SepangOnline

Wednesday, March 21, 2007

Sekolah-Sekolah Malaysia Terperangkap dengan Kemudahan dan Kurikulum Dunia Ketiga

Dasar pendidikan seharusnya menjadi asas dasar pembangunan sesebuah negara. Maka adalah amat merisaukan ketika kita berada di ambang Kemerdekaan negara yang ke 50, sekolah-sekolah kita masih lagi terperangkap dengan kurikulum dunia ketiga dan banyak lagi yang tidak memiliki ‘kemudahan dunia pertama’ kita.

Meskipun kerajaan telah merwarwarkan Sekolah Bestari selama lebih sedekad, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan telah mendedahkan bahawa hampir 20% daripada sekolah-sekolah rendah kita tidak mempunyai bekalan air bersih; hampir 35% tiada makmal komputer; lebih dari satu perlima tiada makmal sains dan satu persepuluh tidak mempunyai bekalan elektrik sempurna. Secara keseluruhannya, lebih dua pertiga sekolah rendah tidak mempunyai kemudahan yang lengkap. Ini merupakan tambahan kepada pendedahan YB Dr. Wan Azizah Wan Ismail di dalam suratnya kepada Menteri Pelajaran bertarikh 13 Disember 2006 bahawa peratusan perbelanjaan pendidikan kita ketinggalan berbanding Senegal, Malawi dan Kenya di samping kita tergolong di kalangan 24 negara termasuk Palestin dan Maldive yang menghadapi kemerosotan enrolmen sekolah rendah antara 1999 hingga 2004.

Lazimnya, kawasan luar bandar yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat miskin dan terpinggir yang terperangkap dengan sekolah-sekolah yang paling dasyat keadaannya, khususnya di Sabah dan Sarawak. Ini mengeruhkan lagi jurang sosial dan melemahkan kebolehan pendidikan untuk memberikan mobiliti sosial yang lestari. Tiada gunanya kerajaan terus bercakap mengenai modal insan sekiranya golongan-golongan ini terus ketinggalan. Majoriti yang menjadi mangsa ialah golongan Bumiputera, tetapi Menteri Pelajaran lebih mementingkan menghunus keris daripada menyelesaikan masalah ini.

Ini ditambah pula dengan keputusan tergesa-gesa menukar pengajaran Sains dan Matematik kepada Bahasa Inggeris. Ini telah mengakibatkan tahap pendidikan menjadi lebih rendah kerana Kementerian ingin membuktikan bahawa perubahan bahasa penghantar ini tidak menjejaskan prestasi pelajar. Kita tidak mempertikaikan keperluan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, tetapi ini sepatutnya dilakukan menerusi meningkatkan kualiti pengajaran dan penambahan masa pengajarannya, bukannya dengan mengorbankan perjuangan kita menegakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di kalangan semua rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama, kurikulum kita masih terlalu berorientasikan peperiksaan. Penekanan ialah pada hafalan dan cemerlang di dalam peperiksaan. Sistem terbuka SPM yang baru diperkenalkan bukannya membolehkan suatu pendekatan menyeluruh terhadap pendidikan, sebaliknya mengakibatkan kegilaan untuk mendapat seberapa banyak A tanpa memikirkan tentang keperluannya. Lebih merisaukan lagi, ini bermula dari peringkat umur yang awal lagi memandangkan anak-anak kita dibebankan bukan sahaja dengan beg yang berat tetapi beban kerja yang berat. Ini menjadi lebih parah lagi apabila ibu bapa menghantar kanak-kanak kecil ke pusat-pusat tiusyen.

Pengumuman oleh Kementerian Pelajaran untuk membenarkan lebih ramai warga Malaysia memasuki Sekolah-Sekolah Antarabangsa menggambarkan bagaimana kerajaan sendiri tidak yakin dengan sistem pendidikan negara. Semestinya hakikat sekolah kebangsaan kini bukan lagi sekolah pilihan untuk mereka yang mampu memilih ialah sesuatu yang menyedihkan, tetapi tragedi yang lebih besar ialah ia gagal mendidik mereka yang tidak mempunyai pilihan tersebut. Bahasa Melayu mesti dikembalikan sebagai bahasa penghantar untuk Sains dan Matematik, di samping memperkenalkan langkah-langkah konstruktif untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Kita tiada pilihan melainkan menyediakan anak bangsa kita untuk menghadapi globalisasi, dan ini hanya dapat dilakukan dengan kembali kepada asas pendidikan: melahirkan sistem pendidikan yang inklusif dan menyeluruh untuk semua bermula dengan sekolah rendah kita.

ANWAR IBRAHIM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home