Reformasi pilihanraya

"Cabaran tersebut hanya semata-mata retorik kosong kerana ruang dan peruntukan untuk mencabar SPR di mahkamah telah disekat dan disempitkan dengan pelbagai pindaan undang-undang.

"Mengambilkira keadaan yang sebegini, PKR beranggapan untuk memastikan reformasi pilihanraya berlaku dan pilihanraya dikendalikan dengan benar-benar adil dan bersih bagi menzahirkan suara dan kehendak rakyat, maka perubahan mesti dilakukan di peringkat pemerintahan negara dan negeri itu sendiri," katanya.

Oleh itu, katanya, PKR akan meletakkan calon untuk bertanding di Ijok kerana parti itu percaya pilihanraya kecil tersebut akan dimanfaatkan oleh rakyat untuk menzahirkan kehendak mereka terhadap kepemimpinan negeri Selangor yang bersih yang ditawarkan oleh Barisan Rakyat dan menolak cara hidup korup pemimpin Barisan Nasional.

"Para pengundi di Ijok sendiri telah menghubungi PKR Bahagian Kuala Selangor dan negeri Selangor untuk mendesak supaya meletakkan calon pada pilihanraya kecil tersebut.

"Parti-parti rakan, PAS dan DAP, juga mempunyai pandangan yang sama dan memberikan komitmen untuk memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada calon PKR," katanya.

Selain itu, katanya, sebahagian besar desakan rakyat di peringkat akar umbi itu telah dikemukakan dalam bentuk rayuan agar PKR meletakkan calon yang cukup berwibawa dari segi kebolehan dan pengalamannya.

"Watak yang demikian, menurut rayuan itu, amat dikehendaki rakyat sebagai suatu daya pengimbang dan pengkritik terhadap pentadbiran Menteri Besar Selangor sekarang yang bukan sahaja tidak cekap tetapi juga telah memilih untuk meneruskan sifat-sifat korupsi dan kroni pentadbiran negeri sebelum ini," katanya.

Menurutnya, PKR percaya sokongan mantap rakyat akan dapat mengatasi sebarang penipuan dalam pilihanraya yang akan diadakan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home