SepangOnline

Friday, March 09, 2007

KeADILan tumpu kawasan kubu Umno – Anwar

Maslan Yusoh

TANAH MERAH, 9 Mac (Hrkh) – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu jentera parti itu memberi tumpuan di kawasan kubu Umno bagi menarik sokongan mereka.

Beliau berkata, jentera KeADILan di semua peringkat perlu bekerja keras bagi memecah kubu Umno dengan memberi kesedaran kepada mereka terhadap isu sebenar yang berlaku.
“Ajak ahli-ahli dan penyokong Umno menyertai KeADILan. Pemimpin semua peringkat perlu mempunyai program masing-masing. Dan melalui program itu kita dapat bergerak secara lebih menyeluruh.

“Bagi kawasan yang sudah mempunyai penyokong PAS, kita biarkan kawasan itu dan kita hanya memberi tumpuan di kawasan Umno dan penduduk bukan Melayu sahaja,” katanya ketika merasmikan Pusat Khidmat Penyelia Parlimen Tanah Merah di sini, kelmarin.

Hadir sama pada program itu, Pengerusi KeADILan Kelantan, Haji Nik Mahmood Nik Hassan, Adun Bukit Panau, Abdul Fattah Mahmood, Adun Kemahang, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman dan Penyelia Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani.

Masyarakat India dari Kerla dan penduduk Siam dari beberapa kampung juga hadir pada program itu yang melimpah sehingga ke bawah dewan.

Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, sekarang bukan masanya untuk kita membangkitkan soal calon dengan gabungan Barisan Alternatif.

Menurutnya, sekarang adalah masa untuk bekerja dengan lebih kuat sambil merakam ucapan terima kasih kepada bekas pemimpin KeADILan Tanah Merah musim lalu.

“Gandingan lama dan baru diperlukan bagi memperkuatkan kedudukan parti. Tumpuan kita bekerja bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi. Manfaatlah kemudahan pejabat yang ada sekarang,” ujarnya.

Pada majlis itu juga bekas calon Akim Dun Tanjung Mas pilihan raya 1995, Tuan Ramli Tuan Sulaiman, 58 menyerah 462 borang bekas ahli Umno yang menyertai KeADILan kepada Anwar.

Sementara itu, Amran, 34 berharap mendapat kerjasama padu daripada semua aktivis KeADILan lama dan baru bagi mengembelingkan usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, ramai pemimpin dan penyokong KeADILan yang tidak aktif sebelum ini datang menemuinya bagi memberi sokongan untuk menggerakkan semula jentera kawasan tersebut.
“Sejak dilantik sebagai Penyelia saya sudah mengadakan perjumpaan dengan penduduk bukan Melayu. Antaranya masyarakat Siam di Kampung Maring, Kemahang dan Kampung Kuang di Dun Bukit Panau.

“Sambutan yang diberi begitu menggalakkan sekali. Malah hari ini sebahagian hadir pada perjumpaan dengan Penasihat KeADILan,” katanya lulusan bidang pemasaran dari sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Selain itu, katanya seorang penghulu tanpa mukim bagi parlimen Tanah Merah, Mat Yassin Hamat dilantik kerajaan negeri baru-baru ini untuk memudahkan tugasnya.

Amran anak kepada pesara Syarikat Kenderaaan Melayu Kelantan Bhd, Abdul Ghani Saidi berasal di bandar Tanah Merah. Beliau adalah anak keenam daripada tujuh adik beradik.

“Saya berharap dengan adanya pejabat membolehkan orang ramai datang mengadu masalah mereka dan menjadi pusat untuk merancang aktiviti parti dengan lebih berkesan lagi,” katanya. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home