Oleh Zulkifli Mohamed



TASEK GELUGOR: Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan sikap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memperalatkan Biro Tatanegara (BTN) yang di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan kursus penerangan mengugut orang Melayu kononnya kedudukan bangsa Melayu kini sedang terancam oleh kaum Cina.

“Saya hendak jawab, ekonomi Melayu, masalah Melayu terancam bukan kerana Cina hendak telan (kita), tetapi kerana pemimpin Melayu rasuah dan menzalimi bangsa mereka sendiri.

“Saya yakin kalau pemimpin Melayu tidak rasuah, kita boleh bela nasib orang Melayu dan memberikan keadilan kepada kaum Cina dan India.”

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya sempena Majlis Makan Malam, di Padang Menora, dekat sini, Sabtu.

Anwar turut mengecam BTN yang terus menabur fitnah, kononnya beliau agen Yahudi dan Amerika, hanya berdasarkan foto beliau disambut permaidani merah sewaktu melawat negara itu ketika menjawat Timbalan Perdana Menteri.

Jelasnya, sambutan permaidani merah, yang diterimanya bukan sekadar di Amerika tetapi juga di Mesir, Indonesia, Arab, Filipina dan banyak negara lain.

AGEN YAHUDI

Katanya BTN sepatutnya mendedahkan perkara sebenar, siapakah pemimpin negara yang membayar jutaan ringgit kepada pelobi Yahudi Jack Abramoff, semata-mata hanya ingin bertemu dengan Presiden Amerika, George Bush.

Abramoff pemilik syarikat perjudian yang menipu orang Red Indian Amerika telah didakwa atas kesalahan rasuah dan menipu.

Beliau adalah seorang Yahudi Ortodoks dan penyokong kuat Israel.

“Kita tidak memusuhi semua Yahudi, tetapi kita memusuhi Yahudi yang zalim macam Israel,” jelas Anwar.

Media barat pernah mendedahkan skandal tersebut tahun lalu.

Dilaporkan tindakan kerajaan Malaysia mengupah Abramoff bermula apabila Malaysia mahu memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat dengan mengaturkan pertemuan dalam tahun 2002 antara Dr Mahathir dengan Bush.

Kerajaan Malaysia didakwa membayar AS$1.2 juta (kira-kira RM4.46 juta) kepada Abramoff, untuk menjayakan pertemuan itu.

Dokumen-dokumen yang diperolehi oleh para penyiasat Senat Amerika mengesahkan sekurang-kurangnya $AS900,000 dari jumlah itu.

Bayaran kepada Abramoff telah dibuat melalui kedutaan Malaysia di Washington DC.

Berdasarkan muka surat 59 Laporan Jawatankuasa Senat Amerika Mengenai Hal-Ehwal Orang-orang Indian, mendedahkan satu invois telah dikemukakan kepada Kedutaan Malaysia, untuk perhatian Dr Fauziah Mohamad Taib, yang pada masa itu adalah Timbalan Ketua Misi Malaysia di Kedutaan Malaysia di Washington.

MEDIA MALAYSIA PADAM BERITA

Menurut Anwar bayaran tersebut telah disambung bayar oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Abdullah Badawi.

“Perkara ini tidak dilaporkan dalam media Malaysia, kerana hendak menutup pekung dan rasuah pemimpin negara” ujar Anwar.

“Ini fitnahkah, saya ada bukti, polis tidak pernah bertanya saya.

“BTN patut jelaskan hal ini, jangan hanya pandai fitnah,” ujarnya.

Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin pernah mendedahkan invois, berjumlah AS$300,000 datang daripada badan palsu yang dinamakan American International Center (AIC) sebuah pusat "pemikir antarabangsa" palsu untuk bayaran perkhidmatan dari 19 Jun hingga 19 Ogos 2001.

AIC ditubuhkan oleh rakan Abramoff, Michael Scanlon, di sebuah rumah kawasan pantai di Delaware.

Dilaporkan juga bekas sekutu Abramoff, Duta Malaysia, Ghazzali bin Sheikh Abdul Khalid telah menemui Abramoff beberapa kali.

Berhubung perkara tersebut, Dr Mahathir pernah menjelaskan sudah menjadi amalan kerajaan Amerika Syarikat untuk meminta mana-mana pihak yang ingin berjumpa dengan presiden negara itu menggunakan khidmat pelobi dan ianya tidak dianggap sebagai rasuah.

"Sememangnya saya difahamkan ada pihak yang membayar sejumlah wang kepada pelobi di Amerika Syarikat, namun saya tidak tahu siapakah mereka dan ia bukan kerajaan Malaysia. Malah, saya sendiri tidak menyentuh wang itu," kata Dr Mahathir.