PERUTUSAN PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT, DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL SEMPENA MEMPERINGATI HARI ULANG TAHUN PARTI KEADILAN NASIONAL
4 April 2007
Bismillahirahmanira him
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Setiap kali tanggal 4 April datang, saya percaya ingatan kita, khususnya penggerak dan aktivis parti, akan segera mengimbas kenangan 8 tahun lalu.
Di saat itu kebangkitan suara rakyat sedang melata, semua pihak tidak kira kedudukan, umur, kaum, gender, dari kota dan desa, beramai-ramai menuntut perubahan dan reformasi kerana tidak lagi tahan menyaksikan ketidakadilan yang berlaku. Kes fitnah dan penghinaan ke atas saudara Anwar Ibrahim adalah sebagai lambang kebejatan ketika itu, di samping tindakan ganas pemerintahan dalam menghadapi kebangkitan rakyat. Lalu, demi menyambut ledakan dan lonjakkan kembali aspirasi keadilan, demokrasi dan daulat hukum (rule of law), tertubuhlah parti Keadilan Nasional (keADILan) yang menyediakan lagi satu wadah perjuangan buat rakyat dan menyambung semangat yang dilontarkan oleh pejuang-pejuang terdahulu.
Namun perlu dingatkan disini bahawa aspirasi perjuangan ini bukan baru, dan tidak hanya berputik pada tahun 1998-1999, ianya telah lama mengakar dan merembes dalam sanubari sejarah bangsa Malaysia. Ia dimulakan dengan perjuangan menuntut kemerdekaan sebenar yang digagaskan sekitar tahun 1930-an oleh pejuang-pejuang nasionalisme yang menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM), diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), lalu membibit idea kemerdekaan. Ianya diteruskan lagi pada dekad 60-an dan 70-an oleh pejuang bahasa dan kesaksamaan ekonomi, mahasiswa dan pekerja. Selepas tertidur sebentar akibat leka dengan agenda pembangunan dan teknologi rakyat kembali sedar pada 1998. keADILan menyambung tradisi perjuangan bersejarah yang lalu itu.
Atas sebab itu pimpinan parti telah memutuskan agar ahli-ahli parti di setiap peringkat mengadakan program mengingati dan menyambut tiga detik penting yang telah mewariskan kepada kita suatu wadah perjuangan yang kita sayangi dan hargai - Parti keadilan Rakyat.
Tiga detik itu ialah 4 April – sempena kelahiran Parti Keadilan Nasional, 3 Ogos – sempena pelancaran Parti Keadilan Rakyat, dan 11 November – sempena kewujudan hari Parti Rakyat Malaysia.
Detik detik tersebut merupakan ikatan pada talian dalam jalinan sejarah perjuangan rakyat menuntut keadilan, kesaksamaan dan kemerdekaan. Gerakan reformasi yang diSINARkan oleh saudara Anwar pada penghujung 1998, telah mengubah lanskap politik Malaysia . Bangsa Malaysia kembali dikejutkan dari lamunan politik berasaskan kaum yang sempit dan kegahirahan mengejar kemajuan kebendaan hingga melupakan aspek kemuliaan insan.
Parti Keadilan Nasional yang tertubuh kira-kira 7 bulan selepas itu telah menyambung aspirasi yang digerakkan oleh Anwar, di saat beliau merengkok dalam penjara. Jika perjuangan sebelum ini menuntut kemerdekaan sebenar, dekad ini adalah masanya pula kita menuntut keadilan sebenar.
Pengorbanan adalah lumrah dalam perjuangan. Dalam 8 tahun berlalu kami sedar ramai pihak telah berkorban; wang, masa, kehidupan dan tenaga yang cukup banyak demi memastikan kelestarian perjuangan dapat diteruskan dan Insya Allah diwariskan kepada generasi depan.
Kita juga telah mengerti ada sebahagian dari sahabat-sahabat perjuangan yang tidak BERTAHAN dengan dugaaan, cabaran dan fitnah yang dihunjam kepada kita. Lalu mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan ARUS PERJUANGAN PARTI.
Namun saya bangga kerana ketika ini Parti Keadilan Rakyat dan kita sebagai penggeraknya masih lagi mampu untuk terus berdiri, untuk terus berjuang, bagi menegakkan reformasi dan perubahan ke arah yang lebih MANTAP.
Ini kerana kita telah jelas bahawa parti ini tidak bergantung kepada individu atau tokoh sahaja. Sebaliknya kita tetapkan landasan perjuangan yang kita gariskan dalam 17 perkara, yang menjadi asas perjuangan seperti tercatat dalam Perlembagaan Parti. Sebelum itu, Perisytiharan Permatang Pauh, 1998 merupakan sebagai salah satu landasan perjuangan yang kita setujui dan yakini.
Saya percaya, jika kita tetap teguh dengan pendirian dan asas perjuangan, kita akan tetap terus wujud walau seribu panah menyerang dan badai mengoncang kita. Semoga Allah merestui dan rakyat memberikan kita kemenangan.
Teruskan Reformasi
Dr Wan Azizah Ismail
Presiden Parti KeADILan Rakyat
|
0 Comments:
Post a Comment
<< Home