SepangOnline

Friday, March 09, 2007

Tian Chua Akan Saman

Jumaat, 09 Mac 2007

Kuala Lumpur, 9 Mac - Tuduhan seksyen 307 "cubaan membunuh" yang dikenakan ke atas Tian Chua adalah motif jahat untuk mencemarkan nama baik beliau dan memburukkan perjuangan mempertahankan penduduk Kampung Berembang.

Tian Chua menyatakan akan mengambil tindakan saman terhadap semua pihak yang terlibat dalam membuat tuduhan palsu tersebut.

Demikian dikatakan oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Tian Chua dalam sidang media hari ini di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat.

"Tindakan yang dikenakan ke atas saya ini jelas bertujuan untuk mengalihkan tumpuan kes ini iaitu perjuangan penduduk ke atas hak perumahan mereka," jelas Tian Chua.

Katanya lagi, pemaju tidak berhak melarang penduduk masuk ke kampung kerana kes ini masih dipertikaikan di mahkamah antara penduduk dengan pemaju.

Tian Chua juga mengecam keras tindakan polis dan Rela yang menggunakan keganasan dalam proses tangkapan.

"Hubungan rapat antara pemaju dan kerajaan Negeri Selangor sebenarnya adalah faktor di sebalik pihak polis dan Rela memihak kepada pemaju dalam isu perobohan Kampung Berembang, Ampang," jelasnya.

Menurut Tian Chua, lembaga pengarah syarikat pemaju Achmar International sebenarnya diterajui mereka yang mempunyai pertalian rapat dengan kerajaan Negeri Selangor.

"Antaranya adalah bekas pegawai khas Menteri Besar Selangor, Datuk Samad Maharudin, anaknya Mohd Khairul Samad dan bekas pegawai Jabatan Perdana Menteri Mustapha Hamid," sambungnya.

Sidang media turut dihadiri oleh peguam Latheefa Koya, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia Arulchetvan dan seorang saksi Yeoh.

Latheefa Koya selaku Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan menyatakan bahawa polis telah bertindak bias ke atas Tian Chua kerana hanya bertindak selepas menerima laporan daripada pihak pemaju.

"Jika Tian Chua betul-betul terlanggar orang, polis harus menahan dia pada ketika itu dan bukan dua jam selepasnya," kata Latheefa.

"Kawad cam seharusnya diadakan segera dalam masa beberapa jam selepas tangkapan dan bukan selepas 24 jam. Ini jelas pihak polis cuba mengkambinghitamkan Tian Chua dengan motif jahat," sambungnya.

Tegas Latheefa, peguam sedang mengkaji tindakan undang-undang terhadap pihak yang mencemari nama Tian Chua dengan fakta yang tidak tepat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home