Jentolak BN melapah ganas rumah rakyat Kampung Berembang
Anis Nazri | |
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Setelah enam jam 'bertempur' dengan pihak berkuasa polis, FRU dan pemaju, Kampung Berembang akhirnya menjadi 'padang jarak padang tekukur' walaupun mereka penat merayu belas ihsan daripada Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Umno. Kampung berkenaan yang telah ditutup di semua jalan masuk dengan batu-bata, menyaksikan penahanan enam orang, iaitu Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, Ketua Penerangan KeADILan bahagian Kelana Jaya, Abdul Razak Ismail, Setiausaha Agung Dema, Lee Huat Seng, termasuk Anuar Maadom, Syed Fasilshah dan Pak Mat. Turut bersama penduduk kampung untuk memberi sokongan ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, Setiausaha Pemuda, Sabki Yusof, dan para aktivis, Arutchelvan, dan Chang Lih Kang. Lebih 100 pegawai penguatkuasa mengganas Jika dua hari lepas, rumah-rumah di Kampung Berembang dirobohkan pihak pemaju tanpa pengetahuan pihak polis, tragedi itu kembali berulang dengan kehadiran pasukan polis dan juga FRU, pagi ini. Harakahdaily difahamkan, dua antara tiga rumah yang tidak berjaya dirobohkan 5 Mac lalu, telah berjaya dirobohkan pemaju dengan menggunakan jentolak. Sebuah lagi rumah tidak berjaya dirobohkan kerana penduduk dan para aktivis berkumpul di rumah berkenaan sebagai usaha menghalang pemaju melakukan kekasaran. Kehadiran Adun Sungai Pinang, Teng Chang Kim, yang juga peguam kepada kebanyakan kes-kes setinggan di sekitar Selangor, membangkitkan semangat penduduk untuk mempertahankan kampung mereka. Harakahdaily juga dimaklumkan, Teng bertindak mengadakan rundingan dengan pihak polis untuk menangguhkan perobohan ini sehingga kes ini dibicarakan di mahkamah, 14 Mac ini. - mks/mr |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home