AMK: Pengendalian Skandal Bukti PM Acuh Tak Acuh Benteras Rasuah
Kenyataan Media - 9 Mac 2007 Pengendalian Skandal Salahlaku Berprofil Tinggi Bukti Perdana Menteri Acuh Tak Acuh Benteras Rasuah Angkatan Muda Keadilan Malaysia melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan tingkah laku Perdana Menteri, Dato` Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menanggani skandal salahlaku yang menyelubungi Ketua Pengarah Badan Pencecah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Md Nor dan Dato` Johari Baharum, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Pendedahan tentang Ketua Pengarah BPR yang dikatakan terlibat dengan penyelewengan dan jenayah seksual telah dibuat oleh Gerakan Anti Korupsi & Demokrasi (Gerak) beberapa minggu lalu dan telah menarik perhatian media. Tidak lama kemudian kita dikejutkan pula dengan tuduhan rasuah bernilai 5.5 juta yang melingkari Dato` Johari Baharum, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk membebaskan tahanan ordinan darurat dari sebuah laman web. Namun begitu tindakan Abdullah Ahmad Badawi, yang juga sebagai orang yang bertangungjawap ke atas BPR dan Kementerian Dalam Negeri adalah begitu tidak menyakinkan dan tidak sehaluan dengan slogan anti korupsi yang dilaung-laungkannya, dengan mengekalkan mereka dalam jawatan masing-masing walaupun semua tuduhan tersebut adalah serius dan berat. Tuduhan keatas kedua-dua mereka begitu serius dan berat kerana mereka adalah antara orang yang utama dipertangungjawapkan untuk membenteras kesalahan yang mereka lakukan; Zulkipli dituduh rasuah dan penyelewengan manakala Dato` Johari Baharum telah dituduh melindungi penjenayah yang sepatutnya dibenteras dan dilawan olehnya. Selain itu nampaknya Perdana Menteri juga tidak mengambil pusing pelbagai tuduhan dan kecurigaan yang melingkari kabinetnya sebagaimana yang didedahkan sendiri oleh Dato` Seri Utama Rais Yatim beberapa tahun lalu yang mendedahkan ada 18 kes berprofil tinggi yang kami percaya sebahagiannya telah menjadi rahsia umum seperti kes Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik. Oleh itu kami melihat perlu ada langkah yang betul dan bersungguh-sungguh harus dilakukan oleh Perdana Menteri untuk membenarkan apa yang telah diucapkan dan dijanjikanya. Kami mendesak Perdana Menteri untuk melaksanakan perkara berikut. 1. Mengantung serta merta jawatan mereka yang disandang oleh mereka yang dituduh untuk memudahkan tugas penyiasatan terhadap mereka. 2. Menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat mereka kerana terbukti pihak polis telah gagal untuk membuat penyiasatan menyeluruh dalam kes Zulkipli Md Nor. 3. Semua Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Menteri juga wakil rakyat diwajipkan mengistiharkan harta di parlimen dan dewan undangan negeri. 4. Letakkan BPR bertanggungjawap keatas parlimen 5. Segera siasat kes-kes berprofil tinggi termasuk beberapa dakwaan rasuah oleh Dato` Seri Anwat Ibrahim yang melibatkan skandal pembelian Sukhoi dan Kapal Selam, juga 18 kes berprofil yang disebutkan di atas. Tindakan diatas amat perlu dilakukan demi menjaga harta rakyat, maruah negara, dan nasib bangsa Malaysia dari hancur akibat bahana rasuah. Jika tidak dilakukan nyata Perdana Menteri dan kabinetnya telah melindunggi perasuah dan penjenayah yang akhirnya menelurkan nilai yang rosak dalam masyarakat dan negara. Faris Musa Exco Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home